Hukum Zakat Atas Harta Galian

0
2715
Hukum Zakat Atas Harta Galian
Hukum Zakat Atas Harta Galian
Hukum Zakat Atas Harta Galian
Hukum Zakat Atas Harta Galian

Soalan: Saya ada beberapa persoalan mengenai zakat galian, iaitu:

a) Apakah yang dimaksudkan dengan galian?
b) Siapakah yang perlu membayar zakat galian?
c) Sekiranya sesebuah syarikat terlibat dalam perusahaan galian, zakat apakah yang perlu dilunaskan oleh pihak syarikat?
d) Berapakah kadar peratusan zakat yang perlu dikeluarkan sekiranya syarikat perlu mengeluarkan zakat galian?

Jawapan: Harta galian dan harta karun ialah harta yang dikeluarkan daripada perut bumi dan wajib dizakatkan. Dalam kes di atas, ia dikategorikan sebagai harta ma’adin (galian dalam bentuk bahan mentah), iaitu segala hasil galian yang diperolehi sama ada dalam bentuk cecair seperti minyak mentah, atau pun berbentuk pepejal seperti garam, atau pun berbentuk gas seperti butana, atau pun bahan tersebut dari jenis yang boleh dibentuk seperti emas, perak atau besi, atau dari jenis yang tidak boleh dibentuk seperti sulfur, atau di dalam laut seperti mutiara.

Secara asasnya, seseorang yang menjalankan perusahaan galian adalah tertakluk kepada zakat ma’adin. Namun sekiranya dijalankan secara komersil oleh syarikat, ia diklasifikasi sebagai sebuah syarikat perniagaan dan dikenakan zakat perniagaan. Keadaannya samalah seperti syarikat yang menjalankan usaha penternakan atau pertanian sawah padi untuk komersial, ia dikira sebagai zakat perniagaan, bukannya zakat ternakan atau pertanian. Pengiraannya juga lebih menyeluruh, dan mengambilkira keseluruhan operasi perniagaan syarikat dan semua aset dan tanggungan dalam syarikat berkenaan (bukan terhad kepada stok ternakan atau sawah padi sahaja).

Oleh itu syarikat galian tersebut adalah ditaksir zakatnya menggunakan kaedah zakat perniagaan. Ini juga merupakan ketetapan kaedah zakat perniagaan bagi syarikat yang menjalankan perniagaan emas atau perniagaan perak atau perniagaan ternakan seperti mana yang telah ditetapkan oleh pihak fatwa (sila rujuk Fatwa Sistem Pengurusan Kutipan Zakat 2017 halaman 26, 30 dan 47).