Utama Blog Halaman 171

LZS (MAIS) SERTAI SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah menyertai Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor yang telah berlangsung meriah di sini pada 11 April yang telah disertai oleh kira-kira 1,000 peserta daripada 56 agensi.

Sambutan dimulakan dengan acara perarakan yang diketuai oleh Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Sulaiman yang mewakili DYMM Sultan Selangor sambil berselawat ke atas nabi.

Perarakan bermula dari Bangunan Maybank melalui hadapan Taman Kesenian Islam dan berakhir di Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Jabatan Agama Islam Selangor telah muncul pasukan perarakan terbaik keseluruhan pada hari itu.

Sementara itu majlis sambutan tersebut juga telah diserikan dengan ceramah khas Maulidur Rasul yang telah disampaikan oleh Ketua Unit Dakwah dan Penerangan LZS (MAIS), Ustaz Mohamad Uda Kasim

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Datuk Abdul Rahman Palil dan Pengerusi MAIS, Dato’ Setia haji Mohamad Adzib Mohamad Isa

4 SYARIKAT, 2 KOPERASI BAYAR ZAKAT HAMPIR RM1 JUTA

0

Shah Alam – Sebanyak empat buah Syarikat dan dua buah koperasi telah membayar zakat RM927,050.21 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS pada 29 November dalam satu majlis ringkas di sini.

Pengerusi LZS (MAIS) Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa telah menerima zakat-zakat tersebut daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM742,598.47, Bank Pembangunan Malaysia Berhad berjumlah RM82,636.29 dan Takaful Nasional Berhad (RM71,027.00)

Manakala Advanced Power Solutions sebanyak RM9,681.00, Koperasi AIM Berhad dan Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Jabatan Pertanian Malaysia masing-masing berjumlah RM11,107.45 dan RM10,000.00.

TNB diwakili Pengurus Besar Negeri Selangor, Hussin Othman, manakala Bank Pembangunan oleh Pengerusinya Tan Sri Dato’ Seri Dr. Zainul Ariff Hussain. Takaful Nasional diwakili Ketua Jabatan Syariah, Dr.Zulkifli Zakaria dan Advanced Power Solutions oleh Pengurus Pentadbiran, Zainur Rashid Mahmud,

Sementara itu Koperasi AIM Berhad diwakili pengarahnya, Mohd Ramdani Kassim dan Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Jabatan Pertanian Malaysia oleh Helmi Abd Rahman.

Pada majlis yang sama juga, sebuah sekolah, dan empat individu telah menerima bantuan zakat daripada LZS (MAIS). Sekolah Rendah Agama an-Nur, Kanchong Tengah, Banting menerima RM200,000 bagi pembinaan kelas. Penerima buah pinggang, Nor’Azima Kamaruddin menerima bantuan perubatan berjumlah RM10,980.

Manakala Mohammad Fakrullah Mohd Fuad menerima RM20,000 bagi menjalani pembedahan koklea dan Abdullah Abd Manan serta Kamaruddin Sankarajah menerima bantuan pembinaan rumah baru bernilai RM20,000.

Turut hadir Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar.

LZS (MAIS) SEDIA RM3.23 JUTA BANTU ANAK FAKIR MISKIN MULAKAN SESI PERSEKOLAHAN

0

Shah Alam – Seramai 16, 143 orang pelajar sekolah rendah dan menengah daripada anak-anak asnaf fakir dan miskin akan menerima bantuan persekolahan bernilai RM3.23 juta daripada Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Program bantuan yang bertemakan ‘Jom Kembali Ke Sekolah’ ini adalah sebagai persediaan anak-anak ini untuk memulakan sesi persekolahan 2007.

Bantuan berbentuk pakaian sekolah serta wang tunai antara RM100 hingga RM500 untuk pembiayaan yuran akan disampaikan di dalam 29 siri penyampaian di seluruh negeri Selangor bermula 29 November sehingga 24 Disember.

