Utama Blog Halaman 2

LZS, MEDKAD METERAI KERJASAMA MUDAHKAN PROSES BANTUAN ZAKAT

0

SHAH ALAM, 6 Ogos 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini memeterai perjanjian kerjasama dengan MEDKAD Sdn. Bhd menerusi inisiatif digital yang bakal mengubah landskap bantuan perubatan LZS, bagi memudahkan dan mempercepatkan proses permohonan bantuan zakat.

Sistem Bantuan Perubatan Elektronik (Electronic Medical Aid) dikenali Al-Amal merupakan sistem inovatif yang dibangunkan oleh MEDKAD untuk menguruskan perkhidmatan kesihatan secara digital. Melalui Al-Amal, ia mampu menyediakan solusi yang efisien untuk para asnaf di Selangor, sekali gus memudahkan akses kepada bantuan perubatan dengan lebih cepat dan berkesan.

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Ketua Pegawai Eksekutif MEDKAD, Ezuan Yaacob, yang disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perubatan LZS, Dato’ Dr. Tunku Muzafar Shah Tunku Jaafar Laksamana.

Mohd Sabirin dalam ucapannya berkata, menerusi Pelan Strategik LZS 2023 hingga 2025 di bawah teras strategi Go Digital, LZS menekankan pembangunan dan penggunaan platform digitalisasi bagimempertingkatkan keupayaan dan kecekapan proses penyaluran bantuan agihan zakat khususnya bantuan perubatan.

Al-Amal yang dibangunkan untuk LZS, diintegrasikan dengan sistem sedia ada iaitu LZS Electronic Zakat Online (eZO). Dengan Al-Amal, permohonan bantuan perubatan di LZS kini boleh dilakukan secara digital sekali gus mengurangkan kebergantungan pada borang fizikal dan pemprosesan manual.

Sistem ini dilihat dapat mempermudah asnaf membuat permohonan dengan cepat dan selamat, mengatasi risiko manipulasi dokumen, mempermudah proses pengurusan permohonan oleh LZS secara keseluruhan. Di samping itu, proses permohonan bantuan juga dapat diselesaikan dalam tempoh 8 hari berbanding 14 hari sebelum ini, menawarkan respons yang lebih pantas dan efisien kepada asnaf yang memerlukan bantuan perubatan.

Pada masa ini proses permohonan bantuan di LZS melibatkan 553 panel perubatan yang dilantik di seluruh Selangor, dengan hampir 3,500 tuntutan diproses secara manual setiap bulan.

Untuk makluman, bantuan perubatan merupakan salah satu bentuk bantuan utama yang disediakanoleh LZS kepada asnaf di Selangor. Pada tahun 2023, LZS telah mengagihkan lebih RM51 juta untuk bantuan perubatan kepada 11,000 asnaf, dengan jumlah transaksi melebihi 16,000 setahun.

Penggunaan penuh Sistem Bantuan Perubatan Al-Amal untuk pengurusan permohonan bantuan perubatan asnaf di LZS dijangka akan dilaksanakan pada awal 2025, selepas pelaksanaan tempoh perintis di daerah Petaling yang akan bermula pada November 2024.

Usahasama LZS dengan Medkad ini merupakan langkah penting menuju digitalisasi, yang
menyokong kelestarian melalui pengurangan penggunaan kertas dan bahan cetakan lain,
memperbaiki pengurusan data dengan pengumpulan secara real-time, dan melaksanakan automasi untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja serta risiko kesalahan. Inisiatif ini juga menyokong amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan selari dengan aspirasi kelestarian UN SDG 2030.

LZS LANCARKAN BUKU KARIKATUR: DAKWAH SANTAI MASYARAKAT

0

BANGI, 2 Julai 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan buku karikatur Sembang Zakat Siri 1 bersempena dengan program Muzakarah Zakat Nusantara (MZN) yang diadakan di sini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof di hadapan 250 peserta MZN.

Buku ini merupakan kompilasi karikatur dakwah zakat yang tersiar di media sosial rasmi LZS. Menggunakan pendekatan dakwah santai menerusi karikatur, LZS melihat kaedah ini sebagai satu cara efektif untuk menyampaikan mesej zakat kepada masyarakat.

