Utama Blog Halaman 163

TUJUH IBU TUNGGAL TERPILIH SERTAI ‘MOBILE ENTREPRENUER’ LZS (MAIS)

0

Shah Alam – Tujuh orang ibu tunggal antara sembilan orang peserta telah terpilih di dalam projek perintis program usahawan bergerak ‘mobile entrepreneur’ yang telah dilancarkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS pada 27 Jun di sini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah LZS (MAIS) Y.A.D Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa yang melakukan ‘flag off’ di dalam satu majlis ringkas.

‘Mobile entrepreneur’ merupakan program perniagaan bergerak menggunakan lori khas yang terpilih melalui bantuan zakat. Pemilihan peserta dilakukan dengan syarat tertentu untuk memastikan hanya mereka yang layak sahaja menyertai program ini.

Usahawan yang dikenal pasti didedahkan dengan pelbagai latihan dan kursus sebelum memulakan perniagaan.

Sebagai permulaan, LZS (MAIS) telah membelanjakan lebih RM300,000 sebagai mekanisme yang terbaik dalam membasmi kemiskinan dan yang lebih menarik ia digalas oleh tujuh ibu tunggal daripada sembilan peserta yang mengusahakan pelbagai perniagaan berasaskan makanan, minuman dan kuih tradisonal.

Sebelum itu, Y.A.D Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa menerima zakat daripada lapan syarikat korporat yang berjumlah RM943,021.52 iaitu Tenaga Nasional Berhad (RM569,004.80), Pos Malaysia Berhad Negeri Selangor (RM115,004.84), Maybank Islamic Banking (RM107,000) dan Bank Simpanan Nasional (RM51,657.04).

Turut menyerahkan zakat, Gabungan Sumber Tenaga Sdn. Bhd. (RM50,000), EONCAP Islamic Bank Berhad (RM38,008.39), Berani Guard Sdn. Bhd. (RM7,146.94) serta Commerce Takaful Berhad, (RM5,199.51).

Dalam majlis yang sama LZS (MAIS) turut menyerahkan bantuan zakat kepada enam orang penerima termasuk seorang pelajar, Amir Fathi Adnan yang menerima Dermasiswa RM100 ribu bagi melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan di Mesir.

Lain-lain penerima ialah, Nur Wirdah Hani Ahmad Kamal sebanyak RM21,000 bagi rawatan penyakit SLE, Mohd Roslan Aklan sebanyak RM28,320.00 (rawatan dialysis), Kamsan Mohd Salehan sebanyak RM20,000 (pembinaan rumah) dan surau Platinum al-Mawaddah sebanyak RM50,000.00.

LZS (MAIS) ANJUR KEMBARA AMAL BIKERS

0

Kuala Selangor – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) Wilayah Utara (Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dengan kerjasama Kelab Mobikers Kuala Selangor dan Skuad Dakwah Zakat (SDZ) telah mengadakan program Kembara Amal Bikers pada 23 Jun di sini.

Program tersebut disertai 32 orang ahli Kelab Mobikers Kuala Selangor yang menunggang motosikal berkuasa tinggi, di samping 22 orang ahli SDZ telah dilepaskan oleh Adun Jeram, Yang Berhormat Dato’ Amiruddin Setro di perkarangan kaunter LZS (MAIS) Kuala Selangor.

Dalam majlis yang sama juga, Kelab Mobikers Kuala Selangor turut mengeluarkan zakat sebanyak RM300 yang disampaikan sejurus sebelum upacara pelepasan.

Menurut Ketua Operasi Wilayah Utara LZS (MAIS), Mustafa Selamat, objektif program tersebut dilaksanakan bertujuan mengeratkan silaturrahim sesama masyarakat Islam.

“Di samping itu, ia bertujuan memberikan pendedahan kepada golongan korporat berkenaan peranan LZS (MAIS) dalam membasmi kemiskinan dan juga mewujudkan semangat bekerjasama antara golongan korporat dan asnaf miskin,” jelas beliau.

Program sehari itu bermula dengan konvoi ke rumah Raudhah Idros, 65 di kampung Kunci Air Buang, Tanjung Karang. Di situ, para peserta konvoi secara bergotong-royong merobohkan rumah lama Raudhah setelah rumah baru yang berharga RM23 ribu sumbangan LZS (MAIS) siap dibina bersebelahan dengannya.

Kemudian, para peserta bergotong-royong membantu membina rumah Darussalam Muzio, 44 di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam dengan bekerjasama mengangkut batu bata dan simen bagi membina rumah tersebut.

