Utama Blog Halaman 169

KONVOI KEMBARA HIJRAH, KEMPEN TINGKAT KESEDARAN BERZAKAT

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS terus menggandakan kempen membayar zakat sempena Bulan Zakat Negeri Selangor ini dengan menganjurkan program”Kembara Hijrah’ pada 15 Februari lalu.

Kempen konvoi berkereta ini bergerak melalui lokasi yang dikenalpasti dengan mengedarkan 7,000 risalah zakat. Selain itu, turut diadakan acara kuiz serta program ziarah ke Air Asia Berhad, dan Malaysia Airport Berhad iaitu syarikat yang menyertai skim potongan zakat gaji dengan LZS (MAIS).

Lokasi pengedaran risalah termasuk Plaza Tol Grand Saga, Cheras, pusat membeli belah Ampang Point dan Tesco Mutiara Damansara. Konvoi juga mengadakan kutipan untuk mengisi Tabung Mangsa Banjir TV3 di setiap lokasi.

Selain Skuad Dakwah Zakat (SDZ) LZS (MAIS), program Kembara Hijrah ini turut disertai Waja Charity Club serta wakil daripada syarikat korporat.

Konvoi dilepaskan oleh Pengerusi LZS (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa di Masjid Negeri di sini dan berakhir di Sri Pentas, Bandar Utama. Beliau turut menyerahkan hasil kutipan tabung banjir yang dikutip kumpulan konvoi kepada pihak TV3 sebanyak RM2315 dan sumbangan LZS (MAIS) kepada tabung tersebut berjumlah RM100,000.

Turut hadir, Pengurus Besar LZS (MAIS) Ahmad Shahir Makhtar.

MALAM SERIBU BARAKAH- DIMENSI DAKWAH BARU

0

Puchong– Bagi mengembangkan lagi dakwah zakat di Selangor satu program yang dinamakan Malam Seribu Barakah telah diadakan pada 10 Febuari, bermula pukul 8.30 malam di sini sebagai salah satu dimensi dakwah baru mendidik masyarakat soal berzakat selain melalui ceramah dan pengedaran bahan bercetak.

Program yang sesuai untuk seisi keluarga ini diserikan dengan dendangan nasyid oleh Nazrey Johani, Kumpulan Aeman, Kumpulan FAIZ, MUAZ, deklamasi sajak oleh Pak Dinie Juri, tazkirah oleh Ustaz Uda Kasim, nazam, cabutan bertuah dan pelbagi lagi. Melalui pelbagai persembahan ini unsur zakat diselitkan secara tidak langsung sebagai ingatan kepada masyarakat.

Menurut Puan Hajjah Adibah Abdul Wahab, Pengurus Kanan, LZS (MAIS) sudah sampai masanya LZS (MAIS) mara dengan satu mekanisme baru dalam memujuk masyarakat memahami soal berzakat. Semamangnya cara dakwah yang sedia ada akan diteruskan tetapi cara sebegini juga penting untuk memujuk semua lapisan masyarakat menghayati erti dan tanggungjawab berzakat secara tidak langsung.

“Mungkin jika kita diadakan ceramah zakat tidak ramai yang akan hadir, tetapi apabila LZS (MAIS) melaksanakan program sebegini, Alhamdulliah ramai masyarakat yang hadir sehingga tidak cukup kerusi,” ujarnya.

Turut disediakan pada malam itu kaunter zakat bagi memudahkan pengunjung berzakat. Pada malam itu juga pengunjung digalakkan untuk menunaikan zakat dimulakan dengan hanya RM15 bagi mendidik jiwa untuk bersedia membayar zakat dengan jumlah yang sepatutnya apabila telah cukup syaratnya kelak.

