ZIKRA PERLIHAT REALITI KEHIDUPAN ASNAF

0
579

Oleh: Farizwan Hasbullah

BERKATA mengenai zakat, banyak perkara yang pastinya terlintas di fikiran kita. Kadang-kadang kita bertanya di dalam diri, di manakah wang zakat yang dibayar itu disalurkan dan siapakah asnaf penerima yang telah memperoleh manfaat itu?

Adakah wang zakat yang berjaya dikutip itu benar-benar telah diagihkan seadil mungkin? dan bagaimana pula halnya bagi mereka yang lebih memilih untuk membayar zakat terus kepada golongan yang dirasakan layak?

Semua persoalan itu timbul mungkin kerana masih ada kejadian di mana umat Islam dibelenggu kemiskinan dan hidup melarat, kisah-kisah anak yatim terbiar, golongan mualaf terpinggir dan tidak kurang juga, institusi kebajikan yang tidak terurus. Sedangkan, pada masa sama, segelintir agensi pungutan zakat berbangga menguar-uarkan kepada media akan jumlah kutipan mereka yang mencecah jutaan ringgit setahun.

Namun sebenarnya, usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan program yang dikenali sebagai ‘Program Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf’ atau singkatannya Zikra dikira satu usaha yang tepat pada masanya dan satu langkah yang perlu dicontohi.

Malah ia sekali gus menjadi platform dalam usaha merungkai kemelut persoalan yang tidak mustahil terlintas di benak atau di kotak fikiran setiap insan yang bergelar pembayar zakat.

Zikra adalah program tahunan LZS dan penganjurannya Rabu lalu merupakan program kali kedua. Zikra yang pertama ke beberapa projek pembangunan asnaf zakat yang terletak di beberapa daerah di Hulu Selangor.

Program ini bertujuan mendedahkan aktiviti agihan secara langsung kepada umat Islam, di samping mendapatkan maklum balas secara terus daripada para peserta jemputan terhadap projek-projek agihan zakat yang dilakukan.

Pengarah Zikra-2 yang juga Ketua Unit Perhubungan Awam, LZS, Hamizul Abdul Hamid menjelaskan, pihaknya mensasarkan penyertaan daripada pihak media massa, demi membolehkan pihak itu membuat liputan secara terus di dalam media masing-masing agar dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

“Penyertaan pihak korporat antaranya; Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), DEMC Management Sdn. Bhd., Nasim Sdn. Bhd., Universiti Putra Malaysia (UPM), Perpustakaan Negeri Selangor, Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan Pama Niaga adalah sebagai wakil pembayar zakat yang bertindak menjadi ‘mata dan telinga’ dalam menilai agihan zakat yang telah dilaksanakan.

“Di samping itu, program ini akan turut melibatkan beberapa aktiviti sampingan dan dibuat secara tidak formal dengan tujuan merapatkan ukhuwah, sama ada di antara pembayar zakat, media massa, LZS mahupun asnaf zakat,” kata Hamizul natijah akhir daripada program Zikra ini adalah merapatkan jaringan di antara semua pihak demi kebaikan umat Islam di Selangor.

Seawal 8.15 pagi, para peserta berkumpul di perkarangan Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor sebelum rombongan seramai 90 peserta termasuk pembayar zakat, ejen kutipan dan media massa dilepaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, sekali gus simbolik kepada pelancaran konvoi Zikra-2 tepat pukul 8.45 pagi itu.

Konvoi pagi itu mungkin menjadi kenangan manis kepada sebahagian peserta kerana ia bukan sahaja peluang melihat secara langsung realiti kehidupan asnaf zakat dari dekat.

Namun, seperkara yang jarang dialami dalam hidup para peserta ini ialah apabila rombongan lawatan hari itu diiringitiga polis trafik, yang sudah semestinya berjaya memastikan kelancaran perjalanan keseluruhan program yang bermula dari Shah Alam dan berakhir di Sungai Nibong, Sabak Bernam, Selangor sebelum berpatah balik ke Masjid Negeri Shah Alam. Selangor.

Kecekapan mereka memastikan kelancaran di jalan raya, secara tidak langsung menyumbang kepada ketepatan masa mengikut jadual… Syabas…

Destinasi pertama lawatan adalah ke Pusat Dialisis LZS (MAIS) di Batu 4, Jalan Kapar, Klang dalam masa tidak sampai setengah jam. Pusat Dialisis ini adalah satu daripada empat pusat dialisis yang dibina oleh LZS.

Ketika di sini, para peserta diberi penerangan ringkas oleh Jururawat Bertugas yang juga penyelia, Rosniza Mohamed Addnan tentang operasi pusat tersebut.

Katanya, sejak beroperasi tiga tahun lalu, jumlah pesakitnya bertambah dari semasa ke semasa. Jumlah terkini yang sedang menerima rawatan di pusat itu adalah seramai 47 orang yang dikendalikan oleh 12 kakitangan yang bekerja dalam tiga syif.

“Terdapat 11 mesin di pusat ini dan bayaran untuk sekali rawatan sekitar RM150. Ini tidak termasuk ubat-ubatan dan suntikan. Malah dianggarkan kos untuk seorang pesakit adalah antara RM3,500 hingga RM4,000 sebulan termasuk rawatan dan ubatan.

“Pusat ini juga menyediakan pengangkutan kepada pesakit yang menghadapi kesukaran untuk pergi ke pusat itu,” katanya.