Pendekatan ini diharap dapat menarik minat pelbagai golongan, khususnya generasi muda, untuk lebih memahami dan mendalami konsep serta kepentingan zakat.

Selain pelancaran buku karikatur, program MZN juga menyaksikan pelbagai sesi pembentangan dan perbincangan mengenai isu-isu semasa zakat di peringkat serantau. Program ini turut dihadiri oleh pakar-pakar zakat dari pelbagai negara yang berkongsi pandangan dan pengalaman mereka dalam usaha memperkasakan institusi zakat.

LZS berharap dengan pelancaran buku ini dan penganjuran program seperti MZN, kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai zakat akan terus meningkat, seterusnya membantu golongan asnaf yang memerlukan.

Hadir sama dalam program ini, Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dan Mufti Selangor, Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Anhar Opir. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan.

MUZARAKAH ZAKAT NUSANTARA PLATFORM RUJUKAN INSTITUSI ZAKAT RANTAU ASIA TENGGARA

0

SHAH ALAM, 2 Julai 2024 – Muzakarah Zakat Nusantara (MZN) anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dilihat mampu menjadi platform berwibawa bagi rujukan institusi zakat demi merungkai pelbagai persoalan dan mencetuskan inovasi zakat di rantau ini, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam ucapan perasmiannya di hadapan lebih 250 peserta MZN hari ini,

MZN kali kedua ini diadakan bersempena sambutan Jubli Mutiara Ke-30 LZS menggabungkan lima buah negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

Penganjuran MZN ini telah menghimpunkan perwakilan daripada pelbagai sektor khususnya daripada industri pengurusan zakat, penggubal fatwa dan penasihat syariah, sarjana Islam, para penyelidik, ahli akademik, korporat termasuk orang perseorangan.

Mengangkat tema ‘Kelestarian Syariah dan Pemerkasaan Dakwah Zakat Mendepani Keperluan Zaman’, MZN menjadi medan perkongsian perkembangan ilmu, hukum hakam dan tadbir urus zakat dari pelbagai negeri serta negara untuk dimanfaatkan oleh pihak yang terlibat dalam industri zakat.

Seiring itu, pelbagai kertas kerja dibentangkan bagi mengupas topik berkaitan pengurusan zakat terutama berkenaan perkembangan syariah, pendekatan dakwah zakat yang lebih realistik seiring dengan peredaran zaman, di samping membincangkan isu-isu agenda perubahan dalam pemahaman zakat yang lebih baik bagi mendepani keperluan masa hadapan ummah yang semakin kompleks.

Sebanyak 41 kertas kerja dibentangkan sepanjang tiga hari MZN berlangsung bermula semalam. Antara pembentang kertas kerja termasuklah Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Dato’ Seri Setia Dr. Haji Mazanan Haji Yusof yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Agihan Dana Zakat oleh Bank Islam Brunei Darussalam: Satu Sorotan’, Timbalan Ketua Dewan Pertimbangan, Majelis Ulama Indonesia, Profesor Dr. K.H Didin Hafidhuddin membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pandatangan Fuqaha Terhadap Aset Digital Sebagai Wajib Zakat dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Dato’ Amran Hazali yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Dakwah Zakat: Persaingan Di Antara Institusi Rasmi dan NGO/i.

Hadir sama dalam program ini, Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dan Mufti Selangor, Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Anhar Opir. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan.

 

LZS RAI RAKAN STRATEGIK BANTU KUTIPAN DAN AGIHAN ZAKAT SELANGOR

0

SHAH ALAM, 14 Mei 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini meraikan dan mengiktiraf rakan-rakan strategik LZS dalam kalangan ejen dan majikan yang membantu melaksanakan agenda ummah terutama melibatkan urusan perkhidmatan kutipan dan agihan zakat bagi pihak LZS khususnya di Selangor, bersempena Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor (GRASIAZ) 2024 di sini.

Mereka ini terdiri daripada ejen syarikat, firma audit dan cukai, bank, pos, penolong amil institusi pengajian tinggi (IPT) dan Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) yang dilantik oleh LZS bagi membantu mengutip zakat di Selangor, serta majikan yang membuat bayaran zakat melalui potongan gaji di LZS.

Sebanyak tiga anugerah utama diberikan iaitu Anugerah Prestasi Kutipan Tertinggi, Anugerah Prestasi Komitmen & Pengurusan Terbaik dan Anugerah Muaz Bin Jabal membabitkan kategori ejen perunding, penolong amil IPT, penolong amil IPIS dan platform saluran pembayaran. Mereka ini dipilih berdasarkan kepada rekod prestasi kutipan zakat yang membanggakan dan pertambahan jumlah pengeluar zakat baru, selain menunjukkan komitmen menyebarkan dakwah zakat di Selangor.

Dalam majlis sama, sebanyak 30 majikan menerima Anugerah Majikan Paling Setia sebagai tanda penghargaan LZS kepada majikan terawal yang menyertai Skim Potongan Gaji (SPG) bagi kakitangannya, sekaligus memastikan kelangsungan pengagihan zakat di Selangor. Ia juga sebagai tanda kesetiaan majikan yang masih mampu mengekalkan caruman sehingga ke hari ini.

Untuk makluman SPG telah diperkenalkan oleh LZS pada tahun 2002 sebagai salah satu kemudahan pembayaran zakat melalui potongan gaji bulanan terutamanya zakat pendapatan.

Manakala, sebanyak tujuh syarikat turut menerima Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) sebagai tanda penghargaan kerana bersama-sama LZS menyantuni golongan asnaf melalui komitmen menunaikan zakat perniagaan dan zakat pendapatan.

IKTIRAF diperkenalkan pada tahun 2021 sebagai penghargaan LZS atas kesetiaan syarikat korporat yang menunaikan zakat perniagaan dan majikan yang komited melaksanakan SPG bagi kakitangannya.

Sementara itu, LZS turut menerima bayaran zakat perniagaan daripada tiga syarikat korporat berjumlah RM3,735,600.75. Tiga syarikat korporat tersebut ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2,703,226.00, diikuti Ekuiti Nasional Berhad menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM750,000.00 dan Medidata Sdn Bhd sebanyak RM282,374.75.

Hadir sama, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

DELEGASI QATAR KUNJUNGI INSTITUSI ZAKAT: DALAMI PENGURUSAN ZAKAT MALAYSIA

0

KUALA LUMPUR, 23 April 2024 – Seramai 10 orang pegawai tertinggi di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Islam, Kerajaan Qatar mengunjungi institusi zakat di Malaysia bagi bertukar-tukar pandangan berkaitan pengurusan zakat.

Delegasi tersebut yang diketuai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Zakat, Kerajaan Qatar Tuan Saad Omran al-Kuwairi hadir ke Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi sesi perkongsian pengalaman pengurusan di Malaysia, khususnya Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan PPZ.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dalam ucapan aluannya menyatakan keterujaan LZS dengan kehadiran para delegasi. Beliau berharap agar kunjungan ini akan membentuk jaringan hubungan `Government to Government’(G2) yang lebih bermakna melalui sesi perkongsian pengurusan zakat dan saling bertukar-tukar pandangan serta pengalaman, di samping melihat jalinan kerjasama strategi, inovasi dan persahabatan antara dua negara.

Dalam kunjungan tersebut, delegasi telah diberi taklimat perkongsian pengalaman LZS yang disampaikan oleh Ketua Divisyen Strategi Korporat, Kamarulzaman Omar yang menekankan aspek keperluan beradaptasi dengan teknologi untuk memastikan keperluan asnaf dapat dipenuhi melalui agihan zakat yang efektif dan kutipan zakat dapat dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa bagi menyantuni lebih ramai asnaf.

LZS SASAR KUTIPAN ZAKAT RAMADAN RM260 JUTA

0

SHAH ALAM, 3 April 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat RM260 pada Ramadan tahun ini bagi menyantuni keperluan golongan asnaf di Selangor. Daripada jumlah tersebut, RM220 juta disasarkan melalui zakat harta, manakala RM40 juta disasarkan melalui kutipan zakat fitrah.

Terdahulu, sebanyak 42 buah syarikat termasuk tiga pengeluar zakat individu menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM6,110,127.80 yang diserahkan dalam Majlis Iftar Bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan (IMTIYAZ) 2024 yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan di sini hari ini.

