“BERSAMA KONGSI KEJAYAAN” – ZIARAH ASNAF 2008

0
377

Tarikh : 11/24/2008
Penulis : Hamizul Abdul Hamid; Gambar: zool

Bagi berkongsi kejayaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dalam membangunkan asnaf fakir miskin, kira-kira 60 orang peserta program Ziarah Asnaf 2008 berpeluang melihat sendiri kehidupan asnaf dari dekat. Mereka yang terdiri daripada para pembayar zakat, ejen kutipan dan pihak media telah dibawa menelusuri beberapa projek pembangunan asnaf zakat.

Lawatan bermula dengan pelancaran konvoi oleh Pengurus Besar LZS (MAIS), Hj Ahmad Shahir Makhtar. Tambah menarik, turut dilancarkan ialah Kempen Zakat & Fly yang menawarkan hadiah menarik terbang ke mana sahaja tajaan Firefly bagi pembayar zakat menerusi internet.

Lokasi pertama lawatan ialah Pusat Dialisis LZS (MAIS) di Wisma MAIS, Seksyen 3 Shah Alam. Para peserta teruja dengan inovasi LZS (MAIS) mewujudkan pusat kemudahan khusus bagi kalangan fakir miskin dan mereka yang memerlukan rawatan dialisis secara tetap sepanjang hayat. Ia menjadi suatu syiar kepada keunggulan Islam di dalam menyantuni keperluan manusia.

Turut dilawati ialah dua buah perniagaan asnaf di Wisma MAIS tersebut, iaitu Dobi Point dan D’ Norm Delight Bakery And Catering. Kecekalan kedua-dua penerima bantuan zakat tersebut menyahut cabaran sehingga mampu membuka perniagaan telah didedahkan kepada para peserta. Nampak kepuasan pada wajah mereka dengan kejayaan dua orang asnaf terbabit.

Lokasi seterusnya ialah D’ Asnaf Kraf, iaitu lokasi pengumpulan dan penjualan kraftangan yang dihasilkan oleh kalangan ibu tunggal yang bernaung di bawah LZS (MAIS) sebagai asnaf fakir dan miskin. Kehadiran para peserta disambut meriah oleh para ibu tunggal yang sememangnya bersedia mempamerkan kecekalan menyiapkan kraftangan yang berasal daripada kertas surat khabar terpakai. Kemeriahan dan keputusan jelas terpancar apabila para peserta turut diberikan cenderamata khas sebagai kenang-kenangan.

Para peserta program kemudiannya dibawa menuju ke asrama anak-anak asnaf Baitul Hasanah di Kuala Selangor. Di sana, seramai 33 orang anak-anak asnaf sedia menanti. Dengan pakaian batik berseri mereka menyambut peserta yang tiba. Majlis ringkas diadakan di dewan solat asrama berkenaan.

Peserta kemudiannya diberikan taklimat ringkas operasi Baitul Hasanah oleh Ustaz Faizol yang bertugas sebagai Penyelia Baitul Hasanah Kuala Selangor. Secara umumnya, anak-anak Baitul Hasanah diletakkan di bawah pengawasan LZS (MAIS) agar penumpuan terhadap pembangunan pendidikan dapat dilaksanakan. Alhamdulillah, bagi pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang baru diumumkan baru-baru ini, para pelajar Baitul Hasanah mencatatkan keputusan lulus 100% dan salah seorang dari mereka mendapat 3A 2B.

Para peserta program turut dihiburkan dengan beberapa lagu nasyid dendangan anak-anak Baitul Hasanah. Kemudian daripada itu, beberapa syarikat yang mengambil bahagian telah sudi menghulurkan sumbangan berupa buku-buku bacaan kepada Baitul Hasanah.

Setelah solat dan makan tengah hari, konvoi seterusnya dibawa ke sebuah rumah En. Razali Patah, 34, iaitu penerima bantuan zakat di Tanjung Keramat. Dari luar rumah sudah jelas kedaifan rumah berkenaan yang nampak lebih ketara apabila dihimpit kiri dan kanan oleh rumah-rumah batu yang jauh lebih cantik, moden dan kukuh. Turut menagih simpati ialah ibu kepada tuan rumah berkenaan turut mengidap sakit jantung. Beberapa peserta tampil menghulurkan sumbangan peribadi mereka.

Destinasi terakhir ialah Kolam Memancing Wak Nan, milik Hasnan Alan, 60 di Tanjung Karang. Beliau merupakan asnaf miskin yang menerima bantuan projek kolam pancing bernilai RM7500. Kecekalan Wak Nan dikagumi dalam usahanya membangunkan kolam pancing tersebut.

Lawatan telah berakhir di Wisma MAIS, Shah Alam dalam lingkungan pukul 5.00 petang.

Ucapan penghargaan turut diberikan kepada Polis Trafik dari Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, para peserta program, ahli-ahli korporat dan rakan-rakan media, Bahagian Pengangkutan JAIS, Syarikat Penerbangan FireFly Sdn Bhd, Bank Islam Bhd, Advance Power Solution Sdn Bhd, RD Management Services, Hotel Delta Inn, Galeri Ilmu Sdn Bhd, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Syarikat-syarikat dan individu yang membuat sumbangan.