Shah Alam – Seramai 292 orang anak asnaf yang cemerlang dalam akademik menerima anugerah Anak Asnaf Cemerlang 2005 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS pada 22 Julai di sini.
Majlis diadakan bertujuan mengiktiraf kejayaan anak-anak asnaf sekaligus menjadi pendorong semangat serta motivasi kepada para anak asnaf yang lain untuk turut menempa kejayaan yang sama.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor, YB Dato’ Haji Abd. Rahman Hj. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan para pelajar yang mendapat bantuan daripada LZS (MAIS) agar dapat meneruskan kecemerlangan demi membela diri dan keluarga.
“LZS (MAIS) telah membuktikan keprihatinan dengan memperuntukkan sebanyak RM14.7 juta untuk Program Pembangunan Pendidikan. Oleh itu, adalah menjadi satu perkara yang sia-sia sekiranya kemudahan yang diberikan dengan percuma ini tidak digunakan dengan sewajar-wajarnya,” ujarnya.
Pada tahun lalu, seramai 67 orang pelajar mendapat 3A, 39 orang mendapat 4A dan 19 orang mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Manakala bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula seramai 7 orang mendapat 6A, 10 orang 8A dan seorang untuk 7A dan 9A. Bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seramai lima orang anak asnaf mendapat 5A, 9 orang mendapat 6A, lima orang 7A, seorang 9A dan tiga orang 10A. Sementara bagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pula mempamerkan seorang yang berjaya memperoleh 3A.
Untuk peperiksaan agama, bagi Sijil Penilaian Rendah Agama (SPRA) seramai 28 orang mendapat pangkat jayid (baik), 22 orang memperoleh pangkat jayid jiddan (terpuji) dan lima orang mendapat pangkat mumtaz (cemerlang). Manakala bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menyaksikan seorang pelajar asnaf memperoleh pangkat jayid jiddan.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Pengurus Besar LZS (MAIS), Tn. Hj. Ahmad Shahir Makhtar