Shah Alam – “Kepayahan emak yang juga merupakan seorang ibu tunggal membesarkan kami adik-beradik membuatkan saya tekad untuk mengubah nasib kami sekeluarga. Walaupun kami tidak berharta tetapi biarlah pendidikan yang menjadi harta kami semua,” ujar Zulfikri Ahmad, 18, yang merupakan salah seorang pelajar asnaf cemerlang dalam kategori Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam Majlis Anugerah Anak Asnaf Cemerlang 2005 yang diadakan di sini baru-baru ini.
Beliau yang memperoleh 10A dalam SPM lalu, sedang menyambung pengajian di International Education Centre, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Bioteknologi untuk tempoh setahun setengah dan kemudiannya akan melanjutkan pengajiannya ke Australia.
“Saya amat berterima kasih dengan bantuan yang diberikan oleh LZS (MAIS) selama ini. Bantuan ini banyak membantu saya untuk berusaha dengan lebih gigih lagi. Saya berharap dengan kejayaan saya ini akan menjadi pendorong kepada anak-anak asnaf yang lain untuk berjaya.
Sematkan dalam hati bahawa kemiskinan bukannya satu penghalang untuk berjaya,” kata anak ketiga daripada lima orang adik-beradik ini