HARAPAN UMI PADA ALLAH

0
351

Tarikh : 6/11/2010
Penulis : HAMIZUL ABDUL HAMID

KEHIDUPAN adalah satu cabaran. Adakalanya kita diuji dengan kekayaan dan kesenangan. Ada masanya diuji dengan kemiskinan dan kesakitan.

Benarlah firman Allah SWT di dalam al-Quran: “Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu,” (Ali Imran: 186).

Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW: “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah SWT, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah SWT tanpa dia membawa dosa sedikit pun,” (riwayat Tirmizi)

Jejak Asnaf terus mendekati golongan kurang bernasib baik bagi mengorek kisah mereka untuk dijadikan iktibar bersama.

Ia juga untuk memberitahu masyarakat kekayaan hari ini wajar dikongsi, kerana nasib kita esok dan lusanya belum pasti.

Seripah S.A. Kadir, 51, atau lebih mesra disapa sebagai Umi merupakan ibu tunggal yang kematian suami. Dia kini meneruskan tatih hidup bersama empat orang anak.

Tiada siapa menduga, di sebalik ceria wajah, beliau sedang bergelut di antara ‘hidup dan mati’ melawan mythenia gravis – sejenis penyakit saraf yang menghilangkan hampir keseluruhan keupayaan untuk berkerja.

“Dahulu Umi bekerja dengan sebuah firma arkitek di Hulu Selangor. Umi adalah pembantu peribadi (PA) semasa itu. Sayangnya, sejak diserang mythenia gravis, sebahagian daripada badan Umi seakan ‘lumpuh’ dan tidak kuat lagi.

“Apabila Umi memegang sesuatu barang, tanpa sedar barang-barang itu boleh jatuh begitu sahaja.” Demikianlah Seripah berkongsi cerita perihal penyakitnya.

Mythenia gravis bukan sekadar menyerang saraf; bahkan turut mengganggu sistem penghadaman dan juga otot pernafasannya. “Umi sering kepenatan dan sesak nafas apabila otot diaphragm hampir gagal berfungsi kerana penyakit ini.

Akibat Mythenia itulah, sejak 2004 beliau menjalani rawatan tetap di Hospital Kuala Lumpur (HKL) atau lebih tepatnya di Jabatan Neurologi, HKL.

Dek kerana kritikalnya penyakit tersebut, doktor telah menggunakan stereoid. Akibatnya, beliau hilang keupayaan melawan penyakit lain akibat sistem ketahanan badan andiri.telah ‘dilumpuhkan’ oleh ubat-ubatan yang diambil.

Kini, di samping penyakit saraf tersebut, Umi turut mengalami masalah tulang reput, diabetes dan juga peningkatan kolestrol. Tambah menyesakkan dia turut disahkan mengidap Hepatitis C.

Mengenang sejarah silam, Umi bercerita: “Arwah suami dahulu seorang mualaf, Abu Bakar Abdullah namanya. Hasil pernikahan itulah, kami dianugerahi Allah tiga orang anak.

“Anak pertama saya, Muhammad Abu Bakar kini berusia 19 tahun.

“Dia kini dalam Tingkatan Enam Atas di Sekolah Menengah Kuala Kubu Bharu. Muhammad bercita-cita menjadi doktor perubatan. Masa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu, dia dapat 7A1 dan 3A2.

“Anak kedua Umi, Imran, 17, dan kini belajar di Sekolah Menengah Pandan Indah. Imran bercita-cita mahu menjadi seorang tukang masak terkenal. Anak ketiga, Munirah, 15, insya-Allah akan mengambil Penilaian Menengah Rendah tahun ini.

“Umi juga menjaga seorang anak angkat, iaitu Nur Atikah Sidek, 14. Munirah dan Atikah sama-sama belajar di SM Pandan Indah. Umi sudah mengambil Atikah dia sejak masih tingkatan satu. Ada sebab kenapa Umi jaga dia.”

Menyambung bicara Umi memberitahu, dahulu dia bersekolah di di Sekolah Aminudin Baki, Kampung Pandan.

Dia belajar di sekolah itu hingga pertengahan tahun 1970-an.

Sepatutnya Umi sambung belajar tetapi keluarga angkatnya tidak galakkan.

“Akhirnya, Umi hanya belajar menjahit sahaja di rumah,” katanya.

Walau

PENULIS memerhatikan persekitaran ruang tamu rumah Seripah. Ternyata, kekurangan diri kerana diserang sakit saraf dan kemiskinan yang membelenggui dirinya, tidaklah menghalang beliau daripada berusaha demi sesuap rezeki. Terdapat papan tanda yang menawarkan tempahan baju juga barang-barang makanan yang disusun kemas di dalam rak dan raga untuk dijual kepada anak-anak di kejiranan di situ.

“Dahulu Umi memang boleh menjahit. Tetapi, sejak diserang sakit saraf ini, Umi hanya mengambil pesanan sahaja dan Umi akan panjangkan tempahan kepada orang lain. Makanan ringan yang ustaz lihat itu, Umi jual untuk menambahkan pendapatan. Maklumlah, anak-anak Umi semuanya masih belajar lagi.”

Menyentuh mengenai anak-anaknya, penulis dapat merasakan bahawa Seripah adalah seorang ibu yang mempunyai wawasan demi kejayaan anak-anaknya. Walaupun hidupnya kini serba kekurangan dan dalam keterbatasan usaha; namun beliau tetap memotivasikan anak-anaknya agar terus berjaya. Kebergantungan kepada LZS bukanlah alasan untuk bermalas-malasan dan menyerahkan masa hadapan anaknya kepada takdir semata-mata.

Penulis tambah kagum saat mengetahui bahawa, anak-anak Seripah sanggup berjalan kaki sejauh 500 meter setiap hari untuk ke sekolah berdekatan. Benar mereka susah pada hari ini; namun bak kata pepatah biarlah bersusah-susah dahulu asal dapat bersenang-senang kemudian. Ada sinar harapan daripada padangan redup ibu tunggal ini, harapan terhadap anak-anaknya yang tegar menjalani kehidupan demi sebuah kejayaan.

“Kini, Umi sentiasa bersedia jika dipanggil Ilahi. Namun, berpantang maut sebelum ajal. Umi akan terus berusaha untuk terus hidup. Umi yakin janji Allah, bahawa setiap penyakit pasti ada ubatnya. Itulah harapan Umi.” Dalam diam penulis mengaminkan kata-kata beliau. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati kehidupan beliau sekeluarga, di dunia dan juga di akhirat sana, insya-Allah.

Sumber- Utusan Malaysia,10 Jun 2010