Tarikh : 11/18/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid
“Ketika mula-mula diberhentikan bantuan zakat; hati saya kecut. Jiwa terasa jera. Bolehkah saya meneruskan kehidupan. Tetapi, seorang kawan yang sudah pun dikeluarkan daripada senarai asnaf miskin, memberikan perangsang. Dia berkata kepada saya, jangan rasa gelisah; tetapi hendaklah berusaha!”
Demikianlah secebis bicara Puan Saloma Tan, 45 yang menimbulkan minat penulis untuk memaparkan kisahnya di ruangan Jejak Asnaf pada kali ini. Seorang bekas asnaf zakat yang kini kian berani menongkah arus perniagaan. Manalah tahu, ia mampu membuka minda kepada ramai pembaca, bahawa zakat adalah bantuan yang tidak sepatutnya ditagih sepanjang usia.
Berasal dari Sekinchan dan menjelang tahun 2001, Saloma berpindah ke Kelang. Kala itu, dia sudah pun bergelar ibu tunggal dan turut bersamanya enam orang anak.
“Perkenalan saya dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bermula pada tahun 2002. LZS mempelawa saya mengikuti kursus kraftangan, iaitu membuat bakul dan anyaman daripada kertas surat khabar lama.
“Saya ingat lagi, kami 12 orang kala itu adalah ibu tunggal yang merupakan perintis kepada projek asnaf ini. Kami diberikan kursus selama sebulan, dua minggu di Kelang dan dua minggu berikutnya di Selayang. Alhamdulillah, tamat kursus tersebut, saya sudah mempunyai kemahiran menghasilkan pelbagai kraftangan daripada kertas surat khabar.”
Penuh minat Saloma berkongsi cerita. Namun, kehidupan bukanlah selalunya ceria. Ada masanya, kita pasti akan diuji dengan kepayahan yang menuntut sebongkah kesabaran.
“Akhir 2005 saya bertemu jodoh kali kedua. Saya juga pernah diberikan bantuan bulanan oleh LZS. Bahkan, berbekalkan sedikit kemahiran dan niat mahu merubah masa hadapan, saya memohon bantuan modal daripada LZS. Alhamdulillah, LZS meluluskan bantuan modal perniagaan sebanyak RM5,000.00.
“Saya rasa seronok berniaga, dari sehari ke sehari perniagaan bertambah maju. Hinggalah suatu hari, saya didatangi oleh seorang wanita yang kelihatannya orang kaya dan berada. Wanita berkenaan mengaku dirinya seorang ‘datin’. Saya percaya dengannya, apatah lagi pihak D’ Asnaf Kraf, iaitu satu badan projek di bawah LZS pun percaya dengannya.
“Wanita berkenaan datang beberapa kali ke tempat saya dan mengambil pelbagai jenis hasil kraftangan. Dia berjanji akan memberikan bayaran. Dek kerana terpedaya dengan kelicikannya, akhirnya saya rugi hampir RM11,000.00. Barang-barang sudah diambil dan dia lesap menghilangkan diri.”
Saloma bercerita lanjut tentang kisah penipuan yang pernah melanda dirinya.
“Saya terpaksa menanggung kerugian itu dengan menjelaskan bayaran kepada beberapa orang lain yang saya minta membantu menyediakan hasil kraftangan tersebut. Apa hendak dikatakan, sudah nasib saya, kurang berhati-hati menerima tempahan.”
Bagaikan jatuh kemudiannya di timpa tangga. Rumah tangga yang dibina oleh Saloma diuji sedikit gelora. Tetapi, dia masih lagi mampu bertahan. Namun, demi meneruskan kehidupan, Saloma bingkas menyinsing lengan menghadapi cabaran.
“Susah-senang saya kena hadapi sendiri. Saya tidak boleh bergantung kepada takdir semata-mata. Islam mengajar kita berusaha. Lalu, saya mencuba nasib menjual alatan solek, pakaian dan pelbagai perhiasan. Syukur, setakat ini nampaknya saya mampu meneruskan perniagaan ini walaupun dalam keterbatasan modal.”
Sungguh pun sudah dikeluarkan daripada asnaf miskin, namun LZS masih mengizinkan Saloma untuk terus menetap di Rumah Transit LZS yang dikenali Baitul Barakah, di Klang. Ini demi membolehkan beliau benar-benar dapat berdikari dan seterusnya benar-benar mampu menyara kehidupannya. LZS memberikan tempoh maksima dua tahun kepada seseorang penerima zakat untuk berusaha dan memiliki rumah sendiri.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada LZS, kerana masih mengizinkan saya menetap di rumah transit itu. Saya faham, LZS pasti akan meminta saya keluar juga nanti. Tetapi, dengan adanya ruang waktu itu, ia memberikan sedikit keluasan hidup bagi saya memulakan perniagaan baharu. Maklumlah, bukan mudah untuk terus hidup di bandar besar.
“Saya juga merasa bersyukur, justeru LZS menawarkan tempat kepada saya untuk berniaga di beberapa Bazaar Asnaf di sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya. Memang keuntungannya agak tinggi. Di samping itu, saya juga mencuba nasib dengan memasuki pelbagai premis kerajaan. Biasalah, ada sesetengahnya saya untung dan setengahnya cukup-cukup makan sahajalah.”
Ditanya, apakah perasaannya bila mendapat bantuan LZS. Tanpa segan Saloma mengalungkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada para pembayar zakat.
“Sebenarnya, wang zakat itu mampu membuka mata para penerima zakat, bahawa kemiskinan itu masih ada jalan keluarnya. Masa hadapan adalah terbuka untuk sesiapa sahaja yang rajin berusaha. Bahkan, zakat juga membuktikan bahawa orang-orang kaya masih ramai yang ingat pada orang yang susah. Mudah-mudahan Allah memberkati rezeki mereka dan mereka dapat terus berzakat. Jika boleh, biar lebih ramai yang dibantu dan lebih ramai yang dapat berdikari.”
Di penghujung bicaranya, Saloma meluahkan hasrat hatinya untuk menjadi peniaga yang berjaya dan kelak, mampu menghulurkan sedikit daripada kelebihan rezekinya sebagai zakat.
“Saya terbaca di dalam buku, rezeki orang yang berzakat itu dijamin Allah. Saya ingin membayar zakat, kerana saya juga ingin diberkati Allah.” Tuntasnya.
Nota: Mana-mana syarikat di sekitar Lembah Kelang yang berhasrat menjemput Saloma membuka gerai jualan di pejabat atau premis mereka, boleh menghubunginya di talian 012-935 5835.