Petaling Jaya – Delegasi Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS diketuai Pengurus Besar Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar mengadakan kunjungan bersama media ke rumah biduanita Azean Erdawaty, 58 atau lebih dikenali ‘Kak Yan’ di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 21 Januari lalu untuk menyampaikan bantuan bernilai RM30,000.00 kepada beliau yang kini sedang menjalani rawatan akibat barah payu dara yang dihidapinya.
Walau bagaimanapun taraf kesihatan Kak Yan agak merosot pada hari berkenaan dan anak bongsunya, Enissa Erdayanty, 18 bertindak menjadi jurucakap bagi pihak ibunya. Turut sama menanti kehadiran kami ialah suami beliau, Khairil Anuar Zainal, 56.
“Ibu mengidap penyakit kanser yang memerlukan biaya yang besar. Sebenarnya ramai orang menyalah anggap, kononnya kerjaya seorang artis atau pelakon adalah mewah dan kaya. Untuk pengetahuan semua, sejak menjalani rawatan kimoterapi telah hampir setahun ibu tidak berkerja.”
Menurut anaknya lagi, Kak Yan kini sedang menjalani rawatan susulan kanser secara berterusan di Damansara Specialist Centre bagi rawatan TRANTUZUMAB INFUSION selama setahun dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM150 ribu dan juga rawatan radioterapi sebanyak RM20 ribu. Kos kedua-dua rawatan ini yang mencecah RM170,000.00 adalah amat tinggi dan menyebabkan mereka tidak mampu membiayainya secara persendirian.
“Wang simpanan kami telah habis. Justeru itu, ibu menghantar permohonan bantuan kepada pelbagai pihak dan setakat ini Lembaga Zakat Selangor nampaknya terlebih dahulu tampil memberikan bantuan. Biar pun jumlah itu hanya RM30,000.00; namun ia amat bermakna sekali.”
Ahmad Shahir semasa menjawab soalan wartawan menyatakan, LZS (MAIS) sentiasa prihatin dengan permohonan setiap umat Islam di negeri ini. Biar pun bantuan yang disampaikan itu hanya bernilai RM30,000.00; namun LZS (MAIS) masih boleh mempertimbangkan permohonan Kak Yan yang seterusnya untuk diberikan bantuan.
Ziarah berkenaan adalah sebagai tanda penghargaan LZS (MAIS) kepada golongan artis yang tidak lupa menunaikan zakat mereka. Sebelum ini LZS (MAIS) pernah menyalurkan bantuan kepada Allahyarham Hussein Abu Hassan, Imuda dan juga menawarkan bantuan kepada anak pelakon M. Rajoli yang akan melanjutkan pendidikannya ke Timur Tengah.