Utama Blog Halaman 9

LZS PERUNTUK RM7.5 JUTA BANTU MASJID, SURAU DAN SEKOLAH AGAMA TERJEJAS BANJIR

0
KUALA LANGAT, 28 Januari 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta bagi membantu 150 masjid, surau dan sekolah agama di Selangor yang terjejas teruk akibat bencana banjir Disember lalu.
Melalui peruntukan pasca banjir itu, setiap masjid, surau dan sekolah agama menerima sumbangan zakat sehingga maksimum RM50,000 bagi menggantikan karpet, peralatan masjid, perabot sekolah dan buku teks yang musnah ekoran banjir.
Simbolik penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop kepada Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Salwana Ahmad Dahlan dalam satu majlis yang diadakan di sini hari ini.
Sehingga kini, sebanyak 76 buah masjid dan surau serta 34 sekolah agama yang mengalami kerosakan dan memerlukan penyelenggaraan telah dikenal pasti.
Dalam majlis sama, LZS menyerahkan sumbangan perabot berupa kerusi dan meja murid kepada KAFA Integrasi Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang serta sumbangan pembelian karpet yang disalurkan kepada Masjid Ar-Rahmah, Bukit Changgang.

Untuk makluman sejumlah RM37.17 juta dana zakat diperuntukkan membabitkan bantuan kecemasan dan bantuan pasca banjir.

LZS CAWANGAN SUBANG JAYA KINI BEROPERASI DI MASJID DARUL EHSAN

0

SUBANG JAYA, 11 Februari 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) cawangan Subang Jaya berpindah ke lokasi baharu bertempat di Masjid Darul Ehsan bermula 11 Februari 2022, berikutan penutupan cawangan Subang Jaya di  Wisma Dicor yang pada 4 Februari lalu. 

LZS cawangan Subang Jaya ini akan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pada jam 9.30 pagi hingga 3.30 petang.  

Pembukaan cawangan ini bertepatan dengan hasrat LZS bagi memudahkan masyarakat terutama di kawasan sekitar berurusan dengan LZS, selain membangunkan fungsi kutipan dan agihan zakat dengan kerjasama masjid-masjid terpilih seiring dengan konsep melokalisasikan zakat. 

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah urusan perkhidmatan perundingan termasuk taksiran dan pembayaran zakat harta, zakat fitrah, fidyah, wakaf, sedekah, wang tidak patut syariah serta khidmat rundingan berkaitan agihan zakat. Selain daripada itu LZS cawangan Subang Jaya turut menyediakan saluran pembayaran zakat melalui kad kredit Islamik dan debit. 

 Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.

LZS SEDIA BANTUAN PASCA BANJIR BANTU ASNAF FAKIR DAN MISKIN

0

SHAH ALAM, 6 Januari 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan bantuan pasca banjir bagi meringankan beban keluarga asnaf fakir dan miskin yang terkesan dengan banjir besar yang berlaku di Selangor pada tahun lepas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, “Bantuan baik pulih dan bina rumah ini adalah skim bantuan sedia ada kepada keluarga asnaf fakir dan miskin di Selangor sepertimana dalam Garis Panduan Syarat Kelayakan Agihan Zakat.”

“Pada peringkat sekarang, pegawai teknikal LZS akan menilai kerosakan rumah asnaf sebelum bantuan dapat disalurkan dan proses baik pulih dapat dilaksanakan, bergantung kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.”

Dalam perkembangan sama, LZS menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Tabung Dana Wakaf al-Quran Selangor (Pasca Banjir) yang dilancarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam, bertujuan untuk menggantikan al-Quran yang rosak akibat banjir di masjid dan surau.

“Di samping itu, LZS juga sedang meneliti permohonan sumbangan dari pihak JAIS untuk proses pelupusan naskah al-Quran yang rosak,” katanya.

Selain bantuan pasca banjir, LZS telah meluluskan bantuan RM600 kepada 22,500 mangsa banjir di Selangor baru-baru ini.

LZS BUKA PERMOHONAN BANTUAN BANJIR LZSPEDULI FASA KEDUA

0

SHAH ALAM, 31 Disember 2021 – Prihatin dengan kesulitan mangsa banjir dalam kalangan penduduk Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka permohonan LZSPeduli bagi fasa kedua bermula pada 1 Januari sehingga 31 Januari 2022, jam 2 petang bagi memberi peluang kepada mangsa banjir yang tidak berkesempatan membuat permohonan sebelum ini.

