SHAH ALAM, 2 Disember 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka kesemua 28 cawangannya di seluruh negeri Selangor tujuh hari seminggu termasuk pada cuti umum sepanjang bulan ini.
Sehubungan dengan itu, waktu perkhidmatan seluruh cawangan bermula dari 8.30 pagi sehingga 4.30 petang pada hari bekerja, manakala pada hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, cawangan LZS akan dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang.
Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara zakat, taksiran pelbagai jenis zakat harta, bayaran zakat selain agihan zakat. Cawangan LZS turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi kad kredit dan kad debit.
Selain daripada cawangan LZS, pembayaran zakat juga boleh dibuat dengan mengunjungi 13 kaunter zakat IPT yang dilantik. Kaunter tersebut terletak di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Kaunter IPT lain termasuklah di UNITAR International University, Cyberjaya Universitiy College of Medical Sciences, Universiti Multimedia (MMU), Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), Universiti Selangor (UNISEL), Management Science University (MSU) dan Universiti Teknikal MARA Sdn Bhd.
LZS berharap dengan perkhidmatan cawangan tujuh hari seminggu ini, dapat memudahkan orang ramai menunaikan ibadah zakat mereka sebelum berakhirnya tahun 2016.