“SAYA NAK IKUT RASULULLAH SAW” – HANAFI

0
481

Tarikh : 10/28/2010
Penulis : editor

Musim haji yang menjelang diikuti Hari Raya Korban, membuatkan minda penulis teringat kepada seseorang. Beliau adalah Hanafi Pai’man, 40 salah seorang asnaf zakat di Meru, Klang, yang pernah penulis temui beberapa waktu yang lalu. Masakan penulis boleh melupakan lelaki ini, justeru beliau pernah menyatakan: “Saya nak cuba ikut macam rasulullah”, menternak kambing demi menyara keluarganya.

Bukan mudah menyara sebuah keluarga yang besar. Bersama seorang isteri, Masriah Abdul Ghaffar, 41 mereka dikurniakan sembilan anak. Isterinya pula tidak begitu sihat. Lalu, kira-kira tiga tahun yang lalu, Hanafi nekad berhenti kerja. Kemudian, dia menceburkan diri dalam dunia pertanian.

“Dahulu saya pernah berkerja di kilang papan. Gaji tak seberapa, adalah dalam RM500.00 ke RM800.00 sebulan. Kemudian, kilang itu pula berpindah ke tempat yang lebih jauh. Tidak berbaloi rasanya memerah keringat berkerja di sana, maka saya mulai berjinak-jinak memelihara kambing.”

Demikianlah dia berkongsi cerita. Benar, kedatangan kami dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) disambut ceria di samping Hanafi bangga menunjukkan kambing yang diternaknya.

“Saya menternak kambing dari baka Senan Crose. Alhamdulillah, LZS telah memberikan saya modal untuk mengusahakan penternakan ini. Kini, setelah berhenti kerja maka saya dapat menumpukan perhatian dalam penternakan kambing.”

Di samping menternak kambing, Hanafi tidak mensesiakan kudrat yang ada. Dia turut mengambil upah melakukan pendawaian elektrik di rumah orang. Kadang-kadang, ada juga kontraktor atau kawan-kawan yang memanggilnya untuk membuat pendawaian elektrik. Dapatlah juga menampung keperluan keluarganya.

Di samping itu, di belakang rumahnya juga, Hanafi tidak membiarkan tanah yang ada terbiar kosong. Dia bukan sekadar membina kandang kambing, bahkan turut membina kolam bagi tujuan menternak itik. Hanafi juga mengusahakan pertanian ala fertigasi.

“Dahulu saya cuba menanam cili di dalam polibeg. Apa orang kata, teknik fertigasi. Tapi, malangnya kurang menjadi. Saya fikir mungkin kerana faktor cuaca. Cili tidak begitu tahan dengan cuaca begitu lembab. Untuk memasang plastik sebagai pelindung, banyak pula belanjanya. Insya-Allah, selepas ini saya akan mengalihkan kepada beberapa tanaman sayuran lain pula. Mungkin kacang bendi dan terung, yang lebih kuat daya tahannya.

Di samping itu, kini saya juga menternak itik. Ada dua jenis itik, iaitu hitam dan putih. Itik hitam untuk telur dan itik putih untuk daging. Dahulu, saya dan bapa mengusahakan ternakan keli dan lintah. Tetapi, tidak berapa menjadi. Sebab itu kami beralih memelihara itik pula.”

Berkat bernaung sebagai asnaf di LZS, Hanafi telah berjaya mengikuti pelbagai siri kursus. Termasuklah kursus kemahiran keusahawanan dan kursus menternak kambing.

“LZS pernah mempelawa saya mengikuti kursus menternak kambing. Saya masih ingat, tiga hari dua malam saya dan empat orang lagi asnaf telah dihantar berkursus di sebuah ladang. Seronok, sebab dapat banyak pendedahan dan pengalaman baharu.” Tegasnya.

“Sungguh pun kambing peliharaan saya masih tidak banyak, tetapi saya tetap menerima pesanan atau permintaan jika ada orang yang mahu membeli kambing. Sama ada untuk aqiqah, korban, kenduri atau apa sahaja, insya-Allah saya boleh membekalkannya. Bahkan, bukan sekadar kambing, lembu pun jika mahu, saya boleh usahakan.”

Demikianlah Hanafi menegaskan kesungguhannya menjadi penternak berjaya. Dia turut mempunyai kenalan yang membekalkan kambing dan lembu kepadanya untuk pasaran semasa.

Hingga kini, kambing Senan Crose milik Hanafi sudah pun membiak menjadi 12 ekor. Untuk memudahkan beliau, lalu LZS telah membekalkan mesin memproses makanan berserta 20 tong fiber yang digunakan bagi tujuan memeram daun-daun yang sudah diproses. Ia akan menjadi makanan kambing pada musim hujan kelak. LZS turut memberikan modal tambahan bagi membesarkan kandang kambingnya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada LZS, khususnya kepada pembayar zakat. Dengan wang zakat itulah, ia banyak meringankan bebanan saya. Terutamanya bagi pendidikan anak-anak.”

Nampaknya, sudah ada tanda-tanda anak-anak Hanafi akan menjadi anak yang cemerlang. Anak keduanya, Mohd. Abdul Rahman, 19 kini sudah pun melanjutkan pendidikan dalam bidang Bahasa Arab dan Komunikasi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai.

Hanafi juga beruntung, justeru kedua orang tuanya – Hj. Pai’man Hj. Abdul Latif, 80 dan ibunya, Hajah Markiah Ahmad, 60 amat memahami bahkan sentiasa menyokong usahanya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa saya. Mereka sering membantu keluarga saya, menengokkan anak-anak kala isteri saya keuzuran, bahkan banyak memberikan sokongan kepada saya selama ini.” Ujar Hanafi penuh kesyukuran.