Permohonan bantuan banjir tersebut boleh dilakukan secara dalam talian di www.zakatselangor.com.my/lzspeduli.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, “Bagi fasa pertama yang ditutup pada 30 Disember 2021, kami telah menerima sebanyak 35,000 permohonan, melebihi jangkaan. Pada masa ini, kami sedang giat memproses baki permohonan fasa pertama yang diterima. LZS juga telah menyegerakan pembayaran bantuan LZSPeduli yang mula disalurkan pada 28 Disember secara berperingkat.”

Tambahnya, LZS memahami kesukaran yang dihadapi golongan tidak mahir dengan teknologi memohon bantuan secara dalam talian terutamanya warga emas, oleh itu pemohonan secara manual boleh dibuat dengan mengunjungi cawangan LZS yang berhampiran.

“Bagaimanapun, LZS amat menggalakkan saudara terdekat atau jiran membantu golongan ini untuk membuat permohonan melalui portal LZSPeduli kerana ia lebih cepat dan mudah,” katanya.

Untuk makluman, LZS membuka permohonan fasa pertama bantuan banjir LZSPeduli secara dalam talian pada 23 Disember dan berakhir pada 30 Disember 2021.

LZS PERKENAL ‘IKTIRAF’ HARGAI MUZAKKI SELANGOR

0

SHAH ALAM, 28 Disember 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini memperkenalkan Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) sebagai tanda penghargaan kepada para muzakki (pengeluar zakat) di Selangor yang selama ini bersama-sama LZS menyantuni golongan asnaf melalui komitmen menunaikan zakat perniagaan dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Buat permulaan, sebanyak 34 syarikat korporat menerima penghargaan IKTIRAF Berlian kerana menjadi muzakki yang menunaikan zakat perniagaan melebihi RM1,000,000 di LZS dan sekali gus memastikan kelangsungan pengagihan zakat di Selangor.

Penghargaan IKTIRAF yang julung kali diperkenalkan ini terbahagi kepada empat kategori iaitu:

i. IKTIRAF Berlian – Penghargaan kepada muzakki yang menunaikan zakat melebihi RM1,000,000
ii. IKTIRAF Emas – Penghargaan kepada muzakki yang menunaikan zakat di antara RM500,000 hingga RM999,999
iii. IKTIRAF Perak – Penghargaan kepada muzakki yang menunaikan zakat antara di antara RM100,000 hingga RM499,999
iv. IKTIRAF Gangsa – Penghargaan kepada muzakki yang menunaikan zakat antara RM50,000 hingga RM99,999

Sementara itu dalam majlis yang sama, tiga syarikat yang merupakan pengeluar zakat di LZS telah menyatakan persetujuan menyumbangkan semula sebahagian wang daripada wakalah agihan zakat kepada program ‘Kasihku Zakat Selangor’ melibatkan jumlah agihan semula sebanyak RM314,000.

Syarikat tersebut ialah Central Sugar Refinery Sdn. Bhd. yang menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM279,000 bagi membina tiga buah rumah untuk asnaf fakir dan miskin di Selangor.

Manakala CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd. menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ sebanyak RM24,000 bagi program ‘Back To School’ kepada 80 orang pelajar asnaf di Selangor dan CELCOM Axiata Berhad menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM11,000 bagi pembelian tablet berserta data internet dan pembiayaan tuisyen kepada 15 orang pelajar asnaf yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

LZS telah memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang meningkat.

Untuk rekod, pada tahun ini sebanyak 25 penyertaan dari syarikat dan individu yang menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ dengan nilai agihan semula melebihi RM3,000,000.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Dr. Anhar Opir, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang. Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM6.8 JUTA DARI 46 SYARIKAT

0

SHAH ALAM, 27 Disember 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 46 buah syarikat berjumlah RM6,815,747.73 dalam satu majlis yang diadakan bertempat di Wisma PKPS di sini.

Radicare (M) Sdn. Bhd. mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, menyerahkan zakatnya berjumlah RM984,122.00, diikuti SIRIM Qas International Sdn. Bhd. sebanyak RM943,149.46 dan KDEB Waste Management Sdn. Bhd. yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM531,498.05.

Manakala syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaannya termasuklah, Bank Muamalat Malaysia Berhad yang mengeluarkan zakat sebanyak RM496,078.31, Selia Selenggara Selatan Sdn. Bhd. sebanyak RM440,811.00, Bank Pembangunan Malaysia Berhad sebanyak RM439,963.00 dan Etiqa Family Takaful Berhad sebanyak RM405,000.00.

