‘BERSAMA KONGSI KEJAYAAN ZAKAT’ MELALUI ZAIARAH ASNAF BERSAMA KORPORAT DAN MEDIA

0
175

SHAH ALAM, 8 DISEMBER — Bagi berkongsi usaha kejayaan zakat dalam pembangunan asnaf fakir miskin di Selangor, kira-kira 65 orang peserta program Ziarah Asnaf Bersama Korporat dan Media (ZIKRA) berpeluang melihat sendiri kehidupan asnaf zakat daripada dekat hari ini.

Peserta terdiri daripada para pembayar zakat, ejen kutipan dan pihak media dibawa menelusuri beberapa projek pembangunan asnaf zakat yang diusahakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS). Lawatan bermula dengan pelancaran konvoi oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Selangor, Tn hj Mohamed Izam Mohamed Yusof di Masjid Negeri Shah Alam.

Lokasi pertama lawatan ialah Pusat Dialisis LZS (MAIS) di Bt 4, Kapar, Klang. Pusat dialisis ini adalah salah satu usaha bagi kemudahan khusus bagi kalangan fakir miskin dan mereka yang memerlukan rawatan dialisis secara tetap.

Seterusnya, peserta dibawa melawat asrama terbesar anak asnaf fakir miskin di Selangor iaitu di Perepat Klang yang dikenali sebagai asrama Baitul Hasanah LZS, Klang. Asrama ini dibangunkan bertujuan agar penumpuan terhadap pembangunan pendidikan dapat dilaksanakan. Asrama ini boleh memuatkan sehingga 300 orang pelajar lengkap dengan kemudahan bilik bacaan, surau, kantin dan sebagainya. Taklimat ringkas diadakan bagi berkongsi usaha pembangunan asrama ini dan kejayaan pelajar di sini.

Destinasi diteruskan ke rumah warga emas LZS yang dikenali sebagai Darus Salamah. Darus Salamah dibina bagi membolehkan warga emas yang tiada tempat bergantung, namun masih sihat untuk menetap di sini bagi membolehkan mereka hidup selesa dan memberikan tumpuan kepada amal ibadah.

Seterusnya, peserta dibawa melawat ke Desa Kasih Sg Nipah iaitu rumah berkelompok yang dibina bagi menempatkan mereka yang tidak mempunyai tanah dan tempat tinggal yang sempurna. Melalui usaha ini ramai penghuni yang berjaya keluar daripada asnaf fakir dan miskin.

Di Desa Kasih ini, para peserta disambut dengan bacaan selawat Nabi s.a.w oleh anak-anak penduduk di sini. Mereka dibawa melawat ke bengkel jahitan iaitu salah satu usaha LZS agar asnaf zakat dapat berdikari. Peserta turut melawat salah sebuah rumah penduduk di sini.

Seterusnya taklimat ringkas tentang pembangunan Desa Kasih ini diadakan untuk peserta. Peserta juga berpeluang mengenali penduduk di sini melalui aktiviti zakat didik yang diadakan untuk anak-anak penduduk di sini.

Acara kemuncak Program ZIKRA ini ialah majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, LZS, Tn Hj Mohamed Izam Mohamed Yusof. Di majlis perasmian penutup ini, beberapa sumbangan daripada peserta ZIKRA disampaikan kepada penduduk Desa Kasih antaranya daripada Pharma Niaga, Perpustakaan Negeri Selangor, Galeri Ilmu Sdn Bhd dan sebagainya. Sementara itu, program ZIKRA ini turut mendapat kerjasama Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) yang mengadakan pameran dan pemeriksaan kesihatan bagi penduduk di sini.

Melalui Program ZIKRA ini diharap peserta terutamanya pembayar zakat dan media dapat mendalami usaha LZS dalam membangunkan asnaf fakir dan miskin di Selangor.