Seterusnya, peserta konvoi melawat asrama terbesar anak asnaf fakir miskin di Selangor iaitu di Kampung Perepat, Klang yang dikenali sebagai Asrama Baitul Hasanah LZS, Klang dengan kos pembinaan RM9 juta.

“Cadangan pembinaan asrama Baitul Hasanah kedua ini dibuat pada tahun 2004 dan siap sepenuhnya pada 2009. Matlamat asal pembinaan asrama ini adalah untuk mengelakkan keciciran pelajar daripada golongan sasaran, menjaga kebajikan dan melatih mereka ini ke arah kecemerlangan.

“Walaupun asrama ini berkemampuan menampung 288 pelajar pada satu-satu waktu tetapi kami akan hanya mengisi seramai 250 penghuni. Buat masa ini pada pengambilan pertama terdapat seramai 100 pelajar antara usia 10 hingga 12 tahun,” kata Pengurusnya, Mohd. Rodhi Abu Hashim sebelum membawa rombongan melawat ke persekitaran Baitul Hasanah seluas tiga hektar itu.

Tambahnya, pada sesi kemasukan 2011, pihaknya bakal menerima 50 lagi pelajar baru menjadikan jumlahnya 150 orang yang dipilih daripada sembilan daerah di Selangor.

Kata Mohd. Rodhi lagi, pihaknya amat mengalu-alukan segala bentuk sumbangan, terutamanya bahan-bahan bacaan, komputer, kipas angin dan tiga penghawa dingin, memandangkan kos perbelanjaan pengurusan, persekolahan, wang saku dan sebagainya mencecah RM50,000 sebulan.

Destinasi diteruskan ke rumah warga emas LZS, Darul Salamah. Rumah yang dihuni oleh tujuh warga emas perempuan antara usia 55 tahun hingga 80 tahun yang juga sebatang kara serta mempunyai pelbagai penyakit kronik.

Jelas tergambar rasa keinsafan pada raut wajah para peserta bila mana mendapati bahawa tulang belakang terteguhnya rumah itu adalah atas kudrat tua pesara tentera, Mojd. Mukrin Suif, 70, dan isterinya, Saamah Misman, 60.

Komitmen pasangan tua ini memang menyentuh setiap kita yang tidak lari daripada fitrah perasaan kasihan belas. Bagaimana kesungguhan dan kemampuan mereka mengisi sisa-sisa usia tua penghuni rumah ini dengan kelas-kelas pengajian agama sesuai dengan kemampuan dan usia para penghuninya wajar diberi sokongan.

Setibanya para peserta di Desa Ehsan, Sungai Nibong, Sabak Bernam menandakan lawatan Zikra-2 menghampiri ke destinasi akhir. Rombongan disambut dengan bacaan selawat Nabi SAW oleh anak-anak penduduk di situ sambil diiringi paluan kompang.

Lawatan ke Pusat Kegiatan Ekonomi Bengkel Jahitan D’Asnaf Anggun tambah mengujakan apabila melihat kerancakan beberapa pekerja yang diambil daripada golongan asnaf sibuk menyiapkan pakaian sekolah untuk sesi persekolahan 2011 yang bakal bermula tidak lama lagi.

Kami difahamkan bahawa ini adalah bengkel ketiga daripada lima bengkel keseluruhan tetapi adalah yang pertama di Kuala Selangor yang dibina atas pembiayaan LZS.

Buat masa ini, bengkel Jahitan D’Asnaf Anggun hanya menerima tempahan pakaian seragam sekolah anak-anak asnaf zakat sahaja.

Bengkel ini turut memberi pendapatan tambahan kepada pekerja di mana mereka mampu memperoleh antara RM500 ke RM1,000 sebulan bergantung kepada kemahiran dan keupayaan penghasilan mereka.

Kami juga sempat berkenalan dengan pasangan Mansor Husin, 54, dan Bariah Pandi, 53, penerima bantuan rumah di penempatan berkelompok asnaf fakir dan miskin yang diwujudkan sejak tahun 1998 di beberapa daerah di Selangor.

Mansor yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah kebangsaan berdekatan situ memberitahu, mereka lima beranak sudah 10 tahun tinggal di rumah yang dikira selesa dengan tiga bilik tidur, satu bilik mandi, mempunyai ruang tamu dan ruang dapur yang sederhana luasnya.

“Kalau dahulu kami menumpang di rumah kakak tetapi setelah layak tinggal di rumah pemberian LZS, banyaklah perubahan dalam kehidupan ini yang dirasai. Dulu kami juga menerima perbelanjaan pembiayaan persekolahan ketiga-tiga anak, belanja bulanan dan bantuan-bantuan lain.

“Alhamdulillah, dengan adanya sumbangan pembayar zakat ini serta LZS yang menyalurkan bantuan kehidupan kami sememangnya terbela, tidaklah seterusnya kami hidup di dalam kesusahan.

“Isteri saya juga sejak menjahit di bengkel jahitan, kini dapat membantu perbelanjaan harian dan ada ketikanya mengambil upah menjahit pakaian luar. Memang kami tidak mengharapkan untuk terus tinggal di sini kerana mahu juga bergelar pembayar zakat suatu hari nanti,” kata mereka.

Acara hari itu disudahi dengan majlis perasmian penutup yang disempurnakan Mohamed Izam, sebelum para peserta dijamu makan tengah hari.