MENGINTAI HIKMAH ZAKAT DAN SEDEKAH

0
1020

Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat,
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Islam agama syariat, yang menjadi panduan hidup untuk seluruh umat. Syariat menunjukkan, bagaimana untuk kita menjalani tatih hayat di atas dunia, apa yang perlu dilakukan, apa yang wajib ditinggalkan, apa yang mendatangkan mudarat dan apa yang menimbulkan nikmat. Syariat menentukan kaitan antara dunia dan akhirat.

Dalam kepelbagaian aturan Allah SWT yang dinamakan syariat itu, kita wajar memahami bahawa salah satu perkara yang sangat penting ialah tatacara perhubungan sesama manusia. Dalam hal ini, Allah SWT telah mensyariatkan kepada kita apa yang dinamakan sebagai sedekah dan zakat.

Sedekah dan zakat, dua perkara yang sama namun berbeza. Sedekah itu meliputi sama ada sedekah sunat mahu pun sedekah wajib. Sedekah sunat adalah banyak, menghantar pisang ke masjid pada hari Jumaat misalnya, adalah sedekah. Zakat juga adalah sedekah, tetapi ia adalah sedekah yang wajib.

Allah SWT berfirman yang mafhumnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka (umat Islam) sebagai sedekah, yang dengannya (ia dapat) menyucikan dan membersihkan mereka,” (at-Taubah: 103)

Kalimah ‘sedekah’ di dalam ayat di atas, bermaksud sedekah wajib, yakni zakat. Inilah pandangan ulama mufassirin yang menjadi dalil bagi terlaksananya kaedah pengambilan harta zakat waima secara paksa apabila keadaan memerlukan (insya-Allah hal ini akan kita diskusi pada lain kesempatan). Maka, fahamlah kita bahawa zakat adalah sedekah yang wajib yang pastinya mempunyai tatacara tertentu bersandarkan kehendak Islam semasa menunaikannya.

Dalam ruangan yang terbatas ini, kita ingin melihat rasional di sebalik pensyariatan zakat kepada umat Islam. Allah al-Khalik Maha Tahu, apakah keperluan manusia. Ini kerana, Dialah yang menjadikan kita maka pasti Dia jugalah yang tahu apa yang terbaik kepada kita. Termasuklah dalam hal-ehwal zakat ini.

Zakat adalah syariat yang bersangkutan di antara hubungan sesama manusia (hablumminannas). Zakat tujuannya tidak lain dan tidak bukan, ialah demi menjamin keseimbangan hidup. Ini kerana, orang-orang miskin dan kaya, akan sentiasa ada sampailah dunia ini menuju ke penghujungnya.

Golongan miskin ini hanya akan terhapus, apabila semboyan kiamat hampir ditiup oleh malaikat Israfil. Selagi itu belum terjadi, manusia kaya dan miskin akan terus wujud dan beriringan. Samalah seperti adanya malam dan siang, laut dan daratan, lelaki dan perempuan.

Dalam Islam, harta hendaklah diagihkan atau diedarkan secara saksama sesama manusia. Untuk itulah, maka Allah SWT menegah jika harta kekayaan itu hanya berlingkaran dalam kalangan orang-orang kaya sahaja. Ia demi mengelak daripada berlakunya manipulasi ke atas golongan yang lemah, sama seperti mana yang pernah berlaku lewat sebelum kedatangan Islam ke Kota Mekah. Kala itu, orang miskin terjerat dalam sistem pengumpulan harta oleh orang kaya, sehingga ada yang terpaksa menjadi hamba demi melunaskan hutangnya!

Maka Allah menyatakan: “Apa sahaja harta rampasan (fa’i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu,” (al-Hasyr, 59: 7)

Zakat memastikan harta dapat dikongsi secara saksama. Setiap orang mempunyai hak, sama ada hak untuk memberi dan hak untuk menerima. Tiada sesiapa boleh menghalang seseorang daripada memberikan hartanya kepada orang lain. Begitu juga, tiada sesiapa boleh mendabik dada menegah hartanya daripada diambil demi kebaikan orang lain. Ini semua mampu terlaksana dengan adanya syariat zakat.

Inilah secebis keunggulan sistem yang dititipkan Allah azzawajalla kepada kita. Ia bukan sistem yang menindas apatah lagi memeras; sebaliknya satu sistem yang sangat cantik demi melestarikan keluk keseimbangan kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Wallahua’lam.