Utama Blog Halaman 4

LZS AGIH RM34.25 JUTA BANTUAN KHAS KEPERLUAN HIDUP SANTUNI 68,500 PENERIMA

0

JENJAROM, 7 November 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan RM34.25 juta
menerusi Bantuan Khas Keperluan Hidup bagi menyantuni 68,500 asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor. Simbolik penyerahan bantuan diadakan dalam satu majlis bertempat di Masjid AlFalah, Kampung Jenjarom di sini hari ini.

Agihan zakat ini merupakan pemberian tambahan kepada bantuan sedia ada yang diterima asnaf bertujuan membantu perbelanjaan isi rumah berikutan kenaikan harga barang, sekali gus meringankan beban terutama dalam penyediaan barangan keperluan harian.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM12,411,500 disalurkan kepada asnaf fakir melibatkan 24,823 penerima dan RM19,619,500 lagi disalurkan kepada 39,239 asnaf miskin, manakala RM2,219,000.00 disalurkan kepada asnaf mualaf seramai 4,438 penerima.

Setiap ketua keluarga menerima bantuan one-off berjumlah RM500 yang dikreditkan terus ke akaun bank penerima secara berperingkat bermula 30 Oktober sehingga 10 November 2023. Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, mereka akan menerima bayaran menerusi baucer tunai atau serahan tunai di cawangan LZS yang terlibat.

Dalam majlis sama, tiga buah masjid dan surau daerah Kuala Langat turut menerima sumbangan baik pulih serta peralatan masjid dengan jumlah keseluruhan bernilai RM223,000.

Sementara empat individu asnaf fakir dan miskin masing-masing menerima bantuan pembinaan rumah baharu, baik pulih rumah serta bantuan perubatan dengan keseluruhan bantuan zakat berjumlah RM241,471.

Simbolik penyerahan bantuan disampaikan oleh Orang Besar Daerah Kuala Langat, Dato’
Mohamed Al haj Tengku Harun dan Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan. Turut hadir, Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md Yusmizan Yusuf.

LZS AGIH LEBIH RM1.9 JUTA BANTU SURAU MASJID, SEKOLAH DAN ASNAF SABAK BERNAM

0

SUNGAI BESAR, 2 November 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM1,975,133.64 dalam satu majlis yang diadakan di sini, melibatkan surau dan masjid, sekolah serta individu asnaf di Sabak Bernam.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM707,255.64 disalurkan kepada 17 buah masjid dan surau bagi sumbangan bantuan bina/baik pulih serta bantuan peralatan institusi agama.

Sementara itu, 19 buah sekolah membabitkan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Rendah Agama dan Sekolah KAFA Integrasi turut menerima sumbangan bantuan bina dan baik pulih berjumlah RM837,878.00.

Manakala seramai 10 individu asnaf fakir dan miskin masing-masing menerima bantuan baik pulih rumah sebanyak RM43,000.00 setiap seorang, dengan jumlah keseluruhan bantuan zakat bernilai RM430,000.00.

Kesemua bantuan disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid. Hadir sama, Orang Besar Daerah Sabak Bernam, Dr. Farid Ardas Ismail, Pegawai Daerah, Amri Ismail dan Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah, Mohammed Mekkah Hussein. Turut hadir, Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md Yusmizan Yusuf.

Dalam perkembangan lain, LZS telah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi mengenal pasti keluarga pelajar yang memerlukan namun masih belum mendapat bantuan zakat melalui saringan kelayakan sebagai asnaf melibatkan sekolah-sekolah sekitar Sabak Bernam.

Ini bagi memastikan keluarga pelajar yang layak, tidak keciciran mendapatkan bantuan zakat dari LZS. Maklumat berkenaan keluarga pelajar ini dikumpul menerusi edaran borang dalam talian yang dibuat sepanjang September dan Oktober lalu oleh pihak sekolah.

Sehingga kini, LZS telah menerima lebih 900 maklum balas daripada ibu bapa dan penjaga pelajar untuk dibanci dalam program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) seterusnya didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin LZS.

150 ORANG ASLI SERTAI HELLO SUNGAI LUI

0

HULU LANGAT, 29 Oktober 2023 – Kira-kira 150 orang penduduk di Perkampungan Orang Asli Paya Lebar menyertai program Hello Sungai Lui anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini merupakan sebahagian inisiatif LZS mendekati komuniti Orang Asli melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan.

Dalam program tersebut, penduduk telah diberikan taklimat berkaitan kepentingan menjaga kebersihan yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan dari TUDM, di samping mengikuti pemeriksaan kesihatan percuma. Turut diadakan pameran kesihatan bagi memberi pendedahan kepada penduduk.

Selain itu, LZS turut mengadakan aktiviti melibatkan kanak-kanak dan golongan wanita dengan kerjasama Adab Youth Garage (AYG) yang merupakan rakan Komuniti Zakat Selangor.

Dalam program sama, LZS menyerahkan sumbangan baik pulih surau berjumlah RM10,000 dan bahan bacaan untuk diletakkan di Perpustakaan Mini di situ.

