ASRAMA ANAK YATIM FAKIR /MISKIN PERTAMA LZS (MAIS) DILANCAR

0
307

Hulu Selangor – Asrama untuk anak-anak yatim fakir miskin yang pertama dibina dan dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS ) MAIS bagi daearah Hulu Selangor telah dilancarkan sempena ‘Majlis Penyerahan Anak-anak Asnaf oleh Pengerusi MAIS, Dato’ Hj Mohamad Adzib Mohd. Isa, (MAIS) pada 11 Jun.

Asrama yang mampu memuatkan lebih 40 pelajar itu dinamakan Baitul Hasanah yang membawa makna ‘Rumah Yang Baik’. Sehingga kini, seramai 25 pelajar terdiri daripada lelaki dan perempuan telah ditempatkan di situ. Mereka terdiri daripada anak-anak fakir miskin yang berdaftar dengan LZS (MAIS) di daerah Hulu Selangor.

Dato’ Adzib di dalam ucapannya menyatakan, usaha memajukan anak-anak asnaf adalah prioriti utama LZS (MAIS). Demi melahirkan anak-anak asnaf yang cemerlang dalam bidang pendidikan, maka mereka perlu diberikan prasarana pembelajaran yang lengkap termasuklah juga penjagaan daripada aspek pemakanan.

Oleh itu, adalah menjadi harapan LZS (MAIS), dengan pembinaan asrama ini dapat memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak asnaf fakir miskin demi kecemerlangan diri mereka.

Ibu bapa yang dijemput khas pada majlis itu turut melahirkan rasa kesyukuran kerana anak mereka dipilih oleh LZS (MAIS) untuk mendiami asrama tersebut. Bahkan mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada anak-anak mereka agar dapat merebut peluang dan belajar dengan lebih baik di situ demi kecemerlangan diri dan seterusnya keluarga.

Asrama anak Yatim ini merupakan salah satu bentuk agihan yang dijangka akan dilaksanakan pembinaanya di setiap daerah di Negeri Selangor. Selepas pembinaan Baitul Hasanah, Hulu Selangor ini , LZS (MAIS) akan turut membina asrama anak yatim seumpanya bagi daearah Kuala Selangor diikuti dengan derah Kuala Langat dan Sepang.