Utama Blog Halaman 170

DELEGASI LAWATAN KERJA KERAJAAN NEGERI SABAH LAWAT LZS (MAIS)

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS terus mendapat pengiktirafan apabila dikunjungi oleh delegasi lawatan kerja kerajaan Negeri Sabah pada 20 Februari ke ibu pejabat LZS MAIS di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini.

Delegasi seramai 12 orang itu telah diketuai oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri Negeri Sabah, Y.B Datuk Nasir Tun Hj. Sakaran.

“Tujuan lawatan ini adalah untuk mendapatkan penerangan lengkap berkenaan pengurusan zakat di Selangor dan mempelajari sistem kutipan serta agihan zakat di Selangor,” ujar Datuk Nasir dalam ucapan ringkas beliau.

“Selain itu kami juga ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan skim pembayaran zakat melalui potongan gaji bagi kakitangan kerajaan di negeri Selangor melalui pekeliling arahan kerajaan di samping mengeratkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri Sabah melalui MUIS dan kerajaan negeri Selangor melalui LZS (MAIS),” ujar beliau lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli EXCO Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia & Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Haji Abd. Rahman Hj. Palil, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa dan Timbalan Mufti Negeri Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Hj Abdul Majid bin Omar.

Hadir Sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS MAIS, Prof.Madya Dr. Hailani Muji Tahir, Pengurus Jabatan Pembangunan Asnaf LZS MAIS, Aidi Munawir Ahmed Shukri dan Pengurus Jabatan Dakwah dan Kutipan LZS MAIS, Adibah Abd Wahab.

LAWATAN HOSPITAL ERAT HUBUNGAN

0

Kajang – Untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat, pemimpin masyarakat dan organisasi lain, Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah mengadakan lawatan ke Hospital Kajang, pada 12 April.

Menurut ketua Operasi Wilayah Selatan (Daerah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang) LZS (MAIS), Shuami Mohamad Ali berkata, lawatan tersebut adalah salah satu aktiviti tahunan LZS (MAIS) Wilayah Selatan.

Pada hari itu peserta lawatan telah dibawa melawat wad pediatrik dan wad perubatan umum dan berkesempatan memberikan buah tangan berupa hamper kepada 91 orang pesakit.

Turut hadir pada hari itu, Ahli Parlimen Hulu Langat YB Markiman Kobiran dan Pengarah Hospital Kajang, Dr. Faridah Habib Mohammed.

DELEGASI YPKDT LAWAT LZS (MAIS)

0

Shah Alam–Delegasi daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), Johor telah mengadakan lawatan selama sehari ke Lembaga Zakat Selangor LZS (MAIS) pada 16 Mei bagi mendapatkan pendedahan tentang pengurusan zakat terutamanya daripada segi agihan yang dilaksanakan di Selangor.

Delegasi seramai 14 orang itu diketuai oleh Ketua Eksekutif YPKDT, Haji Norizan Kulop. Menurut beliau, lawatan tersebut bertujuan mengetahui dengan lebih dekat lagi peranan LZS (MAIS) di dalam usaha membebaskan golongan asnaf fakir dan miskin khususnya golongan ibu tunggal daripada belenggu kemiskinan.

“Melalui lawatan ini, kami juga dapat mencari idea-idea baru dalam usaha membantu golongan yang berpendapatan rendah khususnya ibu-ibu tunggal,” jelas beliau.

Delegasi itu telah diberi taklimat tentang organisasi LZS (MAIS) oleh Pengurus Jabatan Kewangan dan Pentadbiran LZS (MAIS), Aidi Munawir Ahmed Shukri.

Selain taklimat, para delegasi turut dibawa melawat penempatan berkelompok fakir dan miskin di Desa Ehsan, Jeram, Kuala Selangor. Mereka turut dibawa melawat projek-projek ekonomi LZS (MAIS) di sekitar Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya.

PROGRAM ZIARAH DEKATKAN LZS (MAIS) DENGAN PESAKIT

0

Sabak Bernam – Program Ziarah Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS, Wilayah Utrara yang diadakan baru-baru ini berjaya mendekatkan LZS (MAIS) dengan masyarakat di samping bersemuka dan mendengar masalah yang dihadapi.

Menurut Ketua Operasi Wilayah Utara, Ahmad Mustofa Selamat, “Program ziarah ini merupakan program tahunan LZS (MAIS) yang diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara LZS (MAIS) dan pesakit.

“Secara tidak langsung, melalui program seperti ini pihak LZS (MAIS) dapat melihat realiti kehidupan mereka dan memahami masalah yang mungkin berbangkit. Bukan itu sahaja, kehadiran kami juga sedikit sebanyak dapat mengubat hati mereka yang berada dalam dukacita,” ujarnya.

Dalam program itu, LZS (MAIS) juga menyerahkan 56 buah hamper kepada pesakit sebagai cenderahati kepada mereka.