Hadir sama dalam majlis ini, Pegawai Kanan Perubatan TUDM, Kolonel Dr. Saravanan dan Ketua Divisyen Perhubungan Stakeholder dan Komunikasi Korporat, Datin Setia Norajun Ainun Mohd Hashim.

LZS ANJUR ‘ZAKAT INTELLECTUAL DISCOURSE SERIES (ZIDS)’

0

SHAH ALAM, 23 Oktober 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui Divisyen Syariah dan Dakwah (DSD) telah menganjurkan program Zakat Intellectual Discourse Series (ZIDS) melibatkan lebih 100 orang peserta, terdiri daripada Kumpulan Pengurusan Tertinggi LZS, ketua-ketua jabatan dan dai LZS.

ZIDS membariskan para pembentang berwibawa, iaitu Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah LZS, Profesor Dr. Aznan Hasan, Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Muhamad Al-Bakri dan Jurulatih Bertauliah dari Sabar Training and Resource, Syamsul Amri A. Razak.

Program ini bermatlamat untuk meningkatkan penghayatan Tujuh Nilai Teras LZS, khususnya tiga nilai utama iaitu ‘Beriman, Berilmu dan Beramanah’. Program ini juga dapat menjadi platform perkongsian mengenai elemen teras syariah dan dakwah dalam pengurusan zakat, khususnya pada zaman moden.

Selain syarahan yang disampaikan oleh para pembentang, para peserta juga berpeluang mengajukan beberapa persoalan. Program turut diserikan dengan pelancaran buku The 360 Leader Ship kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi LZS.

ZIDS mendapat maklum balas yang sangat baik daripada para peserta. Mereka mengharapkan program ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan, agar warga LZS terus mendapat buah fikiran yang baharu khususnya dari perspektif syariah dan dakwah dalam menjana pemerkasaan zakat di negeri ini.

LZS RAIKAN 115 PELAJAR TAMAT KELAS 3M

0

SHAH ALAM, 30 September 2023 – Seramai 115 orang orang pelajar berusia antara 7 hingga 12 tahun yang menyertai Kelas Intervensi 3M (Membaca, Menulis, Mengira) anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama ADAB Youth Garage (AYG) diraikan dalam satu majlis graduasi bertempat di Dewan Muktamar Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.  

Mereka ini merupakan pelajar kumpulan pertama mengikuti progam Kelas Intervensi 3M yang bermula pada Mac hingga Ogos lalu. Program tersebut merupakan kelas pemulihan bagi anak-anak miskin bandar terutamanya asnaf yang menghadapi masalah 3M di lima lokasi bersasar termasuk di Pusat Inovasi dan Pembelajaran Al-Biruni Zakat Selangor serta dibiayai sepenuhnya menggunakan peruntukan wang pengurusan amil LZS. 

Ia merupakan inisiatif LZS membantu anak-anak ini dapat menguasai 3M agar mereka tidak tercicir dalam arus pendidikan formal dan yakin untuk terus bersekolah.  

Hadir sama dalam majlis ini, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AYG, Muhammad Afiq Ramlee. 

PROGRAM MUADZ TINGKATKAN KEFAHAMAN ZAKAT ASATIZAH SELANGOR

0

SHAH ALAM, 10 Oktober 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) program Multaqa Asatizah dan Duat Zakat (MUADZ) bertempat di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Program ini dihadiri lebih 100 orang peserta yang merupakan pemegang tauliah mengajar agama negeri Selangor di sekitar daerah Petaling.

MUADZ ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS, Ustazah Sabariah Salleh dan Ketua Divisyen Syariah dan Dakwah LZS, Ustaz Salehuddin Abu Samah.

Ustaz Salehuddin juga merupakan salah seorang pembentang pada hari tersebut bersama tiga orang pembentang lain iaitu Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS, Ustaz Firdaus bin Subhi, Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan LZS, Ustaz Hamizul Abdul Hamid dan Ketua Jabatan Penyelidikan dan Sekreteriat Syariah LZS, Ustaz Mohammad Farid Mohd Zainal.

Matlamat utama program ini untuk memberikan kefahaman zakat yang sebenar kepada para pemegang tauliah dan meluruskan salah tanggap para agamawan terhadap pengurusan zakat di Selangor. Selain itu, ia juga bertujuan untuk membina jaringan kerjasama dalam dakwah zakat yang baik dengan kalangan pemegang tauliah di Selangor.

Program ini juga mendapat maklum balas yang sangat baik dari kalangan peserta yang hadir. Mereka mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan menjadikannya sebagai program tahunan memandangkan masih ramai pemegang tauliah di negeri Selangor yang belum berkesempatan menyertai program ini.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN KPS

0

SHAH ALAM, 3 Oktober 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan dari Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) berjumlah RM4,717,000.00 bagi tahun berakhir 2022. 

Serahan zakat perniagaan tersebut disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif KPS, Ahmad Fariz Hassan kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat LZS.  

