60 PENGHUNI BAITUL HASANAH DIPERKASA DI PERKHEMAHAN JATI DIRI

0
455

HULU SELANGOR, 29 Mei 2011 – Seramai 60 orang pelajar anak-anak asnaf yang mendiami Asrama Baitul Hasanah telah dibawa mengikuti Program Perkhemahan Jati Diri 2011 di Kem Lembah Genting, Hulu Selangor. Kem berkenaan diadakan khusus untuk menjana potensi diri anak-anak asnaf yang diharap mampu membawa perubahan pada diri mereka sebagai pelajar dan mencipta kecemerlangan dalam pendidikan dan kehidupan.

Program ini telah berlangsung selama tiga hari dari 27 hingga 29 Mei 2011 yang melibatkan dua buah Asrama Baitul Hasanah iaitu Asrama Baitul Hasanah Kuala Kubu Bharu seramai 26 peserta dan Asrama Baitul Hasanah Kuala Selangor seramai 34 peserta.

Hingga kini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mempunyai tiga buah Asrama Baitul Hasanah dan yang terbesar adalah di Kg. Perepat, Klang yang mampu menampung sehingga kira-kira 300 orang penghuni dalam satu masa. Asrama ini diwujudkan dengan matlamat menempatkan anak-anak asnaf demi membantu menyediakan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada mereka.

Perasmian penutup dan penyampaian sijil penyertaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hj. Mohamed Izam Mohamed Yusof.