LZS (MAIS) ANJUR SEMINAR TINGKAT KUTIPAN ZAKAT MELALUI KOPERASI

0
158

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menganjurkan Seminar Zakat dan Percukaian Koperasi bagi meningkatkan kesedaran membayar zakat perniagaan di kalangan koperasi pada 4 April lalu di sini.

Koperasi merupakan kumpulan pembayar zakat perniagaan ketiga terbesar selepas syarikat-syarikat perniagaan dan perbankan. Potensi untuk meningkatkan kutipan zakat juga adalah tinggi memandangkan kebanyakan koperasi menjalankan projek-projek yang besar dan menguntungkan di Selangor.

Mengikut statistik, tahun lalu hanya 52 koperasi yang menunaikan zakat berbanding 392 yang beroperasi di Selangor.

Dalam seminar ini peserta turut didedahkan dengan aspek pengiraan zakat perniagaan termasuk perkaitannya dengan cukai koperasi. Tiga kertas kerja dibentangkan dalam seminar ini iaitu, ‘Kewajipan Zakat Perniagaan Organisasi Koperasi’ oleh Pengarah Kewangan, UKM Holdings Sdn Bhd, Prof. Madya Syed Mohd Ghazali Wafa b. Syed Adwan Wafa, ‘Perkaitan Zakat Dengan Percukaian Koperasi’ oleh Presiden Persatuan Percukaian Malaysia, Abd. Aziz Abu Bakar.

Manakala Pengarah Audit dan Akaun JPK Malaysia, Idris Yahya, membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Percukaian Koperasi’.

Seminar setengah hari ini dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Kawal Selia) JPK Malaysia, Md. Yusof Samsudin. Turut hadir Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa, Pengerusi LZS.