130 ORANG ANAK ASNAF DIKHATANKAN

0
191

PUCHONG PERDANA, 29 November 2014 – Seramai 130 orang peserta terdiri daripada anak asnaf fakir dan miskin Lembaga Zakat Selangor (LZS) dikhatankan dalam Program Khatan Perdana Daerah Petaling bertempat di Masjid As-Salam, Puchong dekat sini hari ini.

Ia dirasmikan oleh Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Emran Kadir, melibatkan anak-anak asnaf yang berusia antara lima hingga 12 tahun. Kos berkhatan yang bernilai RM130 ini ditanggung oleh LZS.

Sementara itu, seorang anak asnaf yang ditemui, Alif Iskandar Ramli, 10 tahun, menyatakan rasa seronok kerana dapat bersama-sama rakan lain dalam program ini. “Bila ada ramai kawan, kurang sikit rasa takut. Tahun lepas saya hadir program seperti ini kerana menemani abang. Tahun ini giliran saya pula.”

Manakala, Hasmah Ismail, 34 tahun, mengucapkan terima kasih kepada LZS kerana menganjurkan program seperti ini. Malah keprihatinan LZS menanggung kos anak-anak asnaf sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa.

Program khatan merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan LZS khususnya bagi meringankan bebanan asnaf zakat yang harus mengkhatankan anak-anak lelaki mereka. Di samping itu juga, program ini dilihat dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara LZS, para asnaf dengan pihak masjid dan masyarakat.

20141129_102232_1