Pengertian Bahasa

Merupakan kata terbitan dari kalimah ( زَكَى ) bermaksud suci dan subur, termasuklah bersih, berkat, berkembang, dan baik kepada harta zakat, pembayar zakat, dan penerima zakat.

Dari Segi Syarak

Zakat adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.

Kedudukan Dalam Islam

Zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima.

Hukum Zakat

Zakat adalah Fardhu Ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib.

Oleh itu, seseorang muslim yang mengingkari kefardhuan zakat boleh mengakibatkan murtad. Manakala individu muslim yang meninggalkan zakat tanpa mengingkari kewajipannya adalah berdosa besar. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat.

Hikmah Disyariatkan Zakat

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang kelima. Antara hikmah dan tujuan ALLAH SWT mensyariatkan zakat ialah:

  • Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.
  • Membersihkan diri pembayar zakat.
  • Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
  • Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT di kalangan golongan yang berada.
  • Mengurangkan perasaan iri hati di kalangan yang kurang bernasib baik.
  • Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH SWT di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.
  • Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka.
  • Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.
  • Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai ALLAH SWT.
  • Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat.