Utama Blog Halaman 7

25 KELUARGA DIKESAN SEBAGAI ASNAF BARU DAERAH HULU SELANGOR 

0

HULU SELANGOR, 1 September 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesan seramai 25 keluarga sebagai asnaf baru bagi daerah Hulu Selangor dalam operasi Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) yang diadakan melibatkan dua buah pangsapuri di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung baru-baru ini.  

Secara keseluruhan seramai 42 ketua keluarga telah disiasat dan dibanci menerusi operasi ini bagi menyemak keperluan berdasarkan haddul kifayah dengan kerjasama penolong amil kariah dan ketua blok.  

Senarai keluarga ini terlebih dahulu telah kenal pasti berdasarkan kepada beberapa kriteria seperti jumlah tanggungan ramai dan berpendapatan rendah.  

Keluarga yang layak akan didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin seterusnya disantuni dengan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut.  

Operasi SJK ini diadakan bagi mengesan golongan yang layak menerima bantuan zakat namun masih belum disantuni oleh LZS. Sehingga kini, sebanyak tiga kali operasi yang sama telah diadakan di daerah Hulu Selangor dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.    

Untuk makluman, pada tahun 2021 seramai 5,084 keluarga asnaf fakir dan miskin daerah Hulu Selangor telah disantuni oleh LZS.  

 

MAHRAJAN AMAL ISLAMI: PLATFORM LAHIR PENDAKWAH MUALAF BERKALIBER

0

SHAH ALAM, 17 Ogos 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menghantar sembilan peserta mualaf mewakili Negeri Selangor bagi menyertai Mahrajan Amal Islami Mualaf Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia Wilayah Timur (ILTIM) Besut Terengganu bermula 18 Ogos hingga 19 Ogos 2022.

Pelepasan para peserta disempurnakan oleh Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf, Dr. Adibah Abdul Wahab dalam satu majlis ringkas di sini.

Pada tahun ini, peserta LZS akan menyertai acara tilawah, hafazan, azan dan juga syarahan di mana mereka akan diuji kefahaman pengetahuan Islam saudara baru dari aspek al-Quran, hadis, akidah, akhlak dan fekah. Mereka ini terpilih setelah melalui program Kemahiran Amal Islami Muallaf (KAMIL) di peringkat daerah yang diadakan melibatkan peserta dalam kalangan pelajar kelas Fardhu Ain muallaf.

Untuk makluman program Mahrajan ini merupakan acara tahunan menghimpunkan para peserta terdiri daripada pelbagai bangsa yang telah memeluk Islam di seluruh Malaysia bagi memperkasakan mereka melalui tarbiyah Islamiyyah.

Program yang telah memasuki tahun keempat ini adalah cetusan idea daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi melatih saudara kita menjadi da’i yang profesional, dinamik dan berkaliber dalam menempuhi ranjau sebagai bakal pendakwah kelak.

KARNIVAL KERJAYA JOM KERJA LZS TAWAR LEBIH 6,000 PELUANG PEKERJAAN

0

SHAH ALAM, 6 Ogos 2022 – Karnival Kerjaya Jom Kerja Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 2022 yang berlangsung hari ini, menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan membabitkan 30 majikan daripada pelbagai sektor pekerjaan.

Karnival sehari ini menawarkan peluang kerjaya khususnya kepada pencari kerja dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf yang produktif serta berdaftar dengan LZS. Ia secara tidak langsung membuka peluang kerjaya kepada asnaf meningkatkan pendapatan melalui platform tawaran jawatan kosong dan padanan pekerjaan membabitkan majikan dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, pembuatan, perdagangan borong dan peruncitan, automotif serta makanan dan minuman.

Di samping itu, turut diadakan sesi perkongsian ‘Career Talk: Bangkit Asnaf’ bagi memberi pemahaman dan meningkatkan pengetahuan pencari kerja asnaf mengenai kebolehpasaran mereka di dalam dunia pekerjaan, seterusnya mengubah diri serta keluar dari kategori asnaf.

