Utama Blog Halaman 3

LZS SEDIAKAN PERUNTUKAN ZAKAT RM33.4 JUTA BIAYAI PERSIAPAN PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK ASNAF FAKIR & MISKIN SERTA MUALAF

0

HULU LANGAT, 8 Februari 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan peruntukan
agihan zakat sebanyak RM33,414,415 (RM33.4 juta) bagi membiayai persiapan persekolahan 70,283 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf sesi 2024.

Ia meliputi semua peringkat umur pelajar iaitu pra sekolah seramai 1,235 orang, Sekolah Rendah Kebangsaan/Sekolah Rendah Agama (32,708 orang), Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Agama (36,340 orang).

Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Mufti Selangor, Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Anhar Opir dalam satu majlis yang diadakan di sini pada hari ini.

Sesi bergambar bersama penerima bantuan persekolahan

Pemberian bantuan persekolahan itu merupakan bantuan rutin yang diagihkan setiap tahun
bertujuan meringankan beban ketua keluarga asnaf yang berdaftar dengan LZS, terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan dan menampung kos yuran untuk anak-anak mereka.

Setiap pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan akan menerima bantuan kelengkapan persekolahan pada kadar RM170.00 seorang dan pelajar Sekolah Rendah Agama pula pada kadar RM150.00 seorang. Manakala bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan atau Sekolah Menengah Agama pula akan menerima sebanyak RM200.00.

Kelengkapan persekolahan ini meliputi pakaian seragam, peralatan seperti beg, alat tulis dan sebagainya. Setiap pelajar diwajibkan untuk membeli sepasang pakaian seragam sekolah dan selebihnya untuk membeli keperluan yang lain berdasarkan syarat dan panduan yang ditetapkan.

Penerima bantuan boleh mengunjungi mana-mana pasaraya ditetapkan oleh LZS mengikut daerah masing-masing untuk membuat penebusan berdasarkan kadar bantuan yang diterima, bermula 10 Februari hingga 10 Mei 2024.

Manakala penerima bantuan dari daerah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang boleh menebus kelengkapan persekolahan tersebut secara dalam talian di www.terasds.com. Barangan keperluan persekolahan akan dihantar terus ke rumah asnaf melalui perkhidmatan kurier yang disediakan. Ia merupakan kerjasama LZS dengan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS).

Selain itu, setiap pelajar turut menerima bantuan yuran persekolahan di antara RM100 hingga RM250 seorang, bergantung kepada tahap persekolahan mereka. Manakala bantuan tambahan berjumlah RM100.00 akan disalurkan kepada semua pelajar bagi menampung keperluan persekolahan lain.

Pemberian bantuan ini disalurkan melalui tiga kaedah bayaran iaitu kredit ke akaun bank ketua keluarga, baucer tunai (V-Cash) di mana-mana cawangan Bank Islam atau secara tunai bagi keskes tertentu.

Ini bermakna secara puratanya, setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah
tanggungan maksimum sehingga RM2,000 bagi satu keluarga.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Ketua Pegawai
Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan.

50 ASNAF SEPANG TERIMA SUMBANGAN ‘FAMIFIRST’

0

SEPANG, 25 Januari 2024 – Seramai 50 asnaf terpilih dari sekitar Sepang menerima sumbangan khidmat rundingan kesihatan atas talian (medical teleconsultation) dalam satu majlis ringkas yang diadakan bertempat di Klinik Camellia di sini hari ini.

Sumbangan tersebut merupakan usahasama Klinik Camellia yang memperkenalkan aplikasi ‘Famifirst’ bagi memberi kemudahan kepada masyarakat mendapatkan khidmat rundingan kesihatan 24 jam secara atas talian.

Ia bagi memastikan masyarakat setempat mendapat akses kepada doktor dengan mudah dan cepat secara atas talian, seterusnya mengurangkan risiko kecemasan yang dihadapi.

Untuk makluman, Klinik Camellia ini diusahakan oleh bekas penerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Dr. Siti Nor Raha Tuhaijan.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan dan Timbalan Ketua Divisyen Agihan LZS, Md. Yusmizan Yusuf.

