29,000 PENERIMA BANTUAN KHAS COVID-19 LZS TERIMA MANFAAT AGIHAN ZAKAT

0
625

SHAH ALAM, 1 April 2020 – Bantuan khas COVID-19 Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah dikreditkan terus ke akaun bank penerima secara berfasa bermula 27 Mac dan dijangka akan selesai keseluruhan pembayaran bantuan pada 3 April ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, pembayaran ini melibatkan penyaluran agihan zakat sebanyak RM14.0 juta dan dimanfaatkan oleh 29,000 penerima layak.

Daripada jumlah tersebut, seramai 9,000 penerima adalah dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf yang menerima bantuan khas sebanyak RM500 per keluarga dengan jumlah keseluruhan agihan zakat sebanyak RM4.5 juta.

Manakala sebanyak 20,000 penerima lagi dalam kalangan B40 khususnya golongan penjaja/peniaga kecil dan keluarga B40 yang terjejas sumber pendapatan, turut menerima bantuan maksimum sehingga RM500. Ia melibatkan jumlah agihan zakat sebanyak RM9.5 juta menggunakan peruntukan asnaf fisabilillah.

Tambah beliau lagi, LZS turut mengagihkan wang zakat sebanyak RM1.0 juta kepada hospital kerajaan dan Pusat Kesihatan Daerah, petugas barisan hadapan yang menangani wabak COVID-19 dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Selangor.

“Ia membabitkan pembelian Personal Protection Equipment (PPE) kepada hospital dan PKD serta makanan kepada petugas. Manakala, bantuan makanan kepada pelajar IPT turut disalurkan melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar/pengurusan IPT.”

Untuk rekod, jumlah keseluruhan bantuan agihan khas telah disalurkan oleh LZS sebanyak RM15.0 juta bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan kepada golongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak COVID-19.

Bantuan Bulanan Kepada Asnaf Berdaftar

Sementara itu Saipolyazan menjelaskan, “Selain bantuan agihan khas, LZS turut menyalurkan sebanyak RM30.5 juta bagi bantuan bulanan kepada asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimin yang berdaftar. Agihan ini melibatkan asnaf yang menerima bantuan zakat bulanan seperti kewangan, sewa rumah, rawatan dialisis dan perubatan. Manakala, seramai 14,909 asnaf fakir dan miskin turut dipastikan kelangsungan makanan bulanan sewaktu COVID-19 ini bagi mengelakkan mereka terputus bekalan.”

Bantuan berbentuk bulanan ini akan tetap disalurkan kepada asnaf sedia ada, sekali gus membantu mengurangkan beban golongan ini terutama pada masa COVID-19.

Justeru, Saipolyazan menyeru masyarakat Islam untuk terus menunaikan zakat melalui LZS secara atas talian dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my ataupun menerusi perbankan internet. Ini secara langsung dapat bersama-sama LZS membantu golongan yang terjejas disebabkan COVID-19 terutama golongan asnaf fakir dan miskin yang amat bergantung dengan bantuan yang disalurkan oleh LZS pada masa ini.