Utama Blog Halaman 165

TIMBALAN PENGERUSI LZS TERIMA ANUGERAH

0

SHAH ALAM – Timbalan Pengerusi LZS, S.S Dato’ Haji Mohammed Khusrin Haji Munawi, menerima anugerah kebesaran daripada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, sempena hari keputeraan baginda yang ke-61 baru-baru ini. Beliau yang juga Pengarah JAIS menerima anugerah Darjah Kebesaran Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) yang membawa gelaran Dato’.

Sementara itu, Pengurus Besar LZS, Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar turut menerima anugerah, iaitu Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S). Penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan kepada LZS, anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor yang bernaung di bawah DYMM Tuanku selaku ketua agama di negeri Selangor. Ia memberi semangat dan iltizam kepada LZS untuk terus maju dan profesional dalam menjalankan tanggungjawab menguruskan zakat di negeri Selangor.

LZS (MAIS) BELA KES NAYAN AHMAD SEJAK 2005

0

Shah Alam –Nayan bin Ahmad, 42 yang berita tentangnya tersiar di akhbar Kosmo 6 Disember bertajuk ‘Hanya mampu berdoa’ pada muka hadapan dan tajuk kecil ‘Azab tujuh sekeluarga’ pada muka ke dua telah dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS sejak tahun 2005.

Menurut laporan akhbar berkenaan, beliau kini menanggung kesusahan dan penderitaan akibat penyakit kronik Sindrom Alport yang dihidapi oleh isteri dan keenam orang anaknya. Mereka kini menanggung komplikasi buah pinggang, kekaburan penglihatan, kekurangan pendengaran dan kemerosotan daya imunisasi badan.

Walau bagaimanapun, LZS (MAIS) agak kesal kerana di dalam laporan akhbar berkenaan, beliau langsung tidak menyentuh mengenai bantuan-bantuan yang pernah dan sedang diperoleh oleh beliau sekeluarga. Fenomena ini dikhuatiri boleh menimbulkan kesangsian pada pandangan awam dan berupaya menjejaskan kredibeliti LZS (MAIS).

Sehubungan dengan itu, YB Dato’ Hj. Abdul Rahman bin Palil, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor merasa terpanggil untuk menjelaskan bahawa Nayan bin Ahmad sekeluarga sememangnya merupakan asnaf miskin yang berdaftar dan menerima bantuan dari LZS (MAIS). Beliau membuat kenyataan balas media di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang selepas melakukan lawatan khas kepada anak Nayan Ahmad yang kini menerima rawatan rapi di situ.

Menurut beliau lagi, setelah dirujuk kepada rekod Jabatan Agihan LZS (MAIS), nama Nayan Ahmad telah pun dicatatkan mula menerima bantuan LZS (MAIS) sejak tahun 2005. Sehingga ke hari ini iaitu kira-kira setahun, jumlah keseluruhan bantuan yang telah diluluskan kepada beliau sekeluarga ialah RM5, 508.15.

Antara jenis bantuan yang telah diluluskan ialah menjelaskan bil air dan kos pembedahan fitsula anak beliau yang bernama Mohd. Shaifulnizam sebanyak RM2, 226.65. Beliau juga pernah membuat permohonan pembedahan fitsula isterinya yang berjumlah RM1, 311.50 dan diluluskan. Keluarga berkenaan juga turut menerima bantuan berjumlah RM250 sebulan.

Di samping itu, menurut rekod Pegawai Agihan Zakat Daerah Klang, Khairul Azhan Bin Ahmad, beliau turut ditawarkan oleh LZS (MAIS) bagi membiayai rawatan kepada kesemua ahli keluarganya yang lain. Walau bagaimanapun, beliau mengambil sikap kurang bersungguh-sungguh kerana sehingga ke hari ini tidak menghantar sebarang dokumen penting seperti laporan hospital kepada pihak LZS (MAIS) untuk diproses. Bahkan beliau juga tidak membuat sebarang permohonan lain bagi setiap anaknya yang dikatakan turut mengidap penyakit yang sama.