Antara objektif:
1.Mendidik masyarakat secara tidak langsung tentang kewajipan berzakat
2.Meningkatkan kefahaman umat islam mengenai peranan zakat dalam meningkatkan sosio-ekonomi ummah
3.Memberi kefahaman dan pendedahan kepada masyarakat keperluan berzakat dan wakaf daripada usia muda
4.Mengeratkan siraturahim diantara penduduk setempat dan institusi zakat

PUSAT DIALISIS PERTAMA LZS (MAIS)-SEKSYEN 3, SHAH ALAM

0

Shah Alam–Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS berjaya menubuhkan pusat dialisis yang pertama bagi memastikan asnaf zakat yang memerlukan penjagaan rapi terutamanya pengidap penyakit buah pinggang terus terbela.

Pusat dialisis ini merupakan salah satu program pembangunan sosial agihan zakat yang telah beropersai mulai 8hb Januari menelan belanja hampir RM600 ribu menyediakan lapan buah mesin dialisis yang membolehkan tiga kali rawatan dilakukan sehari dan 48 kali rawatan dalam tempoh sebulan.

Ia disokong oleh kakitangan perubatan yang terlatih di bawah seliaan syarikat Bakti Suci, iaitu anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor dan Nefro Utama Sdn Bhd. Jumlah pesakit yang menerima rawatan mencuci buah pinggang di sini sehingga hari ini seramai 22 orang dan akan bertambah sepuluh orang lagi sehingga Mac.

Penubuhan pusat dialisis ini bukan sekadar dapat menjimatkan kos, bahkan mampu menyediakan suasana yang Islamik, kondusif serta mesra kepada para pesakit di mana ia lengkap dengan kemudahan sudut bacaan, ruangan menonton dan surau turut disediakan. Seterusnya ia mampu menjadi model kepada sebuah pengurusan pesakit secara Islam.

LZS (MAIS) juga merancang untuk menubuhkan lapan buah lagi pusat dialisis di seluruh negeri selangor termasuk tiga yang akan beroperasi dalam jangkamasa terdekat ini, iaitu di Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Klang. Malah LZS (MAIS) mempunyai perancangan jangka panjang dengan mensasarkan setiap daerah bakal mempunyai sebuah pusat dialisis milik LZS (MAIS) sendiri.

LZS (MAIS) TINGKAT KEMPEN SERU 53 RIBU KAKITANGAN KERAJAAN SERTAI SKIM POTONGAN GAJI

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS akan meningkatkan lagi usaha dakwah kepada lebih 53 ribu orang kakitangan beragama Islam yang layak membayar zakat bagi menambah jumlah kakitangan kerajaan di Selangor yang masih belum berbuat demikian supaya menyertai skim bayaran zakat melalui potongan gaji.

Usaha dibuat melalui penguatkuasaan pelaksanaan pemotongan gaji secara automatik seperti yang terkandung di dalam surat pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan negeri sebagaimana yang diputuskan di dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 10 Disember 2003 MMK ke 27/2003.

Berdasarkan ketetapan tersebut, Pekeliling Penetapan Perlaksanaan Arahan Wajib Pembayaran Zakat Pendapatan Menerusi Potongan Gaji adalah diwajibkan bagi kakitangan kerajaan, badan berkanun, anak-anak syarikat kerajaan negeri yang beragama Islam berkhidmat di negeri Selangor.

Pelaksanaan ini berdasarkan amaun yang ditaksir oleh LZS (MAIS), kecuali kakitangan memilih kaedah lain dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan pekeliling.

Ketika ini lebih 53 ribu orang kakitangan beragama Islam yang layak membayar zakat, masih belum berbuat demikian.

Pada tahun lalu (2005) terdapat seramai 27, 620 orang kakitangan awam yang menyertai skim ini dengan jumlah kutipan sebanyak RM9.25 juta, meningkat 107 peratus berbanding tahun sebelumnya (2004).

Namun begitu, pada tahun ini LZS (MAIS) mensasarkan kenaikan sekitar 20 peratus, iaitu pertambahan seramai 5,500 orang. Pada tahun 2005, kakitangan kerajaan baru menerima arahan pekeliling secara berperingkat dan sambutan yang diberikan sungguh menggalakkan.

