COVID-19: LZS PERUNTUKKAN RM15 JUTA UNTUK KEPERLUAN KEBAJIKAN DAN PERUBATAN

0
647

SHAH ALAM, 21 Mac 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan khas sebanyak RM15 juta sebagai bantuan segera bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak COVID-19.

Peruntukan agihan khas ini khusus bagi golongan penjaja/peniaga kecil dan pekerja B40 yang terjejas sumber pendapatan agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh getir saat ini.

Selain itu, peruntukan agihan khas ini turut disalurkan bagi menampung keperluan peralatan perubatan di hospital-hospital yang beroperasi menangani COVID-19. LZS juga akan menyalurkan bantuan makanan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang terputus bekalan melalui peruntukan agihan khas ini.

Golongan yang terjejas boleh memohon bermula 25 Mac ini dengan menghubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343 (Isnin-Jumaat 10.00 pagi hingga 3.00 petang).

Dalam perkembangan sama, LZS akan mempercepatkan penyaluran Bantuan Kewangan Bulanan pada 23 Mac ini kepada asnaf sedia ada yang menerima agihan bulanan. Bantuan bulanan pada kebiasaannya disalurkan pada setiap 25 hari bulan. Manakala bagi agihan bantuan bulanan lain akan berjalan seperti biasa.

Semoga dengan bantuan ini dapat membantu meringankan kelangsungan hidup umat Islam di negeri Selangor. LZS akan sentiasa melihat keperluan yang timbul dari semasa ke semasa bagi menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran semasa tempoh COVID-19.

Maklumat terkini berkaitan peruntukan khas ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran Facebook Rasmi LZS.

KENYATAAN DARIPADA

SAIPOLYAZAN M. YUSOP

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, LZS