AZHAR BERJAYA DIBANTU ZAKAT

0
301

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Dalam keredupan pepohon sawit yang rimbun, di situ dia membina kehidupannya. Menternak ayam hasil pemberian modal oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), Azhar, 41 (bukan nama sebenar) mengusahakan projek ternakannya dengan penuh semangat. Jejak Asnaf pada kali ini berusaha mencungkil ketegaran semangat beliau, untuk dikongsi bersama para pembaca.

“Saya mengizinkan cerita saya ini ditulis, adalah demi faedah semua orang. Khususnya bagi asnaf zakat seperti saya. Biar mereka sedar, bahawa asnaf zakat sebenarnya mampu berubah. Kita diberikan Tuhan anugerah yang sama seperti orang lain. Apa yang perlu ada, ialah sikap rajin. Yakinlah, insya-Allah kita akan Berjaya.” Demikianlah Azhar memulakan ceritanya.

Mengenang kembali sejarah hidupnya, Azhar memberitahu bahawa dia bukanlah orang yang sedari awalnya susah dan miskin. Bahkan, suatu masa dahulu dia pernah berkerja di tempat mewah dan mempunyai pendapatan yang lumayan.

“Ustaz, saya malu nak beri tahu. Tetapi, sebenarnya saya ini dahulu orang berduit. Semasa masih bujang, saya pernah berkhidmat di sektor kerajaan sebelum berhenti dan berkerja sebagai pengawal peribadi di sebuah kedutaan. Majikan saya orang Eropah. Gaya hidup mereka mempengaruhi saya.

“Ketika itu, saya merasakan saya sudah lebih Barat daripada orang Barat sendiri. ‘Air Kencing Syaitan’ saya reguk semahunya. Berjudi perkara biasa. Solat jangan sebutlah. Saya bersosial seperti mana orang Barat bersosial. Wang mewah. Di situ, hidup saya memang hanyut dalam arus duniawi, tanpa tujuan dan tanpa arah.” Wajah Azhar mendung kala menghimbau kenangan lampau.

“Ibu bapa saya risau keadaan tersebut. Saya diminta pulang ke kampung. Mungkin berkat doa ibu ayah, saya pulang dan akhirnya bertemu jodoh. Sejak itu, saya mencari rezeki sebagai pekerja kilang. Gaji kecil, tapi hati saya tenang.”
Hasil perkongsian Azhar bersama isterinya, Zaitun, 40 (juga bukan nama sebenar), mereka dikurniakan tujuh orang anak, lima lelaki dan dua perempuan.

“Saya memang diuji Allah. Setelah melahirkan anak pertama, isteri saya diserang sakit mental. Jiwanya kacau. Namun, dia masih mampu melahirkan zuriat saya seorang demi seorang. Bukan itu sahaja, saya juga membela ibu mertua. Malangnya, ibu mertua saya juga sakit jiwa.” Azhar terus berkongsi cerita.

Penulis terfikir, mungkin inilah yang dikatakan orang ‘sakit gila meroyan’ yang menimpa kalangan wanita jika mereka terlalu tertekan selepas melahirkan anak.

Dek kerana perlu menjaga isterinya, Azhar sering mengambil cuti. Tanpa sedar, ia mengundang rasa tidak senang di pihak majikan. Azhar akhirnya terpaksa diberhentikan kerja, atas alasan masalah disiplin yang teruk.

Tanpa kerja tetap, ertinya menambah beban di bahu Azhar. Lalu demi memenuhi keperluan keluarga yang kian membesar, Azhar sanggup melakukan apa sahaja kerja kampung demi sesuap rezeki yang halal. Nama untuk kembali ke bandar, dia sudah serik. Khuatir imannya tidak kuat menahan ajakan duniawi.

“Terus-terang saya akui, saya memang tidak tahu kerja kampung. Sama ada menebas, menangkap ikan atau menternak, saya memang jahil. Namun, dek kerana hidayah Allah sudah menyapa, dengan nekad saya meninggalkan dunia lama. Saya sanggup memulakan hidup dari bawah, biar payah saya tetap redah.

“Saya merantau ke sebuah kampung di Perak. Abang saya di sana mengajar saya untuk hidup sebagai pelaut. Bagaimana caranya menangkap ikan, membaca riak laut dan sebagainya. Saya juga belajar mengopek kelapa. Memang perit kala itu; namun saya tega demi keluarga.

“Sehinggalah pada penghujung 1997, saya kembali ke Selangor. Di Selangor, saya memanfaatkan segala kemahiran kampung yang ada. Saya mengambil upah mengopek kelapa. Malang nasib saya, penat berkerja upah pula tidak dibayar. Saya ditipu, suatu perkara yang tidak pernah berlaku.

“Tanpa malu, saya mencari besi-besi buruk untuk dijual. Saya juga ada sedikit kemahiran mekanik, maka saya mengambil upah membaiki motor dan peralatan elektrik. Tapi cara orang kampunglah, ada sesetengah itu bayarannya kecil dan ada juga yang sengaja mencari alasan enggan menjelaskan hutang.”

Azhar dan keluarganya terus bergelumang dengan kemiskinan, sehinggalah tahun 2003. Kala itu, wakil dari LZS datang menziarahi dia sekeluarga. Kemiskinannya memang menyayat hati. Mereka menumpang di sebuah teratak usang yang serba daif di Sg. Besar. Dengan keadaan isterinya yang tidak normal, keluarga Azhar memang tidak terurus.

“Sebenarnya, dari awal saya nyatakan. Jika LZS mahu membantu saya, berikan saya umpan. Saya tidak mahu menjadi peminta. Saya ada kudrat, saya boleh berusaha. Takkanlah selama-lamanya saya mahu menerima sedekah orang.”

Kini, Azhar sudah mampu tersenyum lebar. LZS memberikan pelbagai input dalam hidupnya. Sebuah rumah tiga bilik yang kukuh bernilai RM30,000.00 sudah dibina, dilengkapi bantuan pendidikan anak-anak, bantuan saraan keluarga dan juga modal menternak ayam sebanyak RM20,000.00 sudah dihulurkan.

“Saya hanya mahu kisah ini menjadi pembakar semangat semua penerima zakat. Ingat, jangan selesa menjadi penerima. Sebaliknya berusahalah untuk menjadi pemberi pula. Jika tidak, sia-sialah segala pemberian Allah kepada kita.” Tuntasnya sambil menabur makanan kepada ayam-ayamnya yang kini sudah pun memberikan pulangan yang besar kepadanya.