MAJLIS MESRA MAJIKAN ERAT HUBUNGAN LZS (MAIS) DENGAN WARGA AGENSI KERAJAAN

0

Shah Alam – Bagi memastikan hubungan Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dengan warga agensi kerajaan berjalan lancar, LZS (MAIS) telah mengadakan Majlis Mesra Majikan Agensi Kerajaan Negeri Selangor pada 16 Februari di sini.

Program setengah hari itu telah dihadiri seramai 200 orang peserta daripada 108 organisasi yang terdiri daripada pegawai di bahagian gaji bertujuan melihat prestasi di jabatan masing-masing serta potensi meningkatkan penyertaan.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Haji Mansur Ramli yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Y.B Dato’ Ramlan Othman.

Manakala Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa telah menyempurnakan majlis penutup.

Pada hari itu taklimat telah disampaikan oleh Pengurus Jabatan Dakwah LZS (MAIS), Hajjah Adibah Abd Wahab disamping taklimat kaedah pelaksanaan PCB oleh pegawai LHDN.

Pada majlis yang sama juga, LZS MAIS turut memberi penghargaan kepada agensi yang menunjukkan prestasi yang baik melalui bilangan penyertaan Skim Berkat (Pembayaran zakat melalui potongan gaji) kepada Sirim Berhad, Kontinjen Polis Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Turut hadir pada majlis tersebut, Pemangku Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar.

LZS (MAIS) SASAR KUTIP ZAKAT RM145 JUTA TAHUN INI

0

Banting – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS meletakkan sasaran untuk mengutip zakat sebanyak RM145 juta pada tahun ini berbanding dengan kutipan pada tahun lepas sebanyak RM133.1 juta.

Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, sasaran kutipan tersebut boleh dicapai memandangkan kepada faktor ekonomi yang bertambah baik di Selangor pada masa ini.

“Dalam masa yang sama, LZS (MAIS) kini memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat yang telah mencapai lebih RM100 juta setahun,” katanya semasa ditemui dalam Majlis Pelancaran LZS MAIS dan Sambutan Ma’al Hijrah di Masjid As-Solihin, Kanchong Darat baru-baru ini.

ANAK ASNAF FAKIR MISKIN MUKIM BERANANG KHATAN BERAMAI-RAMAI

0

Beranang – Seramai 25 orang anak asnaf fakir dan miskin yang berumur antara enam hingga 12 tahun sekitar daerah ini telah menyertai majlis khatan anak asnaf bertempat di Masjid Raja Alang di sini pada 11 Mac lalu.

Program yang dianjurkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS, Wilayah Selatan dengan kerjasama PERKEWI Hospital Kajang, Kelab Rekreasi dan Riadah Tekala, JKKK Mukim Beranang dan Ahli Jawatankuasa Masjid Raja Alang telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Y.B. Markiman Kobiran.

Menurut Pengurus Jabatan Operasi Wilayah LZS (MAIS), Sahadan Ishak, program berkhatan tersebut merupakan acara rutin LZS (MAIS) kepada anak asnaf zakat apabila menjelang cuti sekolah dengan kos antara RM60 seorang.

“Selain darpada bantuan berbentuk fizikal dan rohani, LZS (MAIS) juga merasa terpanggil untuk membantu mereka daripada sudut tuntutan agama Islam itu sendiri,” jelas beliau.

Pada hari itu, para peserta khatan Anak Asnaf di arak dengan bunga manggar yang diiringi oleh paluan kompang.

LZS (MAIS) JANGKA KUTIP RM150 JUTA

0

Kuala Lumpur – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menjangkakan pungutan zakat tahun ini mencecah RM150 juta, berbanding RM132 juta tahun sebelumnya.

