SHAH ALAM, 27 November 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni 556 pelajar Politeknik Shah Alam yang terkandas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengagihkan pek makanan dalam satu majlis yang diadakan di sini.
Menurut Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid, bantuan bernilai lebih RM50,000 bagi meringankan beban pelajar terutama daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Terdapat lebih 500 pelajar terkandas yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing atas pelbagai sebab. Mereka ini datang dari keluarga yang berpendapatan rendah. Oleh itu kekangan bekalan makanan. Prihatin dengan apa yang berlaku, LZS mengambil insiatif menyumbangkan pek makanan mentah dan pelajar ini akan masak sendiri,” katanya lagi.
Pengarah Politeknik Shah Alam, Dr Mohd Zahari Ismail ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada pengeluar zakat dan LZS atas keprihatinan mengagihkan bekalan makanan kepada pelajarnya.
“Kami sangat bersyukur kerana bantuan yang disalurkan. Ia membolehkan pelajar menyara kehidupan untuk tempoh lebih sebulan, di samping meneruskan pengajian kerana sekarang musim peperiksaan,” katanya.
Sebelum ini, LZS turut menyantuni 342 pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang sedang menghadapi peperiksaan dan terkesan susulan PKPB.