ZAKAT BUKAN UNTUK ORANG MISKIN SAHAJA

0
590

Kaya masih layak dapat zakat? Bukankah zakat hanya untuk orang miskin? Demikianlah antara persoalan semasa mengenai agihan zakat. Tidak dinafikan, umumnya umat Islam sering mengaitkan zakat dengan fakir dan miskin.

Bagi menjawab isu ini, kita tidak boleh bersifat melulu menafikan sesuatu yang kita tidak tahu. Hakikatnya, asnaf zakat ada lapan dan hanya dua asnaf sahaja yang disyaratkan miskin, iaitu fakir dan miskin. Manakala, bagi hamba sahaya, mereka bukanlah miskin melainkan mereka asnaf ‘istimewa’, justeru diri mereka adalah milik tuannya. Dalam Islam, hamba hendaklah dilayani dengan santun oleh tuannya dan kebajikannya dipelihara oleh tuannya. Mereka memang tiada harta; tetapi kebajikan mereka sepatutnya terjaga, justeru mereka adalah milik tuannya yang kaya.

Manakala lima lagi asnaf zakat, iaitu amil, mualaf, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil, tidaklah disyaratkan miskin ke atas mereka. Walaupun begitu, pastilah dalam tatacara pengagihan zakat, hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin, justeru mereka inilah yang paling layak diraikan dalam agihan zakat sesuai dengan tatanan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW sendiri.

Mungkin ada yang berhujah, bukankah ulama fikah sendiri ada yang menegah zakat diberikan kepada orang-orang kaya. Mereka memberikan dalil, iaitu saat Nabi Muhammad SAW mengutuskan Muadz bin Jabal ke Yaman, maka nabi telah berpesan: “Zakat itu hendaklah dikutip daripada orang-orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin di kalangan mereka,” (Riwayat Bukhari).

Namun begitu, kita mesti melihatnya secara objektif dan jelas. Fuqaha misalnya Dr Abdullah Nashih Ulwan memang menyatakan, bahawa orang-orang kaya itu ditegah daripada mendapat agihan zakat; namun, apa yang dimaksudkan dengan tegahan itu ialah, jika diambil harta zakat itu daripada bahagian (asnaf) fakir dan miskin dan diberikan kepada orang kaya. Sekiranya diambil daripada asnaf yang lain, misalnya daripada asnaf fisabilillah, maka tidaklah disyaratkan penerimanya seorang yang miskin.

Sehubungan dengan itu, amalan zakat di Malaysia, khususnya di Selangor, setiap orang Islam berhak mendapat bantuan zakat walaupun mereka tidak miskin, misalnya dalam kes hutang rawatan dan membantu melanjutkan pendidikan. Mereka dibantu atas nama asnaf fisabilillah, asnaf gharimin (berhutang) atau asnaf-asnaf lain yang sesuai; bukan atas sifat kemiskinannya.

Mungkin juga ada pihak yang berhujah, bahawa nabi pernah menolak untuk memberikan zakat kepada orang kaya, sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis: “Tidak ada bahagian zakat bagi seorang yang kaya dan seorang yang kuat yang mampu berkerja,” (Hadis riwayat Abu Daud).

Memang diakui, Islam amat tidak meraikan sikap ‘malas’ sehingga menjadikan penganutnya suka meminta-minta. Sayid Sabiq di dalam kitabnya ‘Anasir Kekuatan Di Dalam Islam’, ada menukilkan sebuah kisah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW pernah menolak permintaan seorang pemuda Ansar dan dia diajar mencari kayu sehingga mampu berdikari dan tidak sekadar mengharapkan simpati demi sesuap makanan. Ini menunjukkan Islam tidak meraikan orang yang kaya dan mampu berkerja; dengan suka meminta-minta.

Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW juga telah membuat pengecualian, bahawa zakat masih boleh diberikan kepada orang-orang kaya jika mereka memerlukan zakat, sesuai dengan kondisi diri mereka – yakni tidak sampai berlebih-lebihan dan mengabaikan hak fakir dan miskin.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad dapat dijadikan sandaran dalam hal ini, iaitu Nabi Muhammad SAW menyatakan: “Zakat tidak dihalalkan bagi orang kaya kecuali lima golongan ini, iaitu: (1) amil; (2) orang yang memberi zakat dengan hartanya sendiri (mualaf); (3) orang yang ikut berperang di jalan Allah SWT; (4) orang yang berhutang dan (5) orang miskin yang menerima zakat daripada seorang kaya (dan) kemudian dia menghadiahkannya kembali kepada orang kaya itu.”
Para fuqaha misalnya Syafie dan Hambali menyatakan, dalil di atas membolehkan lima golongan kaya ini menerima zakat demi kemaslahatan diri mereka. Ini kerana, masing-masing daripada lima golongan itu memerlukan zakat bukanlah atas kapasiti kemiskinan; melainkan memang perlu diberikan zakat atas tujuan tertentu.

Amil misalnya, diberikan zakat sebagai imbuhan sesuai dengan usaha dan kerja keras mereka menguruskan zakat dan para asnaf lainnya. Mualaf boleh mendapat zakat, justeru ia bertujuan melunakkan hatinya agar lebih mendekati Islam dan dengannya ia mampu menarik lebih ramai kepada Islam.

Orang yang ikut berperang diberi zakat, kerana itu adalah tugas mulia di jalan Allah (fisabilillah) dan mereka tidak lagi sempat mencari rezeki. Hal ini dikiaskan pula kepada para pencari ilmu, sehingga melayakkan mereka untuk menerima zakat atas nama fisabilillah. Orang yang berhutang pula dibantu demi meringankan beban dan mengelakkan mereka menjadi fakir dan miskin kerana hutangnya. Orang yang dipulangkan zakatnya sebagai hadiah, sudah pasti lebih berhak menikmatinya kerana namanya pun bukan lagi zakat; tetapi hadiah.

Kesimpulannya, golongan kaya masih boleh menerima bantuan zakat jika mereka termasuk dalam kategori yang diizinkan ini. Walau bagaimanapun, dalam konteks amalan semasa di Selangor, sudah pastilah golongan fakir dan miskin lebih patut diutamakan, manakala kesemua asnaf lain masih tertakluk kepada tatacara agihan zakat, sesuai dengan apa yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa. Wallahua’lam.

Nota: Hamizul Abdul Hamid merupakan Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS).