Takrif Pendapatan (al-Mal al-Mustafad)

Harta pendapatan bermaksud semua jenis upah, imbuhan, bayaran atau hasil yang diperolehi daripada kerja atau usaha yang dilakukan sama ada secara tetap atau sekali sekali.

Dalil Wajib Zakat

Firman Allah s.w.t:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّآ أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا۟ ٱلْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغْمِضُوا۟ فِيهِ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ ۝٢٦٧

“Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”

(Surah Al-Baqarah : Ayat 267)

Allah menjelaskan bahawa segala ‘hasil usaha yang baik’ itu wajib dizakat. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu profesion, maka itu juga termasuk dalam ‘hasil usaha’ yang wajib dizakat.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Menjadi sesuatu kewajipan ke atas setiap Muslim bersedekah (zakat)”. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?”. Baginda menjawab, “Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah.” Mereka bertanya, ” Kalau tidak mempunyai pekerjaan?”. Baginda bersabda, “Tolonglah mereka yang meminta pertolongan”. Mereka bertanya lagi, “Bagaimana pula jika tidak berkuasa?”. Baginda menjawab, “Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah”.

(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Tunaikanlah zakat harta kamu”.

(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Kalimah ‘am-wa-lakum’ yang digunakan dalam hadis di atas memberi maksud umum merangkumi segala jenis harta.

Jenis-Jenis Harta Pendapatan

Ulama’ mutaakhirin membahagikan Mal al-Mustafad kepada kategori berikut:

1. Zakat Harta Penggajian dan Upah Kerja ( كَسَبُ العَمَلِ وَالرَوَاتِبِ وَالأُجُورِ )

Ia bermaksud “Harta yang diperolehi oleh seseorang hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya untuk pihak lain sama ada kerajaan, swasta atau individu dengan melakukan sebarang usaha dalam bentuk fizikal, sumbangan idea atau kedua-duanya dalam tempoh yang dipersetujui bersama, sama ada secara tahunan, bulanan, mingguan, harian atau jam.”Contoh :

  • Gaji, upah, bonus, tuntukan kerja lebih masa, gratuiti, pampasan, pencen, hadiah , anugerah & insentif, hasil ESOS (Skim pilihan sahan pekerja) dan sebagainya.
  • Apa-apa hasil yang diperolehi dengan sebab pekerjaan atau penggajian.

2. Zakat Harta Pemberian Atau Sumbangan ( العطية )

Ia bermaksud “Harta yang diperolehi oleh seseorang bukannya hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya. Ia merupakan pemberian yang diterima samada daripada individu atau institusi dalam tahun semasa ” dalam berbentuk harta zakawi yang bukan dalam bentuk harta tetap (al ‘aqar) dan bukan merupakan nafkah wajib.”Contoh :

  • Hibah, hadiah, saguhati, pencen pasangan, sedekah
  • Pampasan, harta pusaka, mahar perkahwinan

3. Zakat Harta Kerja Bebas ( المَهَنُ الحُرَّة )

Iaitu harta yang diperolehi oleh seseorang hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya sendiri tanpa ada kaitan dengan pihak lain dalam bentuk kerja bebas atau perkhidmatan profesional..Contoh :

  • Bayaran perkhidmatan konsultansi profesional seperti peguam, arkitek, doktor klinik atau hospital swasta dan sebagainya.
  • Bayaran projek yang diterima oleh kontraktor dan keuntungan projek bermusim.
  • Komisyen dan residual income – pendapatan dari jualan insurans, takaful, unit trust, brokeraj dan seumpamanya.
  • Bayaran royalti atau komisyen yang diterima hasl penulisan, penerbitan, aktiviti seni dan sebagainya.
  • Hasil tunai sekali sekala seperti hasil pembiayaan semula aset atau hasil jualan aset tetap atau pinjaman bank yang tiada tujuan dan lain-lain.

4. Zakat Harta al-Mustaghallat ( المُسْتَغَلاَّتْ )

Iaitu segala harta yang diperolehi daripada harta yang tidak diwajibkan zakat tetapi mendatangkan pulangan atau pendapatan dengan cara sewaan atau jualan hasilnya. Contoh:

  • Hasil sewaan rumah, bangunan, kilang, premis, perniagaan dan sebagainya.
  • Hasil sewaan kenderaan, pengangkutan, peralatan, aset atau sebagainya.
  • Hasil yang dikeluarkan oleh binatang ternakan seperti susu, telur, madu dan sebagainya yang dijual

Tolakan Zakat Dan Keperluan Asasi (Had Kifayah)

Mengikut Fatwa Negeri Selangor bahawa keperluan asasi yang sangat dihajari oleh manusia adalah terlepas daripada kewajipan zakat.

Asas had al-kifayah ialah segala keperluan asasi yang mesti ada pada diri seseorang dan tanggungannya seperti isteri, anak-anak, ibubapa, adik beradik dan sebagainya.

Keperluan asasi yang diambil kita dalam penentuan Had al-Kafayah adalah seperti berikut :

  • Perlindungan
  • Makanan dan minuman
  • Pakaian
  • Perubatan
  • Pendidikan
  • Pengangkutan

Kira Zakat PendapatanKira Zakat Pendapatan