Bank Muamalat Malaysia Berhad mendahului senarai syarikat mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM2,037,878.40, diikuti Alliance Islamic Bank Berhad sebanyak RM600,000.00, Kenangan Investment Bank Berhad sebanyak RM213,549.15 dan Selangor Specialist Hospital Sdn. Bhd. sebanyak RM180,621.58.

Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah Kajang Specialist Hospital Sdn. Bhd. yang menunaikan zakat sebanyak RM155,000.00, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. sebanyak RM138,120.52 dan ZAR Lynx Sdn. Bhd. sebanyak RM120,000.00.

Dalam majlis sama, LZS turut menyerahkan bantuan zakat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,856,886.60.

Sebanyak RM5,712,000.00 akan disalurkan kepada 1,904 pelajar asnaf LZS bagi pemberian komputer riba. Sementara tiga individu lagi akan menerima bantuan perubatan iaitu Shakira Chong Abdullah yang menerima bantuan zakat berjumlah RM41,940.00, Maslinatunniza Mansor sebanyak RM32,946.60 dan Ariq Rifqi Huzaini yang menerima bantuan sebanyak RM20,000.00. Manakala Pertubuhan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia pula menerima sumbangan zakat berjumlah RM50,000.00.

Sementara itu, sebanyak enam syarikat menerima Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) sebagai tanda penghargaan kerana bersama-sama LZS menyantuni golongan asnaf melalui komitmen menunaikan zakat perniagaan dan zakat pendapatan.

Untuk makluman, IKTIRAF diperkenalkan pada tahun 2021 sebagai penghargaan LZS atas kesetiaan syarikat korporat yang menunaikan zakat perniagaan dan majikan yang komited melaksanakan Skim Potongan Gaji (SPG) bagi kakitangannya.

Hadir sama, Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Fikri Naim Harun.

LZS PERUNTUKAN RM1.49 JUTA SUMBANGAN VAN JENAZAH

0
Deretan van jenazah yang diterima oleh masjid terpilih

SHAH ALAM,  15 Mac 2024  – Sebanyak RM1,495,000.00 diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membekalkan 10 buah van jenazah kepada masjid terpilih di Selangor dalam satu Majlis Penyerahan Kunci Van yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Sabirin Mohd Sarbini di sini hari ini.

Sumbangan van jenazah merupakan salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan pengurusan jenazah. Ia diperuntukkan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk mengurus jenazah terutamanya terutama di kawasan luar bandar, di samping mempunyai kariah yang ramai.

Sumbangan van jenazah ini melibatkan dua buah masjid dari daerah Petaling iaitu Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13 dan Masjid Al-Amin Seksyen 17, manakala dua buah masjid dari daerah Sabak Bernam iaitu Masjid Marzukiah Kampung Lubuk Pusing dan Masjid Baitul Rahman Parit ii, Sungai Nibong.

Sementara itu, dua buah masjid dari daerah Hulu Selangor turut menerima sumbangan iaitu Masjid Jamek Nurul Islamiah, Sg Choh Old dan Masjid As Sajidin, Batang Kali. Dua buah masjid lagi adalah dari daerah Klang iaitu Masjid Bukit Kapar 2, Kampung Bukit Kapar dan Masjid Al Qayyum Bandar Armada Putra.

Turut menerima sumbangan ini sebuah masjid dari daerah Kuala Selangor iaitu Masjid Nurul Islam, Blok Y One dan sebuah masjid dari daerah Hulu Langat iaitu Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota.

Bahagian dalaman van jenazah yang diubahsuai bagi memudahkan pengurusan jenazah

Untuk makluman, sumbangan van jenazah ini adalah sebahagian daripada sumbangan zakat di bawah Program Pembangunan Institusi Agama yang bermula sejak 2013 sehingga kini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi, Ahmad Fadhil Hassan dan Timbalan Ketua Operasi Agihan Asnaf,  Md Yusmizan Yusuf.

SULTAN SELANGOR LANCARKAN SAMBUTAN JUBLI MUTIARA LZS

0

SHAH ALAM, 13 Mac 2024 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj hari ini melancarkan sambutan Jubli Mutiara Ulang Tahun Ke-30 Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi meraikan tiga dekad penubuhan LZS sebagai sebuah institusi yang menerajui perubahan dalam pengurusan zakat di Selangor.