Program tersebut telah dilancarkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Petaling, Ustaz Mohd Nawi Abu Bakar yang mewakili Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohammed Khusrin Munawi.

Berucap pada pelancarannya, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohammed Khusrin Munawi menyeru agar para ibu bapa memanfaatkan wang zakat yang diberi dengan sebaik-baiknya dengan membeli keperluan pembelajaran seperti alatulis dan buku-buku latihan selain menjelaskan yuran kepada pihak sekolah. Beliau turut menyampaikan bantuan kepada 94 orang murid dari sekitar Shah Alam di sini.

Dalam konteks lebih besar, beliau turut membayangkan komitmen berterusan LZS (MAIS) bagi menjamin keperluan pendidikan anak-anak ini dengan membina kompleks asrama yang lengkap. Untuk tujuan itu, sebanyak hampir RM8 juta telah diluluskan bagi pembinaannya dan dijangka siap pada tahun 2008.

Turut hadir Pengurus Jabatan Pembangunan Korporat LZS (MAIS), Sahadan Ishak dan Pengurus Jabatan Agihan dan Pembangunan Ummah LZS (MAIS), Zulkifli Abdul Hamid

LEBIH RM7 JUTA UNTUK ASNAF SEMPENA RAMADAN DAN AIDILFITRI

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS memperuntukkan sebanyak RM7,012,500 bantuan untuk diagihkan kepada 11,549 orang fakir, miskin dan anak yatim fakir miskin di seluruh Negeri Selangor menjelang ketibaan Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM211,800 diagihkan kepada 294 orang asnaf fakir, RM6,634,400 pula kepada 9,589 orang asnaf miskin dan RM166,600 diperuntukkan untuk 1,666 orang anak yatim fakir miskin. Sabak Bernam merupakan daerah yang tertinggi menerima bantuan iaitu sebanyak RM1,594,300.

Pada tahun ini, asnaf fakir yang terpilih akan menerima bantuan antara RM600 hingga RM1,000. Manakala bagi asnaf miskin, mereka akan menerima bantuan antara RM550 hingga RM1,000. Perbezaan jumlah bantuan yang diterima ini bergantung kepada jumlah tanggungan bagi sesebuah keluarga. Bagi anak yatim fakir miskin pula, mereka akan menerima wang saku sebanyak RM100 seorang.

Sebanyak 42 program agihan telah dijadualkan, bermula pada 12hb September dan dijangka akan berakhir pada 7hb Oktober ini. Sebanyak enam program yang melibatkan Sultan Selangor telah diatur yang akan diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam (26hb September), Masjid Nurul Huda, Kuala Langat (29hb Oktober), Masjid Al-Ulum, Sepang (3hb Oktober), Masjid Tengku Kelana, Kelana Jaya (5hb Oktober), Masjid Ijtima’ie, Sabak Bernam (9hb Oktober) dan Masjid Ar Rahman, Tg. Karang (13hb Oktober).

FAKIR MISKIN DAPAT BANTUAN RUMAH LZS (MAIS)

0

Sungai Besar – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah mengadakan Program Serahan Kunci Rumah kepada asnaf fakir miskin di Sungai Besar pada 30hb Ogos 2006 yang lepas. Majlis tersebut telah diadakan di Qariah Parit 4, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Dato Hj Masloro B. Hj Ahmad selaku wakil peribadi YAB. Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo. Beliau juga telah menyerahkan sendiri kunci rumah kepada setiap penghuni rumah tersebut.

Seramai 10 orang asnaf Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dari kawasan sekitar telah menerima bantuan rumah tersebut. Semoga dengan bantuan rumah yang diberikan oleh LZS (MAIS) ini akan dapat meringankan beban mereka seterusnya dapat menjalani hidup dengan lebih selesa selepas ini.