Menurut prosedur perubatan, pembedahan fitsula hendaklah dilalui terlebih dahulu oleh setiap pesakit seperti keluarga Nayan Ahmad sebelum mereka boleh dirujuk menjalani rawatan hemodialisis (mencuci buah pinggang). Dalam kes ini, surat jaminan (GL) LZS (MAIS) telah pun dikeluarkan kepada beliau dan pihak hospital lazimnya akan membuat tuntutan bayaran setelah seseorang pesakit yang dijamin oleh LZS (MAIS) selesai menjalani pembedahan.

Merujuk kepada anak sulong beliau iaitu Mohd. Shaifulnizam, beliau dikatakan telah menjalani pembedahan dan dikeluarkan dari hospital pada Disember 2005, namun sehingga ke hari ini pihak LZS (MAIS) masih belum menerima sebarang tuntutan bayaran pembedahan dari pihak hospital. Hal ini menunjukkan seolah-olah anak beliau tidak pun menjalani sebarang pembedahan lagi setakat ini.

Sehubungan dengan itu, LZS (MAIS) berharap siaran berita Nayan Ahmad tidak menimbulkan keraguan dan kekeliruan di kalangan masyarakat.

PESB BAYAR ZAKAT LEBIH RM200 RIBU

0

Kuala Lumpur – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah menerima zakat perniagaan sebanyak RM264,522.51 daripada P.E.S.B Engineering Sdn. Bhd. (PESB) dalam satu majlis ringkas di sini pada 7 Julai.

Pembayaran zakat bagi tahun berakhir 1998, 2003 dan 2004 itu telah diterima oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS (MAIS) Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa daripada Ketua Pegawai Eksekutif PESB, Haji Mustafa Junit.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengurus Jabatan Pembangunan Korporat LZS (MAIS), Sahadan Ishak dan Ketua Operasi Wilayah Barat LZS (MAIS), Shamshuri Ashari.

Sementara itu pada 28 Jun yang lalu, LZS (MAIS) turut menerima zakat perniagaan daripada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebanyak RM97,296. Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib telah menerima zakat bagi tahun berakhir 2005 itu daripada Pengurus Besar Kanan Bahagian Modal Insan BERNAS, Roslan Osman.

MAJLIS PERPISAHAN PELATIH LZS (MAIS) DARI BENGKALIS, INDONESIA

0

Shah Alam – Tiga pelatih dari Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi (STIE) Syariah Bengkalis, Indonesia yang berjaya menamatkan latihan praktikal selama dua bulan di Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah diraikan dalam satu majlis perpisahan baru-baru ini.

Kehadiran pelatih praktikal dari negara jiran ini merupakan julung-julung kali diterima oleh LZS (MAIS). Mereka telah menjalani latihan praktikal sepanjang bulan Ramadan dan Syawal lalu di mana dua daripadanya telah di tempatkan di kaunter Masjid Negeri dan seorang lagi di Unit Ejen Kutipan.

Menurut Ketua Pengiring merangkap Ketua STIE Syariah Bengkalis, Dr. H. Kasmuri Selamat, tujuan utama para pelatih dihantar menjalani latihan ialah supaya mereka mendapat input berguna sama ada daripada sudut ilmu mahupun praktikal khususnya berkaitan dengan organisasi zakat.

Mudah-mudahan hubungan baik ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan dalam masa yang sama dapat mempraktikkan apa yang dipelajari sepanjang berada di sini.

DYMM LANCARKAN BUKU KE-3 TERBITAN LZS (MAIS)

0

Shah Alam – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj berkenan melancarkan buku ke-3 terbitan Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS bertajuk Panduan Haji dan Umrah semasa majlis penutup Kursus Haji Perdana 1427H/ 2006M yang diadakan bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) baru-baru ini.