Turut hadir Setiausaha UMNO Bahagian Sabak Bernam, Tuan Hj. Ishak Ridhwan, Pegawai Tadbir Agama Daerah Sabak Bernam, Tn Hj Hanifuddin Ruslan Nazir serta kakitangan hospital.

LZS (MAIS) LANCAR PEMBAYARAN ZAKAT GUNA FPX

0

Petaling Jaya – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah melangkah setapak lagi di dalam menambah baikkan pembayaran zakat melalui internet apabila melancarkan kemudahan Financial Process Exchanges (FPX) dalam satu perkongsian bijak dengan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) di sini pada 30 Mei.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Jabatan Perdana Menteri, Mohd Zakri Husain, yang mewakili Menteri di Jabatan perdana Menteri, Y.B Datuk Dr. Abdullah Md Zin.

FPX merupakan kaedah pembayaran melalui Internet yang membolehkan permintaan transaksi pembayaran zakat ditukar dan disalurkan antara Bank Islam dan LZS (MAIS). Melalui kaedah ini orang ramai boleh membayar zakat melalui laman web LZS (MAIS) www.zakatselangor.com.my.

Menurut Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar, LZS (MAIS) sentiasa komited di dalam menambah baikkan kepelbagaian kaedah pembayaran zakat.

“Ini membolehkan para pembayar zakat mempunyai banyak pilihan untuk membuat pembayaran di dalam menunaikan ibadah wajib ini,” jelas beliau lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, YAD Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa dan Mufti Selangor, YAD Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Hadir sama Ahli Dewan Diraja Selangor, YAD Tengku Seri Wangsa Diraja, Tengku Dato’ Ramli Al-Haj Tengku Shahruddin Shah Al-Haj dan Orang Besar Daerah Petaling YAD Dato’ Seri Indah Diraja, Dato’ Haji Abu Bakar Abd Hamid.

PROMOSI ZAKAT DI BANK MUAMALAT

0

Rawang – Pertemuan dengan Bank Muamalat cawangan Rawang berjaya membuka peluang kepada Lembaga Zakat Selangor (MAIS) untuk mempromosikan zakat di samping bertukar-tukar pandangan serta memupuk hubungan mesra antara LZS (MAIS) dengan bank berkenaan yang diadakan baru-baru ini.

Ia dilihat sebagai usaha dakwah LZS (MAIS) dalam kempen berzakat terutamanya kepada agen kutipan LZS (MAIS). Menurut Pengurus Bank Muamalat cawangan Rawang, Mohd Sani Mohd Yusof, semenjak bank ini diisytiharkan sebagai bank angkat LZS (MAIS) pada 30hb September tahun lepas, sambutan yang diterima menggalakkan terutamanya pada bulan Ramadan dan Disembar.

“Ia kesan daripada promosi yang dijalankan oleh bank dengan kerjasama Skuad Kembara Zakat (SKZ) kepada penduduk sekitar pada tahun lepas. Pada tahun ini kami merancang untuk mengadakan program bersama seperti ini lagi setelah melihat respon yang diterima daripada pelanggan.

“Usaha untuk mempromosikan pembayaran zakat melalui bank juga dilakukan dengan meletakkan bunting LZS (MAIS) serta menyediakan cenderamata istimewa kepada pembayar yang membayar zakat di premis bank berkenaan,” kata beliau.

SKZ kini dikenali dengan Skuad Dakwah Zakat (SDZ) berperanan mengadakan promosi secara bergerak berkenaan zakat ke serata tempat di negeri Selangor.

PERKHIDMATAN ZAKAT DAN BANK DILANCAR HARI INI

0

Petaling Jaya, 30 Mei –Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan satu lagi perkhidmatan zakat secara rasminya hari ini di sini iaitu pembayaran zakat melalui agen-agen kutipan yang dilantik khususnya di kalangan institusi perbankkan bagi memastikan kemudahan kepada pelanggan untuk menunaikan zakat.

Majlis Pelancaran zakat & bank ini merupakan satu titik tolak bagi memangkin potensi kutipan zakat yang ada dengan gandingan mantap di antara institusi zakat dengan institusi perbankan di negara ini.

Pelancaran telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Jabatan Perdana Menteri, Mohd Zakri Husain, yang mewakili Menteri di Jabatan perdana Menteri, Y.B Datuk Dr. Abdullah Md Zin.

Penjenamaan perkhidmatan ini merupakan satu agenda untuk meningkatkan kesedaran kepada orang ramai bahawa pembayaran zakat kini semakin mudah dengan adanya kerjasama yang terjalin di antara LZS (MAIS) dengan hampir kesemua bank-bank utama di Malaysia.

Perkhidmatan yang diberi nama ‘Zakat & Bank’ bertema ‘Mudah & Masa Terjamin’ menjadikan jam pasir sebagai simbolik masa yang dapat dijimatkan kerana kini pembayaran zakat boleh dibuat dengan begitu mudah, bila-bila dan di mana juga.

