Tarikh : 3/8/2010
Penulis : editor
SHAH ALAM, 8 Mac – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan 32 buah komputer riba bernilai RM2,399 setiap satu kepada 32 orang mahasiswa dari keluarga fakir dan miskin. Mereka merupakan pelajar tajaan LZS yang sedang mengikuti pengajian di institusi pangajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) di seluruh negara dan mendapat keputusan GPA/CGPA 3.00 ke atas.
Sehingga Mac 2010, LZS membiayai sejumlah 1,421 mahasiswa asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di IPTA/S seluruh negara. Ia melibatkan pengajian dari peringkat sijil hingga ke doktof falsafah. Bantuan komputer riba ini diberikan sebagai kemudahan tambahan kepada mereka selain menerima bantuan sara diri sebanyak RM300 sebulan termasuk pembiayaan yuran pengajian.
Sementara itu, di bawah Program Pembangunan Pendidikan, LZS turut menyediakan dana yang besar berjumlah RM62.5 juta bagi memastikan anak-anak asnaf fakir dan miskin dapat meneruskan pengajian dari peringkat rendah sehingga ke peringkat tertinggi.
Penyerahan bantuan komputer riba ini merupakan fasa pertama bagi tahun 2010 dan disampaikan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid. Turut hadir, Ketua Jabatan Pembangunan Asnaf, Abdul Samad Ibrahim.