413 PANEL FARMASI MUDAHKAN PENERIMA BANTUAN PERUBATAN LZS

0
SHAH ALAM, 29 Januari 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik sejumlah 413 panel farmasi di seluruh Selangor bagi memudahkan penerima bantuan perubatan mendapatkan bekalan keperluan perubatan yang diperlukan.
Panel farmasi ini dilantik berdasarkan kepada kapabiliti membekal keperluan perubatan kepada asnaf dan dalam masa sama memenuhi syarat serta kelayakan yang ditetapkan oleh LZS. Ini termasuk memiliki lesen operasi dan kebenaran yang diperlukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan, “Fokus utama LZS adalah untuk memudahkan asnaf. Oleh itu, LZS memastikan panel farmasi yang dilantik berkeupayaan menyediakan bekalan perubatan berkualiti dan mencukupi. Paling utama, panel ini mudah diakses oleh asnaf di kawasan mereka.”
Tambah beliau, pemantauan dan penilaian prestasi perkhidmatan panel farmasi akan dilakukan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh pelantikan bagi memastikan farmasi memberikan perkhidmatan terbaik kepada asnaf di Selangor.
LZS amat mengalu-alukan farmasi yang berkaliber dan memenuhi kriteria yang ditetapkan bagi memberi perkhidmatan kepada asnaf di Selangor.

Untuk makluman, pada tahun 2023 hampir 12,000 penerima telah disantuni dengan bantuan perubatan dari LZS

PENDIRIAN LZS BERKAITAN AMANAH DAN INTEGRITI MENGURUS WANG ZAKAT

0

SHAH ALAM, 5 Januari 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) amat menitikberatkan amanah dan integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi memastikan wang zakat diurus dengan baik.

Susulan kenyataan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, LZS sentiasa bersedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

LZS amat memandang serius terhadap sebarang salah laku yang membabitkan integriti dan tanpa kompromi akan mengambil tindakan tatatertib serta undang-undang terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terlibat. Ini penting bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawab kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas.

Sebagai entiti yang menguruskan dana zakat untuk kebajikan umum, LZS amat mengutamakan nilai amanah bukan sahaja dalam kalangan warga kerja tetapi juga pihak yang dilantik oleh LZS.

Sehubungan itu, LZS akan terus menambah baik tadbir urus dan proses dalaman bagi memastikan salah laku integriti tidak berlaku serta dapat ditangani dengan baik.

Sehingga kini, pelbagai kawalan risiko dalaman dan luaran dilaksanakan bagi memastikan integriti dan kredibiliti LZS terpelihara termasuk pelaksanaan pelbagai siri pengauditan antaranya Firma Audit Antarabangsa, Audit Negara, Audit SIRIM, Audit ABMS, Audit Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Audit Dalaman LZS dan sebagainya.

Kenyataan Oleh,
MOHD SABIRIN MOHD SARBINI
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, LEMBAGA ZAKAT SELANGOR (LZS)

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM19.6 JUTA

0

SHAH ALAM, 20 Disember 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) optimis dapat mengutip kutipan zakat perniagaan berjumlah RM167 juta seperti yang disasarkan untuk tahun ini.

Sehingga November 2023, sebanyak RM117 juta telah dikutip melalui zakat perniagaan dengan jumlah keseluruhan kutipan zakat sebanyak RM791 juta.

Terdahulu, LZS hari ini menerima zakat perniagaan daripada 35 syarikat berjumlah RM19,594,783.12 dalam satu majlis yang diadakan bertempat di Wisma PKPS di sini.

Cyberview Sdn. Bhd. mendahului senarai syarikat menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM3,194,730.00, diikuti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) menyerahkan zakatnya sebanyak RM2,680,968.00 dan CIMB Islamic Bank Berhad yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,500,000.00.

Manakala syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaannya termasuklah, KMF Network Sdn. Bhd. yang mengeluarkan zakat sebanyak RM1,200,000.00, Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) sebanyak RM1,192,528.00 dan KDEB Waste Management Sdn. Bhd. sebanyak RM1,033,561.745

Dalam majlis sama, LZS turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM51,099,281.63.