Untuk makluman, inisiatif kerjaya LZS merupakan salah satu strategi pembangunan asnaf yang terkandung dalam Blueprint Pembangunan Asnaf bagi membantu golongan penerima zakat keluar dari garis kemiskinan dan menaik taraf kehidupan sehingga mampu menjadi pengeluar zakat.

Bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut, LZS menjalinkan kerjasama dengan PERKESO melalui Memorandum Kolaborasi (MoC) bertujuan membantu golongan sasar mendapatkan bantuan perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh menerusi Program Sinergi Sosial.

Ini termasuklah mewujudkan jalinan kerjasama strategi dengan agensi berpotesi bagi membantu pemadanan dan penempatan pekerjaan golongan asnaf.

Pada masa sama, LZS pula berperanan menawarkan beberapa perkhidmatan kepada PERKESO seperti perkongsian data asnaf yang memerlukan bantuan keselamatan sosial, penyaluran prospek untuk caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada golongan asnaf yang bekerja sendiri dan sebagainya.

Hadir sama, Pengarah PERKESO Negeri, Mustafa Draman dan Timbalan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LZS, Mohd Nurhisyam Shamsir.

15 MAJIKAN TERIMA PENGHARGAAN IKTIRAF

0

SHAH ALAM, 27 Julai 2022 – Sebanyak 15 majikan menerima Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) sebagai tanda penghargaan kerana bersama-sama Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni golongan asnaf melalui komitmen menunaikan zakat pendapatan melalui Skim Potongan Gaji (SPG) dalam Majlis Mesra Majikan 2022 yang diadakan di sini.

Majikan tersebut merupakan syarikat yang melaksanakan potongan zakat bulanan bagi kakitangannya dengan jumlah zakat di antara RM50,000 ke atas, sekali gus memastikan kelangsungan pengagihan zakat di Selangor.

IKTIRAF diperkenalkan pada penghujung tahun 2021 sebagai penghargaan LZS atas kesetiaan syarikat korporat yang menunaikan zakat perniagaan dan majikan yang komited melaksanakan SPG kakitangannya. Sejak diperkenalkan, lebih 200 syarikat telah menerima penghargaan IKTIRAF ini.

Dalam pada itu, sebanyak 250 majikan yang mewakili pelbagai syarikat swasta, badan berkanun dan sektor kerajaan diraikan dalam Majlis Mesra Majikan 2022.

Majlis yang diadakan bersempena Bulan Taksir Zakat ini bertujuan meraikan para majikan yang menyertai SPG bagi zakat pendapatan kakitangan di Selangor. Ia juga sebagai platform komunikasi antara LZS dengan pihak majikan khususnya dalam penambahbaikan pengurusan potongan zakat bulanan, di samping menyebarkan maklumat terkini berkaitan pengurusan zakat terutamanya agihan zakat di Selangor.

Untuk makluman, SPG adalah suatu kaedah paling berkesan dalam menggalakkan pembayaran zakat di kalangan umat Islam di Selangor. Pada tahun 2021, seramai 192,524 telah menunaikan zakat pendapatan mereka menerusi kaedah SPG. Ia menyamai jumlah kutipan zakat sebanyak RM335.2 juta.

 

1,228 ASNAF KINI BERGELAR USAHAWAN

0

SHAH ALAM, 26 Julai 2022 – Seramai 1,228 asnaf fakir dan miskin di Selangor kini menjadi usahawan berjaya dan memiliki perniagaan sendiri seterusnya menjadi pengeluar zakat.

Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Dato’Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, bermula tahun 2013 hingga 2022 seramai 1,228 orang usahawan asnaf telah diberi latihan peniagaan dalam pelbagai bidang di bawah bimbingan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Inilah antara bukti manfaat zakat yang telah dikeluarkan, bukan hanya menjadi umpan, malah joran untuk dijadikan pancing agar asnaf boleh hidup berdikari dan berjaya dengan sendirinya,” katanya dalam ucapan di majlis perasmian Program Transformasi Usahawan Asnaf Selangor (TUAS) di Wisma PKPS, di sini hari ini.