Program tersebut berakhir di Masjid Sultan Ibrahim Kuala Selangor.

427 ANAK FAKIR MISKIN TERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR

0

Bangi – Seramai 427 orang anak asnaf fakir miskin negeri Selangor yang mencatatkan keputusan cemerlang pada peperiksaan tahun lalu menerima anugerah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini pada 16 Jun.

Mereka merupakan pelajar sekolah rendah, menengah dan institut pengajian tinggi yang dibiayai sepenuhnya oleh LZS (MAIS).

Daripada jumlah itu seramai 105 orang adalah pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Sijil Rendah (UPSR), 113 pelajar Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA), 111 pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR), 77 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Manakala tujuh orang pelajar menerima anugerah cemerlang bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dua pelajar peringkat Sijil, sembilan pelajar peringkat Diploma dan tiga pelajar peringkat Sarjana Muda.

Seramai 53 orang pelajar menerima anugerah paling cemerlang dalam kategori masing-masing iaitu 27 pelajar UPSR, lima pelajar PMR, dua pelajar SPM, 14 pelajar PSRA, lima pelajar STAM, dua pelajar peringkat Sijil, lima pelajar peringkat Diploma dan dua pelajar peringkat Sarjana Muda.

Kecemerlangan anak asnaf ini adalah hasil usaha LZS melalui penyaluran wang zakat dalam aspek pembangunan pendidikan. Usaha ini dilaksanakan sebagai strategi pembasmian kemiskinan dengan tertumpu pada generasi muda.

“Saya bersyukur dengan anugerah yang diterima. Terima kasih juga kepada LZS (MAIS) yang banyak membantu kami sekeluarga. Dengan bantuan yang ada dapat membantu saya untuk terus belajar. Maklumlah ayah saya telah lama meninggal dan ibu hanyalah bekerja menjual minyak atar dan memberi khidmat bekam sahaja untuk menyara kami sembilan beradik,” ujar Munirah Ahmad, 19 salah seorang penerima anugerah anak asnaf paling cemerlang. Beliau mendapat keputusan cemerlang dalam STAM dan amat meminati bahasa Arab berharab dapat menyambung pengajian di Universiti Malaya.

Pada tahun lalu, LZS (MAIS) telah menyalurkan RM8.9 juta untuk tujuan tersebut. Bantuan adalah meliputi pembayaran yuran, pakaian, kelengkapan persekolahan, dermasiswa dan sebagainya. Selain itu mereka juga turut diberikan kursus-kursus yang berkaitan bagi memastikan kecemerlangan berterusan.

Semua pelajar menerima sijil, wang tunai serta hadiah iringan dan disampaikan oleh Pengerusi LZS Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib Mohd. Isa.

PERADUAN KUTIP HAMPIR RM 1/2 JUTA ZAKAT

0

Kuala Lumpur – Suatu majlis penyampaian hadiah kuiz online telah diadakan di ‘e-channels Department’, ibu pejabat Maybank baru-baru ini. Pemenang Utama Maybank2u.com LZS Zakat Paybills Contest merangkap pemenang bulanan ialah Puan Zubaida Yusoff. Beliau merupakan seorang pensyarah di Multimedia University (MMU).

Dengan kemenangan tersebut beliau layak menerima hadiah utama berupa sebuah telefon bimbit berjenama M.Mobile. Bagi hadiah bulanan pula, beliau turut sama menerima dokumen wasiat dan kad Al-Wasilah dari tajaan Wasiyyah Shoppe Sdn. Bhd.

Hadiah disampaikan oleh Encik Mohd. Rosli Abdullah, Ketua Bahagian Kutipan, Lembaga Zakat Sekangor (LZS). Turut sama dimajlis berkenaan ialah, Encik Ean Yaacob yang merupakan Ketua Pembangunan Perniagaan, e-Channels Maybank2u dan Encik Samsul Ikram Baharom, Pengurus Besar (Pembangunan Perniagaan) M.Mobile (M) Sdn. Bhd.

Menurut Encik Mohd. Rosli, ‘Peraduan ini diadakan julung-julung kalinya mulai tahun lepas adalah bagi mengalakkan kesedaran berzakat dikalangan pembayar melalui perbankan internet selain menghargai di kalangan pembayar zakat. Kerjasama pintar ini dilihat positif khususnya dari segi prestasi kutipan didapati medium portal Maybank2u.com amat memberangsangkan sekali’.

