BAYAR ZAKAT KEPADA AMIL WANITA?

0
1598

Tarikh : 10/15/2008
Penulis : Hamizul

Assalamualaikum wbt.

Salam syawal kepada semua pengunjung portal. Semoga kita semua tidak terlalu ghairah berhari raya sehingga terlupa untuk berpuasa enam. Isu kali ini ingin menyentuh mengenai isu Amil Zakat Wanita. Kenapa? Ya, baru-baru ini semasa Ramadan, ada pihak yang menegur LZS kerana menghantar amil wanita untuk mengutip zakat.

Tidak dapat dipastikan, adakah teguran itu dibuat kerana merasakan zakat mereka tidak sah atau sempurna apabila diterima oleh amil muslimah? Atau kerana semasa berakad, mereka tidak boleh menggenggam tangan amil maka mereka rasa tidak puas. Atau juga kerana doa selepas akad dibacakan oleh seorang perempuan sedang yang mengaminkannya lelaki, maka lagilah mereka merasa tidak puas.

Apa-apa pun alasannya, hanya mereka yang tahu. Namun, suka dinyatakan bahawa di dalam penetapan amil, sejak zaman rasulullah saw sehingga ke saat ini, tidak pernah kita tersua dengan sepotong ayat pun yang mensyaratkan amil mestilah lelaki.

Benar, Muadz bin Jabal r.a diutus ke Yaman sebagai amil; tetapi juga sebagai gabenor. Namun itu bukan tandanya muslimah tidak boleh dilantik sebagai amil.

Di dalam kitab Fiqh Az-Zakat (terjemahannya Hukum Zakat) oleh Yusuf Al-Qardhawi, beliau menyatakan: “yang dimaksudkan amil zakat ialah, mereka yang melaksanakan segala kegiatan urusan zakat, mulai dari mengumpul…dan membahagikannya kepada mustahiknya (penerima).”

Jadi, tak salahlah LZS melantik amil dari kalangan muslimah. Barang harus diingatkan, zakat itu sah di sisi Allah SWT apabila berlaku dua perkara: Niat dan perpindahan harta kepada mustahiknya.

Wallahua’lam.

* Petikan diambil dari Blog LZS di https://blog.e-zakat.com.my