KEMBARA MENCARI SINAR ERAT HUBUNGAN PEMBAYAR ZAKAT DAN ASNAF

0
250

Tarikh : 3/13/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Bagi mengeratkan lagi hubungan antara pembayar zakat dan asnaf, Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS meneruskan usaha dengan mengadakan Kembara Mencari Sinar (KMS) yang dilancarkan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa di sini pada 11 Mac.

KMS ini disertai oleh 40 orang peserta terdiri daripada wakil syarikat korporat, wakil media dan kakitangan LZS. Program yang diadakan sempena Tahun Zakat Selangor 1430H ini turut bertujuan merapatkan hubungan antara LZS dengan masyarakat secara tidak langsung.

Antara aktiviti Kembara Mencari Sinar ini ialah lawatan ke Pusat Dialisis LZS di Seksyen 3, Shah Alam, lima buah rumah asnaf di Desa Ehsan Jeram, Kuala Selangor, penempatan orang tua (Daruss Salamah) dan Bengkel Jahitan di Tanjong Karang.

Melalui program ini masyarakat dapat melihat secara dekat agihan zakat yang dilaksanakan oleh LZS secara tidak langsung.