134 PENOLONG AMIL KARIAH JALANI KURSUS INDUKSI

0
878
KLANG, 2 Mei 2018 – Seramai 134 orang Penolong Amil Kariah (PAK) dari 23 kariah di Petaling menghadiri Kursus Induksi bertempat di Hotel Aliya di sini baru-baru ini.
Ia merupakan kesinambungan bagi Projek Perintis At-Ta’awun 2.0 yang merupakan inisiatif program transformasi dalam memperkasakan PAK pada tahun 2017.
Kursus yang berlangsung selama dua hari ini, memberi pendedahan dan pemahaman berkaitan peranan PAK dalam membantu LZS terutama bagi menjalankan siasatan, bancian serta semakan permohonan asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimin. Pada masa sama, PAK turut diberi taklimat dan latihan berkenaan pelaksanaan had kifayah terkini di LZS.
Untuk makluman, pemerkasaan PAK melalui Projek Perintis At-Ta’awun diperkenalkan bertujuan untuk melahirkan PAK yang profesional lagi kompeten dalam membantu LZS mendepani agenda pemerkasaan ummah.
Melalui projek perintis ini, LZS membangunkan sistem pengurusan PAK dengan menyusun gerak kerja lebih sistematik dan efisien bagi menyantuni asnaf di Selangor. Ini termasuklah memperkasakan peranan PAK sebagai ‘pemudahcara’ antara LZS dengan masyarakat terutama asnaf.
Pada tahun 2018, projek ini telah diperluaskan ke 140 kariah di daerah lain melibatkan sebanyak 439 buah masjid yang berdaftar di Selangor. Sehingga kini, terdapat seramai 1,613 orang PAK dilantik bagi menyantuni golongan asnaf di Selangor.