Sementara itu, sebanyak lima syarikat menerima Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) sebagai tanda penghargaan kerana bersama-sama LZS menyantuni golongan asnaf melalui komitmen menunaikan zakat.

IKTIRAF diperkenalkan pada penghujung tahun 2021 sebagai penghargaan LZS atas kesetiaan syarikat korporat yang menunaikan zakat perniagaan dan majikan yang komited melaksanakan SPG kakitangannya. Sejak diperkenalkan, lebih 200 syarikat telah menerima penghargaan IKTIRAF ini.

Turut hadir Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

44 ASNAF CEMERLANG DALAM PELAJARAN, PERNIAGAAN DIRAIKAN

0

SHAH ALAM, 3 Disember 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini meraikan kejayaan asnaf yang menerima bantuan zakat dari LZS dalam Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang, disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Paduka Prof. Emeritus Dr. Muhamad Awang di sebuah hotel di sini.

Majlis ini mengiktiraf kejayaan 44 orang asnaf zakat, di samping memberikan motivasi berterusan kepada mereka untuk terus mengekalkan kejayaan tersebut. Kejayaan ini akan memberi inspirasi dan galakkan kepada penerima bantuan zakat yang lain agar mereka sentiasa berusaha cemerlang dan berdaya saing dalam bidang masing-masing.

Daripada jumlah tersebut, 31 penerima merupakan pelajar dalam kalangan anak asnaf yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang kerana memperoleh keputusan membanggakan dalam peperiksaan utama iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Sementara itu, LZS turut memberikan pengiktirafan kepada tujuh asnaf mualaf yang berjaya melepasi had ta’lif dengan pencapaian penuh. Untuk makluman, LZS telah memperkenalkan had ta’lif sebagai satu kaedah pengukuran berdasarkan kriteria dan mekanisma tertentu dalam menentukan seseorang itu telah melepasi status mualaf kepada mukalaf.

Pengukuran ini meliputi aspek pengetahuan dan mengamalkan asas fardhu ain dalam kehidupan seharian. Ia sekali gus membuktikan keberhasilan pelaksanaan program pembangunan yang dianjurkan oleh LZS kepada mualaf di negeri Selangor.

Manakala, tiga orang bekas asnaf yang mendapat bantuan perniagaan dari LZS dipilih menerima Anugerah Usahawan Berjaya berdasarkan kepada kegigihan dalam perniagaan, selain dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga sehingga menjadi pengeluar zakat di LZS.

Mereka ialah Joko Azmi Sanin yang kini merupakan pengusaha dalam bidang pertanian, Ahmad Shaharol Hisra Rahmat yang menjalankan perniagaan makanan dan Jumri Tukachil yang turut menjalankan perniagaan makanan. Sementara Rahmah Sap menerima anugerah bagi kategori Anugerah Usahawan Mualaf Cemerlang.

Dalam majlis sama, LZS memberikan anugerah khas kategori Ikon Mualaf 2022 dan Asnaf Bestari 2022 masing-masing kepada Ridzuan Ong Yee Yung serta Yusma Yunus.

Ridzuan Ong Yee Yung dipilih atas kecemerlangannya dalam perniagaan makanan dan penglibatan aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO). Beliau juga merupakan seorang pempengaruh yang giat menyebarkan dakwah di media sosial. Sementara Yusma Yunus merupakan bekas usahawan asnaf LZS. Beliau yang mengusahakan perniagaan sejuk beku kini turut menaburkan bakti kepada LZS apabila dilantik sebagai Penolong Amil Kariah.

Kesemua penerima anugerah hari ini menerima insentif wang tunai, plak dan sijil penghargaan atas kecemerlangan mereka.

Buat julung kali LZS turut menerima Anugerah Pusat Jagaan Warga Emas Cemerlang Negeri Selangor anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Bait Al-Mawaddah LZS (Pusat Jagaan Warga Emas) menerima anugerah ini berdasarkan kepada kriteria mempunyai petugas berkemahiran, premis bersih dan selamat, penglibatan dalam kerjasama JKM dan ejensi luar serta pematuhan terhadap peraturan JKM dan kerajaan.