Dalam program tersebut, 170 orang usahawan asnaf dan juga bekas asnaf telah dihimpunkan bagi memberi ruang membina jaringan perniagaan yang lebih luas di samping memberi pendedahan berkenaan peluang pembiayaan kewangan serta pengembangan perniagaan dari agensi-agensi lain.

Turut diraikan dalam majlis itu, 10 orang usahawan asnaf yang menerima pengiktirafan Anugerah Ikon Usahawan Asnaf 2022 atas kejayaan mereka dalam perniagaan.

Hadir sama, Pengerusi TERAS, Dato Ibrahim Md Yusof, Lembaga Pengarah TERAS, Dato’ Bakhtiar Hussin dan Pengurus Besar TERAS, Mohd Hasnul Redza Abdul Rahim.

LZS AGIHKAN DAGING KORBAN KEPADA 300 ASNAF FAKIR DAN MISKIN TIGA DAERAH

0

KLANG, 13 Julai 2022 – Sebanyak 13 ekor lembu dan empat ekor kambing dikorbankan dalam Program Korban Perdana 2022 sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kompleks Anak-Anak Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang dikenali Bait Al-Hasanah di sini hari ini.

Ia merupakan sumbangan dari syarikat pengeluar zakat Medkad Sdn Bhd, Persatuan Pengurusan Petronas Malaysia dan individu perseorangan yang akan diagihkan kepada 300 orang asnaf fakir dan miskin di sekitar daerah Klang, Petaling dan Kuala Langat. Setiap keluarga asnaf bakal menerima sebanyak dua kilogram bungkusan daging korban.

Selain sebagai tuntutan ibadah dan meraikan golongan kurang berkemampuan, program ini diadakan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara LZS dengan pengeluar zakat melalui aktiviti kemasyarakatan terutamanya melibatkan penerima zakat di Selangor.

Ia turut mendapat kerjasama daripada kakitangan Medkad, Pengurusan Petronas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bergotong-royong menyembelih, melapah dan memasak daging korban tersebut.

Dalam program sama, LZS berserta penyumbang turut menziarahi tiga keluarga asnaf fakir dan miskin di kawasan berhampiran bagi berkongsi pengalaman realiti kehidupan asnaf, di samping menyerahkan sumbangan daging korban dan barangan kering.
Untuk makluman, Program Korban Perdana ini dilaksanakan bermula tahun 2017 dan ini merupakan program kali kedua dijalankan setelah hampir dua tahun kita berada pada fasa pandemik Covid-19.

Hadir sama dalam program ini, Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Haji Ambrin bin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini.

LZS LANCARKAN BULAN TAKSIR ZAKAT

0

SHAH ALAM, 23 Jun 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan kempen Bulan Taksir Zakat (BTZ) bagi menggalakkan masyarakat mentaksir sendiri jumlah zakat perlu ditunaikan. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dalam satu majlis di sini.

Dengan tagline ‘Sempurnakan Zakatmu’, kempen BTZ yang bermula pada 15 Jun hingga 31 Julai ini secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat supaya tahu jumlah sebenar zakat yang ditunaikan.

Selain itu, ia juga sebagai inisiatif untuk membudayakan taksiran zakat pada setiap bulan Jun sebagai amalan tahunan dalam kalangan masyarakat agar tanggungjawab zakat tidak dilupakan, seiring dengan jumlah harta yang dimiliki supaya ibadah itu dilaksanakan dengan lebih sempurna.

Dalam pada itu, menerusi kempen BTZ berkenaan pengeluar zakat yang memuat turun aplikasi Zakat Selangor dan membuat taksiran zakat seterusnya menunaikan zakat melalui pelbagai saluran pembayaran disediakan, berpeluang menyertai peraduan Jom Taksir Zakat dan memenangi hadiah menarik.

Maklumat terkini berkenaan kempen BTZ akan sentiasa diwar-warkan di saluran rasmi LZS iaitu portal jom.zakatselangor.com.my atau Facebook dan Instagram ZakatSelangor.