Buku yang ditulis oleh Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Syeikh Al-Maqari Haji Othman ini merupakan hasil daripada pengkuliahan beliau dalam kursus haji bersiri yang diadakan di Masjid Negeri sejak tahun 2000 sehingga kini.

Buku ini memuatkan penerangan dan penjelasan tentang ibadah haji dan umrah secara berperingkat agar dapat membantu bakal jemaah haji mempersiapkan diri sebelum mengerjakan ibadah haji kelak.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Haji Abd. Rahman Hj. Palil dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Y.A.D Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd Isa.

PERINCI DAN PANTAU MEREKA YANG LAYAK TERIMA ZAKAT – DATO’ RAHMAN

0

Port Dickson – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Negeri Selangor, Y.B Dato’ Haji Abd. Rahman Haji Palil menegaskan supaya memperinci dan memantau mereka yang layak menerima bantuan zakat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pemilihan Fakir Miskin Peringkat Negeri Selangor 2006 yang diadakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS pada 8 dan 9 Ogos di sini.

Menurut Dato’ Rahman, perincian dan pemantauan tersebut penting bagi mewujudkan satu kaedah mendidik kepada mereka yang mendapat bantuan zakat daripada LZS (MAIS) supaya mementingkan dan memelihara keluarga serta mengutamakan pendidikan kepada anak-anak.

“Ada penerima bantuan yang hanya duduk di kedai kopi saja dan berbual kosong seperti kutuk sana dan kutuk sini setelah mereka mendapat bantuan,” jelas beliau.

Di samping itu, beliau juga turut menegaskan supaya panel pemilihan fakir miskin tahun ini akan membuat pemilihan yang tepat, amanah dan tidak ada yang tercicir.

“Tuan-tuan sekarang memikul tanggungjawab untuk membuat pemilihan, maka lakukanlah dengan amanah, jika tuan-tuan silap membuat pilihan maka tuan-tuanlah yang akan bertanggungjawab di akhirat kelak,” tegas Dato’ Rahman.

Bengkel itu telah dihadiri seramai 138 orang peserta terdiri daripada Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah, Penolong Pegawai Daerah, Penghulu mukim, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Pegawai Penyelaras Masjid seluruh Selangor, wakil UPEN dan wakil Audit MAIS.

Turut hadir semasa majlis perasmian, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, S.S Tuan Haji Khusrin Haji Munawi.

PNB SERAH ZAKAT PERNIAGAAN RM2.9 JUTA

0

Shah Alam – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM2.9 juta bagi tahun kewangan 2003 hingga 2005 kepada Lembaga Zakat Selangor (MAIS) di Istana Bukit Kayangan pada 19 September yang lalu.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima cek tersebut yang disampaikan oleh Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdu Hamid.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Abdul Rahman Palil, Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ramli Mahmud, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah dan Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Abdul Majid Omar.

ANAK FAKIR MISKIN DIWAJIBKAN BELAJAR – DATO’ MB

0

Sungai Besar – Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo telah menegaskan setiap anak fakir miskin yang terdapat di Selangor diwajibkan belajar sekurang-kurangnya di peringkat kursus kemahiran di bawah kelolaan Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menyampaikan Hakmilik Tanah Daerah Sabak Bernam, Pengagihan Zakat Asnaf Fakir Miskin dan Moreh Parlimen Sungai Besar pada 15 September yang lalu.

“Jika seorang sahaja daripada satu keluarga fakir miskin itu dihantar belajar kemahiran oleh LZS (MAIS), apabila tamat pengajian dan si anak itu memperoleh pendapatan RM1,000 sahaja sudah cukup untuk mengeluarkan keluarganya daripada belenggu kemiskinan,” tegas beliau.