Turut hadir dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabriri Mohd Sarbini dan Timbalan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Ismail Kasan. Turut hadir,  Ketua Pegawai Korporat dan Projek Khas LZS, Ariffa Ariffin dan Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif.

LZS DEKATI GOLONGAN SELEBRITI DALAM PROGRAM DAKWAH

0

SHAH ALAM, 30 November 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mendekati golongan selebriti tanah air melalui program dakwah Selebriti Bersama Mufti yang diadakan di sini hari ini.

Program yang disertai lebih 30 selebriti ini bukan sahaja memberi ruang bagi perkongsian maklumat berkenaan pengurusan zakat terutama berkaitan kutipan dan agihan, malah ia juga sebagai platform galakan kepada usahawan dalam kalangan selebriti untuk menunaikan kewajipan berzakat. Seterusnya dapat berkongsi kefahaman dan ilmu yang diperoleh dengan sesama rakan selebriti lain.

Dalam majlis sama, tiga syarikat menyerahkan zakat perniagaan dan pendapatan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM985,916.73. Bizmilla Catering Sdn. Bhd. yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Nursyamila Jirin atau dikenali Mila Jirin mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM365,268.73. Ini diikuti oleh Pengasas Bawal Sdn. Bhd., Halyza Maysuri dan Mohd Rosli Awang yang menunaikan zakat pendapatan sebanyak RM407,888.00 dan Pengasas Herbaworks Healthcare Sdn. Bhd., Ikhwan Hasyidan Ilyas yang menunaikan zakat pendapatan berjumlah RM212,760.00.

Hadir sama dalam majlis ini, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr. Anhar Opir dan Ketua Divisyen Kutipan, Muhd Fikri Naim Harun.

VENDOR LZS TANDATANGAN IKRAR BEBAS RASUAH

0

SHAH ALAM, 30 November 2023 – Lebih 150 wakil syarikat vendor berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyatakan sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah dengan menzahirkan komitmen menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di sini hari ini.

IBR tersebut merupakan salah satu usaha LZS dalam meningkatkan lagi nilai integriti dalam kalangan vendor berdaftar, agar sentiasa komited melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan LZS serta menjauhi sebarang jenayah rasuah.

Lafaz ikrar itu diketuai oleh wakil vendor LZS, Mohd Pouzi Cik Nik dari Jakel Properties Sdn. Bhd. diikuti majlis menandatangani IBR yang disaksikan Pengarah SPRM Negeri Selangor, Dato’ Alias Salim dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Untuk makluman, IBR ini merupakan siri kedua yang dilaksanakan selepas majlis seumpamanya diadakan bersama warga kerja LZS pada tahun lepas.

Bagi memperkukuhkan iltizam bebas rasuah, LZS giat meningkatkan tadbir urusnya terutama dalam proses perolehan temasuk tender dengan memberi pendedahan dalam kalangan vendor berkaitan Akta SPRM 2009, di samping penekanan berkaitan polisi amalan antirasuah LZS.

Sehingga kini, terdapat 2,280 vendor yang berdaftar dan LZS meletakkan sasaran agar kesemua vendor dapat menandatangani IBR ini. Sasaran ini selari dengan keperluan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (Anti Bribery Management System) yang berjaya diperolehi LZS pada November 2022.

Turut hadir dalam majlis ini, Ketua Pegawai Korporat dan Projek Khas LZS, Ariffa Ariffin dan Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif.

 

KEMPEN KONGSI REZEKI DENGAN ZAKAT: SERUAN & GALAKAN UMAT ISLAM TUNAI ZAKAT BANTU ASNAF

0

SHAH ALAM, 27 November 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan Kempen Kongsi Rezeki dengan Zakat, bermula hari ini hingga 31 Disember sebagai galakan dan seruan kepada  umat Islam terutamanya di Selangor untuk menyegerakan kewajipan zakat sebelum berakhir tahun 2023.

Kempen membawa tema ‘Sedikit Bagi Anda, Segalanya Buat Mereka’ bertujuan untuk mengajak seluruh masyarakat yang layak menunaikan kewajipan zakat, bersama-sama LZS membantu golongan asnaf yang memerlukan.

