52 ANAK ASNAF TERIMA BASIKAL: BABITKAN BANTUAN BERJUMLAH RM13 RIBU

0
456

SHAH ALAM,3 April 2012 – Seramai 52 orang anak asnaf di daerah Kuala Langat baru-baru ini menerima bantuan basikal daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang kesemuanya berjumlah RM13,000.00.

Menurut  Pengurus Besar Agihan LZS, Adibah Abdul Wahab, kos bagi setiap satu basikal adalah RM250.00 dan merupakan sebahagian bantuan di bawah program pembangunan pendidikan.

“Pemberian bantuan ini dilakuan atas permohonan daripada ibu bapa dan sebahagiannya lagi dicadangkan oleh pegawai zakat sendiri, berdasarkan keputusan bancian fakir dan miskin yang telah dilakukan. Ia bertujuan untuk memudahkan anak-anak asnaf pergi ke sekolah, berikutan adanya laporan bahawa terdapatnya masalah pengangkutan di sini.” Ujar beliau.

Salah seorang anak asnaf yang ditemui, Siti Khadijah Mohd Fauzi, 13 melahirkan rasa gembiranya dengan bantuan basikal yang diberi.

“Saya rasa sangat gembira mendapat basikal ini. Kalau dulu saya perlu mendapatkan bas untuk pergi ke sekolah; namun kini dengan adanya basikal ini, ia lebih memudahkan saya.” Ujar beliau yang kini berada dalam Tingkatan Satu di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah, Sungai Manggis.

Beliau ditemui ketika menyertai program Kayuhan Cinta Desa, anjuran Kelab Basikal Associated Cyclosportif Trekkers (ACT) dengan kerjasama LZS. Program ini melibatkan lebih 200 orang peserta, terdiri daripada ahli ACT, mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan anak-anak asnaf.

Sebelum itu, majlis penyerahan basikal kepada anak-anak asnaf disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr. Ahmad Yunus Hairi. Turut hadir di majlis berkenaan Penghulu Mukim Teluk Panglima Garang, Mat Isa Haron; Ketua Ekspedisi Jelajah, Ahmad Fauzi Abu Hassan; Pengetua Kolej Seroja, UiTM, Ahmad Azahari Mohd Nazar serta pemimpin setempat.