DELEGASI QATAR KUNJUNGI INSTITUSI ZAKAT: DALAMI PENGURUSAN ZAKAT MALAYSIA

0
306

KUALA LUMPUR, 23 April 2024 – Seramai 10 orang pegawai tertinggi di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Islam, Kerajaan Qatar mengunjungi institusi zakat di Malaysia bagi bertukar-tukar pandangan berkaitan pengurusan zakat.

Delegasi tersebut yang diketuai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Zakat, Kerajaan Qatar Tuan Saad Omran al-Kuwairi hadir ke Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi sesi perkongsian pengalaman pengurusan di Malaysia, khususnya Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan PPZ.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dalam ucapan aluannya menyatakan keterujaan LZS dengan kehadiran para delegasi. Beliau berharap agar kunjungan ini akan membentuk jaringan hubungan `Government to Government’(G2) yang lebih bermakna melalui sesi perkongsian pengurusan zakat dan saling bertukar-tukar pandangan serta pengalaman, di samping melihat jalinan kerjasama strategi, inovasi dan persahabatan antara dua negara.

Dalam kunjungan tersebut, delegasi telah diberi taklimat perkongsian pengalaman LZS yang disampaikan oleh Ketua Divisyen Strategi Korporat, Kamarulzaman Omar yang menekankan aspek keperluan beradaptasi dengan teknologi untuk memastikan keperluan asnaf dapat dipenuhi melalui agihan zakat yang efektif dan kutipan zakat dapat dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa bagi menyantuni lebih ramai asnaf.