Tambah beliau lagi, di sepanjang tempoh peraduan kenaikan kutipan sebanyak 40% berjaya dipungut iaitu mencecah RM1,064,064.69 jika dibandingkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2005 hanya sebanyak, RM638,527.17’.

Peraduan anjuran bersama LZS dan Maybank ini berlangsung mulai 1 Sya’aban 1427 sehingga 29 Muharram 1428 iaitu pada 24 Ogos 2006 sehingga 18 Februari 2007. Sasaran peraduan khusus kepada pembayar zakat yang membayar zakat ke LZS melalui perbankan internet di laman web, www.maybank2u.com.my.

SAZ GEMPUR KLANG

0

Klang – Setelah menggempur daerah Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor, Skuad Agihan Zakat (SAZ) Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS kini menggempur pula daerah Klang pada 12 Mei bertujuan membuat siasatan dan bancian rumah-rumah asnaf yang memerlukan baik pulih ataupun pembinaan semula rumah mereka.

Program ini telah dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor, Dato’ Abdul Rahman Palil di kediaman beliau di sini.

Menurut Dato’ Abdul Rahman, program tersebut bertujuan bagi memastikan tidak ada lagi mereka yang tercicir dan memastikan mereka mendapat bantuan baik pulih ataupun pembinaan semula rumah yang telah uzur atau bantuan-bantuan lain seperti kemudahan elektrik dan air bersih.

“Selain itu dengan adanya program seumpama ini, ia akan dapat mengemaskan lagi data kemiskinan yang telah sedia ada di Selangor,” jelas beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengurus Jabatan Agihan dan Pembangunan Ummah LZS (MAIS), Zulkifli Abd. Hamid.

LZS (MAIS) TERIMA LEBIH RM600 RIBU ZAKAT PERNIAGAAN

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menerima zakat perniagaan daripada enam entiti korporat berjumlah RM629,613.34 dalam satu majlis pembayaran zakat yang diadakan di sini baru-baru ini.

Pengerusi LZS (MAIS), Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd Isa telah menerima zakat-zakat tersebut daripada Bank Islam Berhad sebanyak RM309,550, Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Selangor sebanyak RM150,063.34 dan Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd berjumlah RM100,000.

Manakala Bakti Suci Properties Sdn Bhd pula menyerahkan zakat perniagaannya sebanyak RM50,000, Bakti Suci Trading Sdn Bhd berjumlah RM15,000 dan Pertubuhan Peladang Kawasan Sg. Besar menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM5,000.

Turut diadakan dalam majlis tersebut ialah sesi percambahan minda yang bertajuk ‘Mekanisme Agihan Zakat di Negeri Selangor’ disampaikan oleh Pengurus Besar LZS (MAIS), Tn. Hj. Ahmad Shahir Makhtar.

Sesi dialog bertajuk ‘Zakat Perniagaan: Di Antara Manifestasi Iman & Penguatkuasaan Undang-Undang’ turut diadakan dengan mengundang panelis terdiri daripada Pensyarah Jabatan Syariah & Undang-undang Universiti Malaya merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS (MAIS), Prof. Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob, Pengarah Kewangan UKM Holdings Sdn Bhd, Prof. Madya Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, En. Abd. Aziz Abu Bakar.

LZS (MAIS) SUMBANG RM50,000 BANTU DANA PEMBINAAN SURAU AL-FAIZIN

0

Klang–Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS meneruskan usaha membantu meningkatkan pembangunan institusi agama dengan menyumbang sebanyak RM50,000 kepada Surau Al-Faizin, Taman Dato’ Bandar di sini pada 3 Februari 2007.

Bantuan berbentuk wang tunai itu bertujuan menambah dana pembinaan surau tersebut yang menelan belanja kira-kira RM250,000 boleh memuatkan seramai 300 orang jemaah pada satu-satu masa.

Dalam perkembangan berkaitan, tahun lalu LZS (MAIS) membelanjakan sebanyak RM2.6 juta wang zakat bagi membina dan membaikpulih surau di bawah asnaf Fisabilillah yang melibatkan sebanyak 149 buah surau di seluruh Selangor.

Dalam majlis yang sama, Baitulmal Selangor turut turut menyumbang sebanyak RM10,000 melalui dana Skim Saham Wakaf Selangor.