Dalam majlis sama, LZS turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat kepada individu dan persatuan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM976,303.86.

Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) menerima Bantuan Hutang Maahad Tahfiz berjumlah RM853,303.86, diikuti dengan Mohammad Nazri Sudinan yang merupakan asnaf miskin berdaftar dengan LZS menerima Bantuan Pembinaan Rumah berjumlah RM93,000.00. Manakala, Idris Abdul Hamid@Alias Yatim menerima Bantuan Perubatan sebanyak RM30,000.00.

Manakala, dua lagi individu menerima Dermasiswa Pengajian Tinggi LZS iaitu Aziemah Abdul Aziz sebanyak RM15,120.00 bagimelanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sementara Nazlifa Fisyabillah Noorazman yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Putra Malaysia menerima bantuan zakat berjumlah RM12,394.60.

Turut hadir dalam majlis ini, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Dr. Anhar Opir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

LZS PERUNTUKAN BANTUAN ZAKAT BANTU MANGSA BANJIR DI SELANGOR

0

SHAH ALAM, 20 Disember 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas dengan bencana banjir di Selangor.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop “Pada masa ini, LZS sedang mengumpul maklumat ketua keluarga dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah bagi menyelaraskan penyaluran bantuan seterusnya meringankan beban mangsa terlibat.”

Tambahnya, sebanyak RM250,000 lagi diperuntukkan bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah-daerah yang menempatkan mangsa banjir. Sumbangan tersebut menggunakan dana pengurusan operasi amil sebagai tanda keprihatinan amil zakat terhadap mangsa banjir.

“LZS menyediakan 5,000 pek makanan bermasak sehari yang akan diagihkan kepada semua PPS di bawah koordinasi pejabat daerah dan bantuan tersebut akan diteruskan untuk tempoh lima hari. Semalam, penghantaran 5,000 pek pertama telah dilakukan dan dihantar ke Pejabat Daerah Klang yang kemudiannya diagihkan ke PPS terlibat.”

“Selain itu bagi memudahkan dan mempercepatkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir terjejas, sebanyak RM90,000 diperuntukkan untuk Tabung Kecemasan Banjir LZS. Bantuan ini akan ditambah berdasarkan keperluan semasa.”

Dalam perkembangan sama Saipolyazan memaklumkan, LZS akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan pasca banjir bagi membantu mangsa yang terlibat dengan banjir terutama dalam kalangan asnaf fakir dan miskin serta institusi.

“Bagi asnaf fakir dan miskin yang mengalami kerosakan rumah boleh menyalurkan maklumat kepada penolong amil kariah agar bantuan baik pulih dapat disalurkan mengikut keperluan bergantung kepada syarat dan kelayakan.”

“LZS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut akan menyalurkan bantuan baik pulih seperti karpet, peralatan sistem audio dan sebagainya kepada masjid dan surau yang mengalami kerosakan sewaktu banjir.”

Tambahnya, maklumat terkini berkaitan bantuan banjir akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui media sosial rasmi LZS.

ZAKAT SELANGOR PEDULI: LZS SALURKAN RM3.35 JUTA BANTU PROGRAM PEMUTIHAN MAAHAD TAHFIZ SELANGOR

0

SHAH ALAM, 20 Disember 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan sumbangan bagi membantu program Pemutihan Maahad Tahfiz melibatkan peruntukan agihan zakat di bawah insiatif Zakat Selangor Peduli (ZSP) sebanyak RM3,350,000.

Simbolik penyerahan bantuan ZSP bagi Program Pemutihan Maahad Tahfiz Selangor disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohd Khambali@Hambali kepada Pengarah JAIS, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Sumbangan ZSP tersebut disalurkan bagi membantu 350 buah maahad tahfiz bernaung di bawah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang memerlukan bantuan kewangan untuk menampung kos penyediaan dokumen Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan serta yuran-yuran berkaitan.

Melalui sumbangan ZSP ini, ia dapat meringankan beban pengusaha maahad tahfiz terlibat agar dapat beroperasi sebagaimana yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor.

Untuk makluman 2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta di bawah ZSP bagi menyalurkan agihan zakat secara bersasar bertujuan menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan termasuk institusi, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan akibat penularan pandemik COVID-19.