Dalam usia ke-30 tahun, LZS terus dilihat sebagai sebuah insitusi yang diamanahkan untuk memudahkan pengeluar zakat dan menyantuni golongan asnaf di Selangor.
Sepanjang tempoh tersebut, LZS telah melalui beberapa evolusi bagi memastikan matlamat menyediakan perkhidmatan yang terbaik dalam kutipan dan agihan zakat kepada masyarakat Islam di Negeri Selangor dapat direalisasikan.

Bermula sebagai Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIS) yang menjalankan fungsi mengutip zakat, kemudian bertukar nama kepada Pusat Zakat Selangor (PZS-MAIS) dan diberi mandat untuk melaksanakan pengagihan zakat yang sebelum ini merupakan tanggungjawab Baitulmal.

Pada tahun 2006, LZS telah didaftarkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 dan ditukar nama kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) seiring dengan tangungjawabnya yang lebih besar dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat.
Dalam tempoh 30 tahun beroperasi, LZS telah meningkatkan kutipan zakat di negeri Selangor daripada RM15.9 juta kepada RM1.07 bilion pada tahun 2022, bersamaan dengan kadar 17.7 peratus peningkatan tahunan.

Manakala pengagihan zakat yang dilaksanakan sepanjang 30 tahun turut meningkat daripada RM16.3 juta kepada RM1.05 bilion pada tahun 2022 bersamaan dengan kadar 18 peratus peningkatan tahunan.

Secara keseluruhannya, LZS telah mengutip dan mengagihkan melebihi RM10.5 bilion dalam tempoh 30 tahun bagi meringankan beban golongan asnaf. Ini termasuklah melalui agenda pembangunan golongan asnaf di Selangor agar mereka tidak terus-terusan menjadi penerima zakat dan dapat membebaskan diri serta keluarga daripada kemiskinan.

Bersempena dengan sambutan Jubli Mutiara Ulang Tahun LZS ini juga, pelbagai program dan aktiviti menarik telah diatur sepanjang tahun khusus untuk pengeluar zakat dan asnaf serta masyarakat. Maklumat berkenaan program dan aktiviti ini akan diwar-warkan melalui media sosial rasmi LZS.

DYMM SULTAN SELANGOR PERKENAN TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM10.8 JUTA

0

SHAH ALAM, 13 Mac 2024 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM10,790,760.00 daripada empat syarikat korporat dalam satu program serahan zakat sempena Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat di sini hari ini.

Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan anak-anak syarikat mendahului senarai syarikat menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM5,057,000.00 diwakili oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Fariz Hasaan, diikuti oleh Kumpulan Worldwide Holdings Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Paduka Norazlina Zakaria menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM2,820,000.00.

Manakala, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) menwakilkan Ketua Pegawai Eksekutif,
Saipolyazan Md. Yusop menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,913,760.00 dan
Pertubuhan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi menyerahkan zakat perniagaan RM1,000,000.00.
DYMM Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 118 orang asnaf fakir, 237 orang asnaf miskin dan 75 orang asnaf mualaf dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM215,000.00. Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Dalam majlis sama, DYMM Sultan Selangor turut berkenan menandatangani plak Jubli Mutiara sempena Sambutan Ulang tahun ke-30 penubuhan LZS.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr. Anhar Opir, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail dan Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

SULTAN SELANGOR BERKENAN SERAH WATIKAH PELANTIKAN AHLI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH LZS

0

SHAH ALAM, 23 Februari 2024 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj hari ini berkenan menyerahkan watikah pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi sesi 2024-2026 dalam satu upacara yang diadakan di sini.

Penerimaan watikah pelantikan ini ketuai oleh Pengerusi Pemegang Amanah LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail dan diikuti Timbalan Pengerusi Pemegang Amanah LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang. Jumlah keseluruhan Ahli Pemegang Amanah LZS yang dilantik seramai 11 orang terdiri daripada profesional dan ahli korporat dalam pelbagai bidang.

Pelantikan Ahli Pemegang Amanah LZS ini mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Berita Terkini