Turut hadir dalam majlis ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kewangan dan Perkhidmatan Korporat), Suzila Khairuddin dan Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan.  

LZS LANTIK 1,878 KETUA DAN PENOLONG AMIL KARIAH SELURUH SELANGOR

0

SHAH ALAM, 5 September 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik seramai 1,878 orang Ketua dan Penolong Amil Kariah (PAK) di seluruh Selangor bagi sesi 2023-2025 yang berperanan sebagai pemudahcara antara LZS dengan masyarakat khususnya asnaf LZS.

Simbolik pelantikan ini disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam Bengkel Induksi Gerak Kerja Penolong Amil Kariah yang diadakan di sini hari ini.

Bengkel Induksi yang berlangsung selama dua hari ini dihadiri 108 PAK daerah Petaling melibatkan 76 buah masjid kariah.

Dalam bengkel tersebut, mereka diberi pendedahan dan pemahaman berkaitan peranan PAK membantu LZS terutama bagi menjalankan aktiviti siasatan, bancian serta semakan permohonan bagi asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimin. Mereka turut diberi penerangan dan kaedah pengiraan terkini haddul kifayah yang diguna pakai bermula Julai tahun ini.

 

PAK yang hadir turut diberi taklimat dan latihan berkaitan gerak kerja menggunakan Sistem Portal PAK. Melalui bengkel yang dilaksanakan, LZS dapat membangun sistem pengurusan PAK yang lebih efisien dan gerak kerja lebih sistematik bagi menyantuni asnaf di seluruh Selangor.

Untuk makluman, sebanyak sepuluh siri bengkel induksi ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 10 Jun dan dijangka berakhir pada 24 September 2023.

Pada majlis tersebut, LZS turut menyerahkan Takaful Khairat Kematian kepada enam orang waris PAK daerah Petaling yang masing-masing menerima sumbangan di antara RM20,000 hingga RM22,000.

300 SERTAI CEO RUN 2023 ANJURAN LZS

0

SHAH ALAM, 20 Ogos 2023 – Seramai 300 peserta CEO Run berjaya menyempurnakan larian anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di sini hari ini.

Acara yang bermula 7.30 pagi itu melibatkan 60 buah syarikat pengeluar zakat terdiri daripada Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif, barisan pengurusan tertinggi dan warga kerja yang berlari sejauh 4km.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini, CEO Run merupakan salah satu aktiviti program kesetiaan pelanggan membabitkan Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif dan warga kerjanya di bawah Program Muzakki Circle yang menghimpunkan para muzakki untuk bersama-sama LZS terutamanya dalam menyantuni asnaf di negeri Selangor.

“Selain meningkatkan kesedaran berzakat dan mewujudkan jaringan hubungan baik antara
muzakki, penganjuran kali kedua CEO Run ini memberi ruang kepada para muzakki menyantuni asnaf dengan menyalurkan sumbangan kesemua yuran penyertaan kepada Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).”

Sementara itu dalam program sama, LZS telah menerima zakat perniagaan dari tiga syarikat
berjumlah RM2,899,939.00. Kumpulan Mohamed Nazir bin Meraslam menyerahkan zakatnya berjumlah RM2,198,000.00, diikuti MIDF Amanah Investment Bank Berhad sebanyak RM450,000.00 dan Kumpulan Felda Global Ventures (FGV) yang mengeluarkan zakat perniagaan sebanyak RM251,939.00.

Manakala dua individu dan institusi turut menerima agihan zakat berjumlah RM191,000.00.
Mereka ialah Adnan Duamin yang menerima bantuan pembinaan rumah baharu berjumlah
RM126,000.00 dan Muhamad Zamri Maimun menerima bantuan sewa rumah serta bantuan
kewangan bulanan berjumlah RM15,000.00. Kedua-dua mereka ini merupakan asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan LZS. Selain itu, LZS menyalurkan bantuan baik pulih sekolah sebanyak RM50,000.00 kepada KAFA Integrasi At-Taufiqiah.

Hadir sama dalam majlis ini, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdullah.

341 PELAJAR SEKOLAH RENDAH TERIMA SUMBANGAN KOMUNITI

0

SHAH ALAM, 28 Julai 2023 – Seramai 341 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Batu Unjur, Klang menerima sumbangan makanan melalui program Komuniti Zakat Selangor dengan kerjasama rakan strategik QSR Brands (H) Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Program seumpama ini diadakan sebagai platform kepada masyarakat mahupun agensi yang ingin bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni mereka yang kurang berkemampuan dalam komuniti termasuklah golongan asnaf fakir dan miskin.

Di samping itu, PKNS turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada sekolah bagi pembelian kerusi dan meja kantin untuk kegunaan serta keselesaan pelajar di sini. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Korporat PKNS, Idris Ishak.

Turut hadir menyertai program tersebut ialah Ketua Pegawai Korporat PKNS, Idris Ishak dan Ketua Divisyen Perhubungan Stakeholder dan Komunikasi Korporat LZS, Datin Setia Norajun Ainun Dato’ Mohd Hashim.

Berita Terkini