Dalam majlis sama, LZS turut memperkenalkan kemudahan terkini pembayaran zakat secara ansuran melalui perkhidmatan debit terus (direct debit) dari akaun bank pembayar zakat. Perkhidmatan dalam talian ini merupakan kerjasama antara LZS dengan Bank Islam Malaysia (BIMB) dan InfaqPay sebagai rakan sinergi.

Melalui kemudahan ini, pembayar zakat dapat menunaikan zakat secara potongan terus dari akaun bank masing-masing dengan lebih mudah dengan hanya melayari zakatselangor.com.my/directdebit. Hanya perlu mengisi maklumat yang diperlukan, seterusnya pembayar zakat boleh membuat bayaran zakat secara ansuran bulanan dan ia secara langsung tidak membebankan pembayar zakat.

Turut hadir dalam majlis ini Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

PERMOHONAN TAJAAN PENDIDIKAN DERMASISWA LZS KE TIMUR TENGAH DIBUKA   

0

SHAH ALAM, 21 Jun 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (LZS) mempelawa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia yang berkelayakan untuk memohon tajaan pendidikan Dermasiswa Lembaga Zakat Selangor bagi pengajian ke Timur Tengah.  

Tawaran itu terbuka kepada anak-anak Selangor yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Islam, Bahasa Arab atau Ulum Islamiah di Mesir; Pengajian Islam, Bahasa Arab atau Pengajian al-Quran dan Qiraat di Jordan; atau Pengajian Islam di Morocco bagi sesi kemasukan 2022. 

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di https://epengajiantinggi.jais.gov.my bermula 13 Jun 2022. Tarikh tutup bagi permohonan pengajian ke Morocco adalah pada 23 Jun 2022, manakala bagi permohonan dermasiswa bagi pengajian ke Mesir dan Jordan adalah pada 30 Jun 2022.  

Maklumat lanjut, hubungi Unit Pengajian Tinggi, JAIS di talian 03 5514 3400 atau menerusi aplikasi whatsapp di 010 343 7054. 

LZS HARGAI JASA GURU PEMBIMBING ASNAF MUALAF

0

SHAH ALAM, 18 Jun 2022 – Seramai 182 orang Guru Pembimbing Asnaf Mualaf (GPAM) diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Guru Mualaf 2020 yang disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr. Ahmad Shahir Makhtar di sini hari ini.

Untuk makluman GPAM merupakan individu yang dilantik khusus oleh LZS bagi mendidik dan membimbing asnaf Mualaf berdasarkan modul Buku Teks Mualaf yang telah dibangunkan.

Majlis julung kali diadakan itu, turut memberi penghargaan kepada 18 orang GPAM yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan, selain memberikan sumbangan berbentuk saham wakaf kepada tiga orang GPAM yang meninggal dunia semasa tempoh perkhidmatan.

Sesi perkongsian slot motivasi turut disampaikan oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Salasiah Hanin Hamjah bertajuk ‘Psikologi Pendidikan Mualaf Dalam Mendepani Cabaran Kontemporari’.

Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Muhamad Asmadi Mustakim dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

TERAS SERAH ZAKAT PERNIAGAAN RM50,000

0

SHAH ALAM, 14 Jun 2022 –  Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan dari Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) berjumlah RM50,000.00 pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Strategik TERAS yang diadakan di sini.

Bayaran zakat perniagaan itu diserahkan oleh Pengerusi TERAS, Dato’ Ibrahim Md. Yusof kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Ketika berucap Dato’ Ibrahim berkata, “TERAS akan terus mengorak langkah untuk membantu golongan asnaf terutama ketika pandemik COVID-19. Keuntungan yang diperoleh disalurkan semula kepada agensi berkaitan untuk manfaat golongan memerlukan.”

Dalam majlis sama, TERAS turut menyerahkan bayaran dividen kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang diwakili oleh Mufti Selangor, Dato’ Dr. Anhar Opir berjumlah RM192,186.00.

Untuk makluman, TERAS merupakan anak syarikat MAIS yang menguruskan pembangunan usahawan dan latihan keusahawanan kepada asnaf fakir dan miskin di Selangor di bawah seliaan LZS.

Berita Terkini