38 PELAJAR ORANG ASLI TERIMA MANFAAT KASIHKU ZAKAT SELANGOR

0
674

HULU LANGAT, 9 Februari 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menyerahkan 38 buah telefon pintar kepada pelajar asnaf di perkampungan orang asli daerah Hulu Langat dalam satu program penyerahan Kasihku Zakat Selangor yang diadakan di sini.

Sumbangan tersebut adalah agihan semula yang disalurkan kepada 38 pelajar asnaf di Kampung Orang Asli Dong Lai, Kampung Orang Asli Pangsun, Kampung Orang Asli Paya Lembar dan Kampung Orang Asli Gaba, melibatkan peruntukan wang zakat dari PTPTN berjumlah RM20,000.

Ia disalurkan bagi memudahkan pelajar asnaf ini mengikuti sesi persekolahan melalui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), di samping memudahkan mereka berkomunikasi dengan guru-guru sekolah.

Sumbangan ini juga adalah merupakan salah satu saluran dakwah bagi menarik minat mereka yang belum memeluk Islam di setiap perkampungan tersebut.  Melalui sumbangan tersebut diharapkan akan memberi manfaat kepada golongan ini dan dapat digunakan ke jalan kebaikan terutamanya dari segi pendidikan anak asnaf orang asli di perkampungan tersebut.

Hadir sama dalam program tersebut, Pengurus Besar PTPTN Selangor, Rohaida Deris dan Ketua Jabatan Muzakki LZS, Khairul Azhan Ahmat.