Turut hadir di majlis tersebut ialah En Huzairi Ibrahim, Eksekutif Jabatan Pembangunan Ummah LZS (MAIS), Ketua Operasi Wilayah Utara, Penghulu Mukim , pegawai-pegawai LZS (MAIS) serta penduduk kampung yang berhampiran.

BANK PEMBANGUNAN BAYAR ZAKAT RM127 RIBU

0

Shah Alam – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (bank Pembangunan) telah menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM127,111.39 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dalam satu majlis ringkas di sini pada 28 April.

Pembayaran zakat bagi haul berakhir 2004 itu telah disampaikan oleh Pengerusi Bank Pembangunan, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Haji Zainul Arif Haji Hussin kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa.

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Besar LZS (MAIS), Haji Ahmad Shahir Makhtar.

LZS (MAIS) TAJA 226 PELAJAR MISKIN

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS mengambil inisiatif dengan memberi tajaan percuma kepada 226 orang pelajar fakir miskin di Selangor untuk melanjutkan pelajaran di INPENS baru-baru ini.

Para pelajar tersebut akan mengikuti kursus kemahiran di peringkat Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dalam lima buah kursus terpilih iaitu Pelukis Plan Kejuruteraan Mekanikal, Pembuat Pakaian Wanita, Mekanik Kenderaan Motor, Juruteknik Elektrik Rendah dan Pembantu Juruteknik Sistem Komputer.

Menurut Ketua Unit Pembangunan Pendidikan LZS (MAIS), Nasri Che On, pemberian tajaan sebanyak RM5,000 setahun ini meliputi yuran kursus, tempat tinggal, belanja makan dan elaun poket bulanan bagi para pelajar. Tambahnya lagi, “Tajaan ini diberikan kepada pelajar yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat IPT agar dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran.

Selain itu juga LZS (MAIS) akan memantau mereka terutama dari segi pencapaian dan prestasi pelajaran dari semasa ke semasa agar para pelajar ini bijak peluang yang diberikan sebaik-baiknya.”

INPENS merupakan kolej pertama yang dipilih untuk menempatkan pelajar tajaan LZS (MAIS) selain tiga buah kolej lagi iaitu Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Institut Profesional Baitulmal (IPB) dan Universiti Industri Selangor (UNISEL)

ENAM SYARIKAT DAN BANK BAYAR ZAKAT LEBIH SETENGAH JUTA

0

Shah Alam – Empat buah syarikat serta dua buah bank hari ini menyerahkan zakat perniagaan masing-masing kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS berjumlah RM655, 025.32 pada 22 Mac di sini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang juga Pengerusi LZS (MAIS) Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa menerima zakat tersebut bagi pihak LZS (MAIS).

Syarikat terbabit ialah Pos Malaysia Berhad dengan zakat berjumlah RM68,316.00, Zest Module Sdn.Bhd. (RM30,000.00), Tekad Nusantara Sdn.Bhd. (RM23,840.57) dan WWE Holdings Sdn.Bhd. (RM20,000.00).

Manakala Kumpulan EON Bank dan Bank Islam Malaysia Berhad masing-masing menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM274,837.75 dan RM237995.00.

Pos Malaysia diwakili oleh Pengurus Negeri Selangor, Wan Sharpudin Wan Ramli, Zest Module Sdn.Bhd. oleh Pengarahnya Norlida Arun dan Tekad Nusantara Sdn.Bhd. oleh Pengarah Eksekutif Abdul Aziz Husin,

Sementara itu, WWE Holdings Sdn.Bhd. diwakili oleh Korai Sedik, Pembantu Peribadi kepada Pengarah Urusan, Kumpulan EON Bank oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Abdul Jamel Pawanteh, manakala Bank Islam Malaysia Berhad diwakili Pengurus Besar Perbankan Pengguna, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh.

Turut hadir Pemangku Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar.