Dalam majlis ini, LZS (MAIS) diwakili Pengurus Besarnya, Ahmad Shahir Makhtar. Turut hadir, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya, Orang Besar Daerah Klang, Dato’ Setia Diraja Hj. Abd. Ghani bin Hj Pateh Akhir; Timbalan Pengurus Besar LZS (MAIS), Aidi Munawer Ahmed Shukri dan Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan LZS (MAIS), Hajjah Adibah Abdul Wahab.

DR. AWANG ADEK RASMI PERSIDANGAN ZAKAT DAN CUKAI PERINGKAT KEBANGSAAN 2007

0

Kuala Lumpur – Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Dr. Awang Adek Hussin telah merasmikan Persidangan Zakat dan Cukai Peringkat Kebangsaan 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 22 Mei.

Persidangan yang bermula 22 hingga 24 Mei ini dengan bertemakan Pemantapan Sistem Zakat dan Cukai ke Arah Kemajuan Ekonomi Ummah telah dianjurkan bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri, Lembaga Zakat Selangor (LZS-MAIS), Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Persatuan Akauntan dan Percukaian Malaysia (MATA).

Persidangan ini mengumpulkan perwakilan daripada pelbagai sektor, khususnya yang bersangkutan dengan aspek perlaksanaan zakat dan juga percukaian Malaysia. Ia juga memfokuskan ke arah kefahaman mengenai sistem pentadbiran dan perundangan zakat serta pendedahan mengenai implikasi dan layanan zakat dalam sistem percukaian Malaysia.

Turut dibincangkan pendedahan mengenai agihan dan pengurusan wang zakat serta potensi dan cabaran zaakt perniagaan.

Menurut Pengarah Persidangan, Abd. Aziz Abu Bakar, persidangan ini bertujuan memberikan imput kepada pihak penggubal dasar mengenai hala tuju zakat dan percukaian di negara ini.

“Hal ini sejajar dengan saranan dan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Pusat Perkhidmatan Kewangan Islam serantau dan meningkatkan kepercayaan dunia terhadap Malaysia sebagai peneraju Sistem Kewangan Islam global,” jelas beliau lagi.

Antara pembentang kertas kerja pada persidangan ini ialah, Timbalan Setiausaha Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa, Kementerian Kewangan, Dato’ Dr. Mohd Irwan Siregar dan Penyarah Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya, Prof. Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Turut menjadi pembentang ialah, Yang DiPertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dato’ Syed Amin Al-Jefri serta Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Muhamad Muda

PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG LAWAT LZS (MAIS)

0

Shah Alam – Delegasi daripada Pusat Kutipan Zakat Pahang melawat Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS bagi bekongsi pengalaman dalam pengurusan kutipan dan agihan zakat di Selangor pada 14 Mei di sini.

Lawatan selama setengah hari itu disertai seramai 35 orang ahli diketuai oleh Pengurs Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang,Tn. Hj Halidan Mat Daud.

Delegasi telah diberi taklimat ringkas berkenaan LZS (MAIS) oleh Timbalan Pengurs Besar (Pengurusan), Aidi Munawer Ahmed Shukri.

Turut hadir semasa lawatan ialah Aktar Sahari, Ketua Jabatan Pembangunan Korporat dan Adibah Abdul Wahab, Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan, LZS (MAIS)

KEMPEN MESRA KAKITANGAN PROTON

0

Shah Alam, Unit Operasi Majikan Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah mengadakan kaunter pameran dan penerangan sempena hari kempen mesra kakitangan di Proton Shah Alam selama dua hari pada 14hb dan 15hb Mac yang lepas.

Terdapat pelbagai agensi swasta dan kerajaan membuka kaunter pameran pada hari tersebut. Dalam kempen tersebut kaunter LZS(MAIS) telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan sepanjang kempen tersebut berlangsung.

Sebanyak 147 penyertaan baru telah menyertai SPG (SKIM BERKAT) iaitu satu kaedah membayar zakat melalui skim potongan gaji. Jumlah potongan gaji yang berjaya diperolehi oleh LZS (MAIS)dalam kempen tersebut adalah berjumlah RM3,251.00 sebulan daripada kakitangan baru yang menyertai Skim Berkat di kilang proton tersebut.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Dato’ Syed Zainal Abidin Syed bin Mohamad Tahir, Pengarah Urusan Proton. Diharapkan dengan adanya kempen seperti ini akan memberi kesedaran berzakat dan menggalakkan kakitangan swasta dari pelbagai sektor menunaikan kewajipan mereka dengan lebih mudah.

Berita Terkini