Menerusi kempen ini, masyarakat Islam dapat berkongsi rezeki zakat dengan golongan asnaf di Selangor agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam cabaran ekonomi pada masa ini, seterusnya membangunkan diri serta keluarga. Sehingga kini, LZS menyantuni lebih 68,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan individu mualaf di Selangor.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Serentak dengan pelancaran ini, LZS mengajak masyarakat untuk menyertai kempen-kempen inisiatif galakan kepada pengeluar zakat dengan menawarkan pelbagai tawaran hadiah menarik bernilai lebih RM60,000 sempena Kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat.

Kempen inisiatif tersebut termasuklah:

  • Kempen Zakat Online On X On khusus kepada pengeluar zakat yang membuat bayaran zakat menerusi ezakatpay di fpx.zakatselangor.com.my.
  • Kempen Auto Kan Senang terbuka kepada individu, peniaga dan syarikat yang mula mendaftar pembayaran zakat secara bulanan menerusi platform Direct Debit.
  • Kempen Auto Debit khusus kepada pendeposit dan pelabur di Maybank Islamic Berhad.
  • Kempen Kongsi Rezeki Video Challenge terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk berkongsi kreativiti membuat video pendek bagi mengajak orang awam menunaikan tanggungjawab berzakat di LZS.
  • Kempen Early Bird di 18 cawangan LZS bermula pada 1 hingga 7 Disember khusus kepada 10 pengeluar zakat terawal yang mengunjungi cawangan LZS setiap hari.

Selain itu, bagi memudahkan urusan umat Islam di Selangor menunaikan kewajipan berzakat, pelbagai kemudahan pembayaran disediakan bagi memberi pilihan kepada pengeluar zakat. Ini termasuklah dengan waktu operasi 7 hari seminggu di semua cawangan LZS sepanjang Disember ini, saluran pembayaran zakat dalam talian seperti aplikasi ZakatSelangor, EZakatPay, perbankan internet, aplikasi e-dompet, portal MYEG dan pos online.

Maklumat lanjut berkenaan kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat boleh diperoleh dengan melayari jom.zakatselangor.com.my atau melalui media sosial rasmi LZS.

Dalam majlis sama, tiga syarikat korporat menyerahkan zakat perniagaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM252,971.59. PWN Exvellence Sdn. Bhd. mengeluarkan zakat berjumlah RM136,572.34, diikuti Agrobank Berhad sebanyak RM106,323.27 dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM10,075.98.

Sementara itu, LZS turut menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM17,660,556.00. Mereka yang menerima bantuan tersebut ialah Adanan Duamin yang menerima bantuan pembinaan rumah baharu berjumlah RM126,000.00, diikuti Ahmad Johar Yusuf dan Usman Yusuf masing-masing menerima bantuan baik pulih rumah bernilai RM43,000.00 dan RM30,596.00. Manakala Ameesha Marliha Musa menerima bantuan perubatan bagi menjalani pembedahan bernilai RM35,900.00.

Turut diserahkan penyerahan Dermasiswa Huffaz Fakir, Miskin dan Fisabilillah berjumlah RM15,025,000.00 dan bantuan one-off wang saku Institusi Pengajian Tinggi sebanyak RM2,400,000.00.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan, Ketua Pegawai Korporat dan Projek Khas LZS, Ariffa Ariffin dan Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif.

 

LZS TINGKATKAN USAHA GALAK MASYARAKAT TUNAI ZAKAT

0

SHAH ALAM, 27 November 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) giat meningkatkan usaha dakwah menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam yang layak untuk menunaikan kewajipan zakat bersempena kempen Zakat Online: On X On.

Kempen ini terbuka kepada semua individu, peniaga dan syarikat yang membuat pembayaran zakat secara dalam talian melalui www.fpx.zakatselangor.com.my bermula 15 November hingga 31 Disember, turut menawarkan hadiah bernilai sehingga RM49,000.

Maklumat lanjut berkaitan kempen ini, layari jom.zakatselangor.com.my.

 

Berita Terkini