PUSAT ZAKAT SELANGOR NAIK TARAF KE LEMBAGA ZAKAT SELANGOR

0

Banting — Y.A.D Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd Isa mengumumkan semasa sidang akhbar sempena pelancaran Lembagan Zakat Selangor (LZS) MAIS di sini pada 31 Januari, bahawa Pusat Zakat Selangor (PZS) MAIS akan dikenali sebagai Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS mulai hari itu.

Menurutnya, rasional naik taraf ini adalah kerana LZS MAIS kini memikul tangungjawab yang lebih besar dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat yang telah mencapai lebih RM100 juta setahun, disamping meningkat imej serta kredibiliti LZS MAIS.

Tambahnya, Visi LZS MAIS ialah menjadi sebuah organisasi terunggul dalam menerajui kecemerlangan pengurusan zakat bertaraf dunia.

Misi LZS MAIS pula ialah mengurus dan memanfaatkan potensi kutipan dan agihan zakat dengan efisien, efektif dan berkualiti kepada umat islam di selangor berdasarkan nilai-nilai terpuji, selaras dengan tuntuan syarak untuk mencapai keseimbangan sosio ekonomi ummah.

Menurutnya lagi, beberapa objektif telah digariskan terhadap penubuhan LZS MAIS iaitu:
-Memperkasa pengurusan institusi zakat
-Memaksima potensi kutipan zakat
-Menangani / membasmi kemiskinan
-Meningkatkan pembangunan sosio ekonomi ummah dan syiar Islam
-Memberi perkhidmatan pelanggan yang berkualiti

Tambahnya, bagi memastikan misi dan objektif di atas tercapai, beberapa program jangka panjang yang melibatkan agihan wang zakat akan dilaksanakan, antaranya:
-Penubuhan kompleks asrama anak-anak fakir miskin MAIS di Klang dan di setiap daerah
-Penubuhan pusat dialisis MAIS di sekitar Lembah Klang
-Penubuhan pusat pemulihan penagih dadah tegar di Hulu Selangor
-Pembangunan rumah berkelompok asnaf fakir miskin desa ehsan dan pusat komuniti di setiap daerah dan
-Penubuhan sebuah koperasi bagi menggerakkan aktiviti ekonomi penerima bantuan modal

Beliau juga dalam kenyataannya menyeru kepada seluruh umat Islam di Selangor agar menunaikan tanggungjawab berzakat sebagai tanda kesyukuran terhadap rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.

“LZS MAIS sebagai sebuah badan yang dipertanggungjawabkan, akan mengurus serta mentadbir pengurusan zakat di Selangor dengan penuh tanggungjawab dan telus.
Peningkatan kutipan zakat pada setiap tahun menunjukkan masyarakat semakin yakin dengan pengurusan agihan yang baik yang dilaksanakan oleh LZS MAIS, disamping tahap kesedaran yang semakin meningkat,” ujarnya.

D.Y.M.M SULTAN SELANGOR BERKENAN LANCAR LEMBAGA ZAKAT SELANGOR

0

Banting — Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan melancarkan logo baru Pusat Zakat Selangor (PZS) MAIS yang kini dikenali sebagai Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS di Masjid As-Solihin di sini pada 31 Januari sebagai tanda PZS MAIS telah dinaik taraf kepada institusi zakat yang lebih berkredibiliti dan diyakini.

Baginda yang diiringi oleh Pengerusi Jawartankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor, Y.B Dato’ Haji Abd Rahman Haji Palil, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramlan Othman dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa mahu intitusi berkenaan lebih tekun bekerja dan beramanah.

“Beta sungguh gembira apabila dimaklumkan bahawa kutipan zakat di Selangor telah meningkat kepada RM133 juta pada tahun lalu dan ia merupakan kutipan yang memberangsangkan,” titahnya.

“Kakitangan Majlis Agama Islam Selangor selepas ini haruslah bekerja dengan lebih gigih dan jangan sia-siakan kepercayaan masyarakat yang sedia ada,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1427 dan pelancaran LZS MAIS.

Berita Terkini