Sebelum ini, LZS (MAIS) telah menaja seramai 291 pelajar yang terdiri daripada anak asnaf fakir/miskin di peringkat Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) di Inpens International College yang melibatkan lima kursus iaitu Pelukis Plan Kejuruteraan Mekanikal, Pembuat Pakaian Wanita, Mekanik Kenderaan Motor, Juruteknik Elektrik Rendah dan Pembantu Juruteknik Sistem Komputer.

Setiap pelajar ditaja LZS (MAIS) sebanyak RM5,000 setahun yang meliputi yuran kursus, tempat tinggal, belanja makan dan elaun poket bulanan.

Sementara itu, pada majlis tersebut LZS (MAIS) telah mengagihkan sebanyak RM249,750 kepada 354 orang asnaf miskin sekitar Sungai Besar bagi meringankan beban dan memceriakan mereka menyambut Ramadhan dan Aidilfitri.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengurus Besar LZS (MAIS), Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar.

ZAKAT FITRAH DI SELANGOR KEKAL RM4.70

0

Shah Alam – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah mengumumkan kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini 1427 H bersamaan 2006 M yang telah ditetapkan di Selangor kekal RM4.70.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa berkata bayaran itu berdasarkan dengan kadar penggunaan beras umat Islam di Selangor dengan nilai RM4.70 bagi setiap 2.7 kilogram, iaitu ukuran asas bagi penentuan zakat fitrah.

Katanya lagi, umat Islam di Selangor boleh mula membayar zakat fitrah bermula 1 Ramadhan ini melalui 2,100 amil yang telah dilantik oleh MAIS di seluruh Selangor. Orang ramai juga boleh membayar zakat fitrah di masjid, surau dan 22 kaunter LZS (MAIS).

Sementara itu, orang ramai juga boleh membayar di kaunter sementara zakat fitrah LZS (MAIS) di tujuh buah pasar raya iaitu Centre Point Klang, Kompleks PKNS Shah Alam, Giant Seksyen 13, Shah Alam, Jaya Jusco Bandar Utama, Giant Kelana Jaya, Jaya Jusco Klang dan Tesco Kajang bermula 2 hingga 22 Oktober dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

LZS (MAIS) TINGKAT KERJASAMA DENGAN SWASTA

0

Shah Alam – Majlis Mesra Majikan (Swasta) anjuran Lembaga Zakat Selangor (MAIS) yang diadakan baru-baru ini dilihat berjaya meningkatkan kerjasama antara LZS (MAIS) dengan pihak majikan swasta dalam memastikan keberkesanan dakwah zakat di Negeri Selangor.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa itu telah dihadiri lebih 120 kakitangan syarikat swasta. Ia diadakan bertujuan meraikan dan memberi pengiktirafan kepada pihak majikan swasta yang selama ini telah membantu usaha LZS (MAIS) di Selangor.

LZS (MAIS) turut memperkenalkan kaedah baru kepada majikan yang dikenali ‘MUDAH’ bagi membantu menaksir zakat kakitangan majikan swasta di Negeri Selangor. Melalui kaedah ini, pihak majikan boleh mendapatkan bantuan secara langsung daripada LZS (MAIS) bagi menentukan jumlah zakat kakitangan mereka.

Dalam masa yang sama, LZS (MAIS) turut memberi hadiah penghargaan kepada majikan swasta terbaik mengikut wilayah. Hadiah penghargaan tersebut diberikan kepada Tenaga Nasional Bhd (ibu pejabat), Sony EMCS (M) Sdn Bhd (Wilayah Selatan) dan Texas Instruments (M) Sdn Bhd (Wilayah Timur). Sementara Sistem Televisyen Malaysia Bhd telah mendapat dua kategori penghargaan iaitu hadiah penghargaan khas majikan terbaik keseluruhan dan hadiah penghargaan khas majikan terbaik (Wilayah Barat).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengurus Besar LZS (MAIS), Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar dan Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Encik Azhar Borhan.

Berita Terkini