Sebanyak 19 inisiatif bantuan ZSP disediakan yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

LZS TERIMA ANUGERAH ‘BEST COMPANIES TO WORK FOR IN ASIA 2021’

0

PETALING JAYA, 17 Disember 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dinobatkan antara 43 syarikat yang menerima anugerah dari HR Asia – Best Companies to Work for in Asia 2021 (edisi Malaysia) dalam satu majlis berprestij yang diadakan di sini.

LZS terpilih dari 270 penyertaan pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop yang menerima anugerah tersebut mewakili LZS berkata, “Anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada institusi zakat di Malaysia amnya dan LZS khususnya. Ia secara tidak langsung membuktikan keupayaan syarikat pengurusan zakat diuruskan secara profesional dan bertaraf antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan pengeluar zakat untuk terus menunaikan zakat di Selangor.”

Tambahnya lagi, “Pengiktirafan ini juga ditujukan khas kepada warga kerja LZS atas kerja keras dan kesungguhan mereka memberikan yang terbaik kepada asnaf dan juga pengeluar zakat terutama dalam waktu pandemik ini.”

HR Asia Best Companies to Work for in Asia merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh HR Asia bagi mengiktiraf organisasi seluruh Asia dalam bidang kecemerlangan pengurusan sumber manusia, penjenamaan majikan dan libaturus warga kerja.
Organisasi yang menyertainya perlu melalui proses penilaian berdasarkan kaji selidik berteraskan TEAM (Total Engagement Assessment Model) kepada warga kerja yang dipilih secara rawak.

Seterusnya, pembentangan kepada panel penilai berkenaan inisiatif yang diusahakan LZS sebagai sebuah organisasi prihatin kepada masyarakat dan warga kerja ketika tempoh COVID 19 sebelum dipilih sebagai pemenang.

LZS PERUNTUKAN AGIHAN ZAKAT RM32.6 JUTA BIAYAI PERSIAPAN PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK ASNAF FAKIR & MISKIN SERTA MUALAF

0

SHAH ALAM, 13 Disember 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM32,557,590.00 (RM32.6 juta) kepada 31,954 orang ketua keluarga asnaf fakir dan miskin serta mualaf di seluruh Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2022.

Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir di hadapan 150 orang asnaf di sini hari ini.

Bantuan persekolahan ini diagihkan setiap tahun bagi meringankan beban asnaf yang berdaftar dengan LZS terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan dan menampung kos yuran untuk anak-anak mereka.

Bagi sesi persekolahan 2022, seramai 66,160 orang pelajar bermula dari peringkat pra sekolah sehinggalah ke peringkat sekolah menengah akan mendapat manfaat melalui agihan zakat yang diperuntukkan.

Setiap pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan akan menerima kelengkapan persekolahan pada kadar RM170.00 seorang dan pelajar Sekolah Rendah Agama pada kadar RM150.00 seorang. Manakala bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan atau Sekolah Menengah Agama pula akan menerima sebanyak RM200.00.

Kelengkapan persekolahan ini meliputi sepasang pakaian seragam, kasut dan stoking, peralatan seperti beg, alat tulis dan sebagainya. Ia boleh ditebus menggunakan MyKad ketua keluarga di pasar raya terpilih seperti Pasar Raya Lotus, Pasar Raya Borong SAKAN dan Canggih berdasarkan kepada kadar bantuan yang diterima bermula hari ini (13 Disember 2021) hingga 28 Februari 2022.

Manakala penerima fakir dan miskin dari daerah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang boleh menebus kelengkapan persekolahan tersebut secara dalam talian di www.terasds.com. Barangan keperluan persekolahan akan dihantar terus ke rumah asnaf melalui perkhidmatan penghantaran. Ia merupakan kerjasama LZS dengan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS).

Selain itu, setiap pelajar turut menerima bantuan yuran persekolahan di antara RM100 hingga RM200 seorang, bergantung kepada tahap persekolahan mereka.

Para pelajar berkenaan turut menerima bantuan tambahan berjumlah RM100.00 seorang bagi menampung keperluan persekolahan lain. Ia akan disalurkan melalui tiga kaedah bayaran iaitu kredit ke akaun bank ketua keluarga, baucer tunai (V-Cash) di mana-mana cawangan Bank Islam atau secara tunai bagi kes-kes tertentu.

Ini bermakna secara puratanya, setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan maksimum sehingga RM2,000 bagi satu keluarga.

Sementara itu dalam majlis yang sama, turut menyaksikan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Korporat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS, Idris menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM300,000.00.

Sumbangan tersebut adalah agihan semula PKNS yang disalurkan bagi menampung keperluan persekolahan pelajar asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Hadir sama, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Berita Terkini