Pengerusi MAIS yang juga Pengurusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata sasaran itu dapat dicapai berikutan kesedaran orang ramai mengenai hukum wajib zakat dan kemudahan untuk melaksanakannya.di samping perkongsian pintar yang dimeterai antara institusi zakat dengan korporat.

Beliau berkata demikian pada majlis MoA antara LZS (MAIS) bersama Bank Bumiputra Commerce (BCB) dan Kumpulan EON Bank (EON Bank) sebagai ejen kutipan zakat di selangor, di sini pada 21 Mac.

Pada majlis MoA itu, LZS (MAIS) diwakili Mohamad Adzib, BCB oleh Ketua di Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tunku Ahmad Burhanuddin, manakala EON Bank oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Abdul Jamel Pawanteh.

Manakala, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Jabatan Perdana Menteri, Mohd Zakri Husain yang mewakili Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md. Zin menyaksikan MoA tersebut.

BENGKEL ZAKAT KORPORAT 2006

0

Shah Alam – Bengkel Zakat Korporat yang berlangsung selama setengah hari anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS baru-baru ini berjaya mengumpulkan wakil-wakil daripada syarikat korporat yang terpilih bagi memberi pendedahan kepada mereka dalam kaedah terkini taksiran zakat perniagaan.

Bengkel yang dimulakan dengan sesi prinsip dan pengenalan umum taksiran zakat perniagaan telah disampaikan oleh Eksekutif Unit Perniagaan, Iswaridin Derus dan diikuti dengan latihan amali serta soal jawab.

Menurut Pengarah Program, Mohamed Syahril Haji Zainol, sambutan yang diterima pada kali ini menggalakkan terutamanya dengan pertambahan penyertaan. Ujarnya lagi, dengan adanya penganjuran bengkel seperti ini dilihat dapat mewujudkan hubungan erat antara LZS (MAIS) dengan syarikat korporat di samping memberi info terkini berkenaan zakat.

Kebanyakan mereka yang hadir pada hari itu terdiri daripada Pengurus Besar syarikat, Pengarah Kewangan, auditor daripada beberapa buah syarikat seperti Sapura Industrial Bhd, Cybotics Corporation Sdn Bhd, Kembara Abadi Sdn Bhd, Selangor Industrial Corporation dan sebagainya.

Salah seorang peserta yang ditemui selepas bengkel, Norlelawati Kamsah berkata, “Apa yang menarik tentang bengkel ini ialah kami turut dimaklumkan tentang informasi agihan dan perkembangan terkini LZS (MAIS). Kami amat berharap bengkel ini dapat diteruskan dengan lebih kerap lagi pada masa hadapan.”

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan, Puan Hajjah Adibah Abdul Wahab.

LZS (MAIS) RAIKAN KAKITANGAN CEMERLANG 2005

0

Shah Alam – Bagi meraikan kakitangan yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang pada tahun 2005, Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah mengadakan Hari Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2005 yang diadakan di Intekma, Shah Alam, baru-baru ini.

Majlis yang merupakan acara tahunan LZS (MAIS) ini telah mempertandingkan 17 kategori anugerah perkhidmatan cemerlang dan enam penghargaan termasuk kepada Ahli Lembaga Pengarah yang lepas. Setiap pemenang menerima plug, sijil dan wang tunai berjumlah RM150.

Kakitangan yang telah memenangi anugerah kakitangan terbaik keseluruhan ialah saudara Mohamed Syahril Hj Zainol. Beliau telah menerima plug, wang tunai RM150, sijil dan pakej umrah untuk seorang. Selain itu beliau turut memenangi anugerah kakitangan terbaik Wilayah Barat.

Penghargaan juga turut diberikan kepada keluarga bekas Pengurus Jabatan Pentadbiran dan Kewangan LZS (MAIS), Allahyarhamah Hajjah Zarina Jantan yang telah kembali ke rahmatullah akibat penyakit kanser.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa dan Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Hj. Abd. Wahid.

Berita Terkini