INDAHNYA ZAKAT APABILA DIHAYATI

0
2010

Tarikh : 8/25/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

Prolog

“Ayah nak kemana ni?” Satu suara halus bertanya. “Ke surau nak. ” “Ayah, adik nak ikut…” sambil memakai songkok dan berbaju melayu labuh, terkedek-kedek si anak berlari mendapatkan si ayah yang sudah sedia memegang basikal tua. Dengan cepat si anak naik dan duduk di galang basikal lalu mereka menuju ke surau. Di surau, kelihatan si ayah membawa seuncang beras. Seorang pak haji sedang menunggu dengan tersenyum. Lalu si anak bertanya lagi… “Beras ni nak buat apa ayah?” “Ini untuk zakat kita tahun ini nak…”

Demikianlah sedikit sedutan iklan di televisyen yang pernah disiarkan menjelang Hari Raya Aidilfitri beberapa tahun lalu. Keharmonian amat terasa, dengan berlatar belakangkan sebuah desa, sawah padi menghijau, berbasikal tua meniti di batas-batas bendang dan pak aji yang senyum manis menanti di surau, lalu zakat dijadikan tema iklan raya tersebut. Intipatinya hanya satu, menjadikan hari raya medan berkongsi kegembiraan antara si kaya dan miskin yang kelaparan.

Zakat dan Kewajipan

Zakat adalah rukun Islam ketiga. Kedudukannya di tempat ketiga ini dan sering digandingkan oleh Allah SWT dengan arahan mendirikan solat, telah dengan sendirinya menggambarkan status hukum dan kepentingan zakat.

Di samping itu, zakat mula difardukan kepada umat Islam pada tahun kedua selepas hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Ia termasuk dalam ayat-ayat atau surah Madaniyah, iaitu wahyu Allah SWT yang banyak menekan aspek hukum dan syariat Islam berbanding aspek aqidah. Banyak dalil naqli (dalil Al-Quran dan Al-Hadis) yang menyatakan kewajipan zakat, di antaranya firman Allah di dalam surah An-Nur, ayat 56:

“Dan dirikan oleh kamu akan solat serta berikanlah zakat”

Nabi Muhammad SAW juga pernah menyatakan kepada Muaz bin Jabal yang diutus ke Yaman sebagai gabenor akan kepentingan zakat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain:

“Engkau hendaklah menerangkan kepada mereka bahawa Allah SWT mewajibkan sedekah (zakat), yang dikenakan terhadap kekayaan orang kaya di kalangan mereka.”

Falsafah Zakat

Falsafahnya mudah, zakat adalah satu perkongsian. Mengambil harta dari kalangan kaya dan berada untuk diberikan kepada yang miskin, melarat dan melata dan mereka yang memerlukan. Falsafah zakat juga menggambarkan keseimbangan sosial di dalam Islam. Semakin kaya sesebuah masyarakat, semakin meningkat kutipan zakat. Semakin meningkat kutipan zakat menjadikan semakin terbela asnaf-asnaf zakat.

Inilah cantiknya hukum dan syariat zakat ini, sehinggakan di dalam lipatan sejarah ia amat berkesan semasa perlaksanaannya pada zaman Rasulullah. Apatah lagi zakat adalah amalan baik yang berkesinambungan dari apa yang telah diamalkan sebelum turunnya Islam. Sifat-sifat mulia seperti belas ihsan, prihatin dan suka bersedekah telah difardukan akhirnya. Maka, oleh kerana ia sememangnya satu amalan mulia yang tidak bercanggah langsung dengan fitrah manusia, tidak pernah terdengar sedikit pun suara yang membantah dan mengingkari kewajipannya setelah ia diangkat oleh Allah SWT sebagai amalan wajib. Bahkan pada zaman itu, zakat telah menjadi item utama sumber pendapatan negara Madinah Al-Munawwarah demi menjana pembangunan ummah.

Definisi Zakat

Apakah zakat? Dalam Bahasa Arab, zakat ialah kata nama dasar (ism masdar) dari kata fi’il (perbuatan) zaka. Zaka dari aspek bahasa ialah suci, bersih, subur, tumbuh, berkembang, berkat dan terpuji. Oleh itu kita boleh mengqiaskan, harta yang dizakatkan itu sebenarnya akan menjadikan harta si pemilik itu bersih, makin subur dan dapat terus berkembang. Manakala orang yang berzakat juga akan dikurniakan Allah SWT dengan sifat terpuji dan limpahan keberkatan di dalam kehidupannya. Sebab itulah Nabi pernah mengingatkan kepada kita semua: “Jika engkau telah tunaikan zakat hartamu, maka engkau telah menghindari kejahatannya daripadamu.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Al-Hakim) dan juga sebuah hadis lain: “Sesungguhnya Allah telah memfardukan zakat sebagai pensuci kepada harta.” (Riwayat Al-Bukhari).

Manakala, zakat dari aspek istilahiah atau kehendak syariat Islam ialah, harta-harta yang tertentu yang dikeluarkan dengan syarat-syarat tertentu dan diagihkan pula kepada asnaf-asnaf tertentu. Seterusnya, apakah harta-harta-tertentu itu? Apa pula syarat-syarat yang tertentu dan siapakah pula asnaf-asnaf tertentu itu?

