TUNAI ZAKAT, CUKAI DIKURANGKAN

0
6874

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Ketua Unit Perhubungan Awam
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

TIDAK banyak negara di dunia yang memberikan kelonggaran kepada umat Islam dalam bab cukai. Di Malaysia, undang-undang negara ini menerusi Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3) memberikan keistimewaan kepada orang Islam.

Akta berkenaan menyatakan: “Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis”.

Rebat secara umumnya bermakna, jumlah cukai yang dapat dikurangkan dengan pembayaran zakat. Semakin banyak berzakat, semakin sedikit cukai dibayar.

Jika amaun zakatnya menyamai atau melebihi cukai, maka seseorang itu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatannya.

Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumi akan hal ini. Maka, rebat akan diberikan oleh LHDN berdasarkan tarikh resit zakat yang dibayar di dalam tahun taksiran cukai pendapatan (tahun semasa).
Ini bermakna, jika seseorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2010, maknanya rebat akan diberikan pada tahun berkenaan sahaja.

Di samping itu, menurut ACP 1967, Seksyen 6A (3) di atas, tidak dinyatakan jumlah amaun tertentu atau batas amaun dalam rebat ke atas cukai. Ini bermakna, selagi mana pembayaran itu dibuat atas nama pembayaran yang wajib di sisi agama – dalam konteks ini ialah zakat – maka ia masih dikira sah untuk memperolehi rebat ke atas cukai berkenaan.

Walau bagaimanapun, timbul isu apabila seseorang memberikan zakat dalam amaun yang besar berbanding pendapatannya. Harus diingat, kadar zakat hanyalah dalam batas 2.5 peratus sahaja, maka seandainya seseorang itu memberikan jumlah zakat yang lebih besar, maka akan timbul pertanyaan di pihak LHDN, adakah sebenarnya pendapatan seseorang itu lebih besar berbanding apa yang diisytiharkan di dalam borang taksiran cukai (BE).

Maka, di sini pihak pembayar zakat sewajarnya bijak menggunakan keluwesan akta yang meletakkan ‘bayaran wajib’ bagi menunaikan lain-lain zakat dan tidak semestinya hanya terbatas kepada zakat pendapatan sahaja.

Mereka boleh misalnya menunaikan zakat emas, zakat saham, zakat wang simpanan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja hatta qada zakat terdahulu ke dalam bayaran zakat menerusi ‘potongan zakat pendapatan’ semasa.

Ini semua adalah bayaran wajib yang melayakkan mereka untuk memperolehi rebat ke atas cukai pendapatan mereka.

Setiap orang yang sudah menunaikan zakat, hendaklah menyimpan dengan baik dan selamat segala bukti pembayaran zakat, sama ada resit bayaran zakat fitrah mahu pun penyata zakat tahunan.

Ini adalah bukti yang wajib dikemukakan kepada pihak LHDN kelak, apabila diminta berbuat demikian. Kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan masalah, kerana deklarasi yang dibuat tidak dapat dibuktikan.

Oleh itu, umat Islam di Malaysia hendaklah mengambil peluang yang terbuka ini seluas-luasnya bagi melunaskan zakat ke atas harta mereka. Pengalaman penulis sewaktu berkunjung ke negara jiran tidak berapa lama dahulu dan berkongsi informasi zakat ini, menyebabkan mereka amat teruja dengan kelebihan yang ada di negara kita.

Ini kerana, kemudahan seperti ini tiada di negara mereka, sehingga menyebabkan setiap orang Islam terpaksa melaksanakan kewajipan zakat dan selepas itu kewajipan cukai.

Insya-Allah, penulis akan berkongsi mengenai kelebihan membayar zakat menerusi kaedah potongan gaji pula pada siri yang akan datang. Semua ini adalah inovasi dalam dunia zakat, yang natijahnya bukan sekadar memudahkan urusan kita di dunia; bahkan memudahkan juga urusan kita di akhirat sana.

Firman Allah yang bermaksud: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu. (al-Baqarah: 185).