Antara kemudahan agen bank ialah pembayaran zakat boleh dilakukan di kaunter-kaunter bank, melalui perbankan internet, telefon, mesin ATM, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan kad kredit.

LZS (MAIS) juga menawarkan satu lagi kemudahan pembayaran zakat secara on-line iaitu pembayaran melalui Financial Prosess Exchange (FPX) yang disediakan melalui portal LZS (MAIS) iaitu www.zakatselangor.com.my. Pembayaran zakat kini boleh dibuat dengan cara yang sangat mudah, selamat dan masa terjamin.

OBJEKTIF

Perkhidmatan ‘Zakat & Bank’ ini diperkenalkan bagi mecapai natijah berikut:-

-Memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk membayar zakat
-Memberi ruang institusi perbankan untuk turut sama terlibat di dalam memangkin
pengurusan zakat
-Meletakkan ibadah zakat ini sebagai sesuatu yang mudah, tidak membebankan dan
penunaiannya boleh dilaksanakan bersama-sama aktiviti seharian yang lain
-Mempelbagaikan kemudahan pembayaran zakat

INTIM’ 06: ZIARAH KORPORAT DAN KHIDMAT MASYARAKAT

0

Hulu Selangor – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS, Wilayah Timur telah menganjurkan program Ikatan Tautan Mahabbah 2006 (INTIM ’06) bertempat di sekitar Sungai Selisek, di sini pada 30 April yang lalu.

Matlamat penganjuran program adalah bagi memberi peluang kepada para pembayar zakat korporat untuk turut sama melibatkan diri di dalam menyampaikan bantuan zakat kepada asnaf miskin setempat di samping melaksanakan aktivti khidmat masyarakat.

Menurut pengarah program, Muhammad Rizal Jalil, sebanyak lima buah rumah asnaf miskin telah diziarahi termasuk sebuah rumah asnaf yang telah dipilih untuk diadakan aktiviti gotong-royong. Seramai 20 orang pembayar korporat termasuk kakitangan LZS (MAIS) Wilayah Timur dan masyarakat setempat turut serta di dalam menjayakan program tersebut.

Selain menyampaikan bantuan berupa hamper, barangan keperluan dapur dan dua buah basikal, bantuan kewangan bulanan turut disampaikan pada majlis tersebut. Para jemputan juga diberikan penerangan tentang pelaksanaan agihan zakat di Selangor oleh Ketua Operasi Wilayah Timur, Muhammad Rizal Shah Harudin.

LSZ (MAIS) SUMBANG RM289 RIBU UNTUK TABUNG TV3 BERSAMAMU

0

Bandar Utama – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah menyumbang sebanyak RM269,926.33 bagi mengisi Tabung TV3 Bersamamu dalam satu majlis yang diadakan di Sri Pentas di sini bertujuan turut membantu responden Bersamamu yang tersiar.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor yang juga Pengerusi LZS (MAIS) YAD Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Dato’ Abdul Mutalib Datuk Seri Mohamed Razak. Ia turut disiarkan secara lansung melalui program Bersamamu pada malam tersebut.

Dalam satu majlis yang lain, Media Prima Berhad turut menyerahkan zakat kakitangannya berjumlah RM809,779.00 kepada LZS (MAIS) yang di adakan di Masjid Tengku Kelana Petra, Kelana Jaya baru-baru ini. Zakat di serahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato’ Farid Ridzuan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, YB Dato’ Haji Abd. Rahman Palil.

Turut hadir Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib, Dato’ Abdul Mutalib serta Pengurus Besar LZS (MAIS) Haji Ahmad Shahir Makhtar.

LZS (MAIS) SERTAI ZAKAT CUP 2006

0

Shah Alam – Pasukan badminton Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS akan menyertai Kejohanan Badminton Zakat Cup 2006 pada 15 dan 16 April ini di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur.

Penyerahan jersi telah dilakukan oleh Pengurus Besar LZS (MAIS) Tn. Hj. Ahmad Shahir Makhtar di sini pada 14 April sebagai sokongan kepada pemain.

Dalam ucapannya, beliau berharap pemain akan bermain dengan bersungguh-sungguh dan membawa kemenangan kepada LZS (MAIS) yang telah lama dinantikan. Beliau juga menyarankan agar pemain menekankan semangat kesukanan yang tinggi untuk mengelakkan kesilapan semasa bermain lebih-lebih lagi dengan sistem kiraan mata 21.

Pemain yang mewakili LZS (MAIS) ialah Zaharuddin Kadiron (Pengurus Pasukan) , M.Afif Yusoff (Ketua Pasukan),Wira Mustafa (Juru Latih), Nur Anuar M.Azam, M. Amin Karim, Md. Yusmizan Yusuf, M. Nor Kadir, M. Sabri M. Tajjuddin, M. Kamal Ruzaman Othman, M. Fauzi Masdan dan M. Nasrul Naim M. Norshah.

Berita Terkini