Harta-harta tertentu itu ialah seperti apa yang telah sabit di dalam nas naqli seperti emas, perak, hasil pertanian, penternakan, harta rikaz (yang tertanam di dalam perut bumi) dan juga harta-harta berkembang yang lain seperti zakat pendapatan atau gaji seperti royalti, pencen, bonus, zakat saham, zakat wang simpanan termasuklah di Skim Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga zakat perniagaan.

Manakala syarat-syarat tertentu yang mewajibkan zakat itu ialah:

Islam – tidak wajib zakat bagi non-muslim
Merdeka – zakat tidak tertakluk kepada hamba yang dimiliki oleh tuannya
Sempurna milik – zakat hanya tunduk kepada harta yang 100% menjadi milik individu sama ada zat (fizikal) mahu pun manfaatnya
Cukup nisab – zakat hanya dikeluarkan apabila harta itu mencapai paras minimum kadar wajib zakat yang bersamaan harga 85 gram emas pada harga semasa
Cukup haul – zakat hanya dikenakan pada harta yang telah cukup tempoh setahun sama ada tahun Masehi (qamariah) ataupun hijri (syamsiah)

Jika zakat perniagaan, syarat-syarat tambahan lain ialah, harta itu hendaklah diniatkan sebagai barang perniagaan, harta yang diniagakan itu pula adalah halal di sisi syariat dan perlaksanaan perniagaannya juga hendaklah mengikut syariat Islam.

Siapakah golongan tertentu yang berhak menerima zakat atau asnaf-asnaf tertentu itu? Golongan ini sebenarnya terdiri dari lapan jenis golongan yang secara spesifik telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, firman-Nya di dalam surah At-Taubah, ayat 60:

“Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang muallaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk tujuan di jalan Allah (fisabilillah), orang musafir yang (keputusan belanja) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang sedemikian itu) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah SWT dan (ingatlah) Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Pembahagian zakat

Bagi memudahkan umat Islam, ulama’ fikah telah membahagikan zakat itu kepada dua, iaitu zakat fitrah (zakat badan) dan zakat mal (zakat harta). Zakat fitrah adalah seperti apa yang telah digambarkan di dalam iklan raya di atas. Ia diwajibkan di dalam bulan Ramadhan dan wajib ditunaikan sebelum solat hari raya Aidilfitri. Hukumnya wajib kepada setiap individu muslim walaupun dia seorang hamba, dengan syarat mereka hidup pada bulan Ramadhan hingga masuk 1 Syawal.

Kewajipan mengeluarkannya adalah terletak kepada diri sendiri, wali atau ketua keluarga berkenaan. Ia dikeluarkan untuk setiap individu berdasarkan kepada 1 gantang Baghdad yang bersamaan 2.70 kg makanan ruji sesebuah tempat. Dari Ibnu Abbas r.a., berkata: “Rasulullah saw mewajibkan zakat fitrah itu sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan yang kotor dan sebagai makanan bagi orang miskin. Kerana itu, sesiapa mengeluarkannya selepas solat (Aidilfitri), maka ia merupakan salah satu sedekah dari sedekah-sedekah biasa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah).

Manakala bagi zakat mal, ia adalah tertakluk kepada harta-harta tertentu. Zakat mal ini pula tidak diwajibkan kepada hamba, seperti mana zakat fitrah. Dari aspek kekayaan, zakat mal atau harta inilah yang mewakili status kekayaan umat Islam, kerana ia digambarkan kepada ketinggian kutipan zakat di sesuatu tempat. Seperti dinyatakan, semakin tinggi kutipan zakat, bermakna semakin tinggilah taraf sosio-ekonomi rakyat dan semakin melebarlah manfaat zakat kepada lapan asnaf yang memerlukan. Semua ini menjadi indikator kepada keseimbangan sosio-ekonomi, kestabilan politik dan seterusnya kemakmuran negara umat Islam.

Kesimpulan

Pada tahap awal perbincangan ini, diharapkan para pembaca telah mendapat kefahaman awal tentang zakat. Dalil kewajipannya, status zakat dalam rukun Islam, falsafah zakat, definisi zakat dan pembahagiannya. Semua ini akan memudahkan masyarakat untuk memamahi takah seterusnya, kenapakah zakat perlu diangkat kembali menjadi agenda penting ummah. Ini termasuklah isu-isu kontemporari zakat seperti penglibatan sektor kewangan lain dalam institusi zakat, penguatkuasaan undang-undang zakat dan sebagainya lagi. Insya-Allah, dengan kefahaman yang jelas ini akan memudahkan kita mempelajari zakat, satu rukun Islam yang manfaatnya bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua orang Islam di dunia ini. Wallahua’lam.

* Sebagai contoh, kadar zakat fitrah dikira seperti berikut: sekilo beras berharga RM2.50 maka didarab dengan 2.70 kg = RM6.75. Maka ditetapkan kadar bagi setiap orang itu zakat fitrahnya ialah RM6.75. Ia berubah-ubah dari tahun ke tahun.