DYMM SULTAN SELANGOR RASMIKAN MENARA ZAKAT SULTAN IDRIS SHAH

0
18

SHAH ALAM, 23 Januari 2025 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor hari ini mencemar duli menyempurnakan perasmian ibu pejabat baharu Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang dinamakan Menara Zakat Sultan Idris Shah.

Majlis ini menandakan satu mercu jaya penting dalam perjalanan 30 tahun LZS menyantuni dan memperkasakan penduduk Selangor, khususnya golongan asnaf di negeri ini.

Menara Zakat Sultan Idris Shah menyediakan kaunter pandu lalu untuk melancarkan urusan kutipan dan pengagihan zakat bagi memberikan keselesaan kepada pembayar dan penerima zakat. Selain itu, kios layan diri diperkenalkan di ibu pejabat ini bagi memudahkan pelanggan LZS membuat pembayaran dan permohonan bantuan zakat dengan lebih efisien sekali gus mengurangkan masa menunggu dan mempercepatkan proses urusan.

Ibu pejabat baharu LZS turut dilengkapi kemudahan dewan seminar yang menjadi lokasi bagi sesi latihan dan kursus untuk asnaf. Dewan ini memainkan peranan penting memperkasakan komuniti asnaf menerusi program pembangunan di LZS. Fasiliti lain yang disediakan termasuklah surau yang selesa, ruang letak kereta yang memberi keutamaan kepada asnaf dan pembayar zakat, kemudahan mesra orang kelainan upaya dan pusat sumber.

Lokasi Menara Zakat Sultan Idris Shah dibina bagi memenuhi keperluan asnaf dan pihak berkepentingan dengan hanya 150 meter dari stesen LRT. Kemudahan ini diperkukuhkan lagi dengan perkhidmatan bas percuma di sekitar pusat bandar Shah Alam menjadikan ibu pejabat baharu ini mudah diakses oleh orang ramai untuk berurusan dengan LZS.

Sejak diasaskan pada 1994, LZS telah berkembang maju dengan mencatatkan kutipan berjumlah RM16.3 juta kepada kejayaan mencecah lebih RM1 bilion pada 2022, menjadikannya institusi zakat pertama di Malaysia untuk mencapai angka ini.

Selama tiga dekad, LZS telah menyentuh kehidupan lebih daripada 350,000 penerima zakat dan mengagihkan lebih daripada RM11 bilion. Ramai asnaf berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan dan berubah peranan menjadi pembayar zakat dan pemilik perniagaan. Dengan jangkaan peningkatan jumlah asnaf kepada 157,000 keluarga menjelang tahun 2030, LZS giat melaksanakan pelbagai langkah proaktif untuk memperkukuh dan menambah baik perkhidmatannya.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor dalam titahnya, “Sejak penubuhan LZS, beta menyaksikan banyak inovasi, pemodenan, dan penambahbaikan dalam pengurusan zakat yang telah dilakukan dari semasa ke semasa dari aspek kutipan dan agihan zakat serta pembangunan asnaf dalam pengurusan zakat. Beta bangga pengurusan LZS juga telah menjadi contoh ikutan kepada banyak negara. Justeru itu, aspek-aspek tadbir urus perlu sentiasa ditambah baik dan sentiasa melihat kepada kaedah bantuan terbaik kepada para asnaf. Zakat adalah ibadah yang disyariatkan untuk mengangkat martabat umat Islam. Beta menyeru rakyat Selangor untuk terus menunaikan zakat pendapatan di tempat dimana mereka berkhidmat dan mencari rezeki menerusi LZS untuk memastikan bahawa kesejahteraan asnaf di Selangor dilindungi dan terpelihara.”

“Pembinaan Menara Zakat Sultan Idris Shah sesungguhnya membuktikan usaha LZS memenuhi mandatnya mengutip dan mengagihkan zakat dengan penuh maruah dan integriti. Saya memuji dedikasi tidak berbelah bahagi LZS untuk menambah baik kehidupan golongan asnaf dan berpegang teguh kepada prinsip keadilan sosial yang ditegakkan dalam agama Islam. Sebagai penyumbang ekonomi penting negara, saya menyeru rakyat Selangor untuk terus menunaikan zakat menerusi LZS untuk memastikan bahawa kesejahteraan Asnaf di Selangor dilindungi dan terpelihara.”

Di majlis pelancaran tersebut, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, “LZS telah melangkah jauh dan berbangga menjadi sebuah institusi zakat yang terkemuka di Malaysia. Selain bantuan kewangan, kami telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang bertujuan memperkasakan individu Asnaf untuk berkembang maju, antara lain termasuk program pembangunan sosial, kemajuan pendidikan dan pemerkasaan ekonomi. Memandangkan keperluan Asnaf terus bertambah, kita perlu berubah seiring dengan perkembangan semasa. Usaha ini telah mendorong kami untuk menilai dan menambah baik operasi dan meningkatkan kecekapan, memastikan bahawa kami boleh memberikan sokongan yang lebih berkesan dan bermakna bagi mereka yang bergantung kepada kami.”

Menara Zakat Sultan Idris Shah yang terletak secara strategik di tengah-tengah Shah Alam direka untuk berkhidmat sebagai pusat sehenti bagi asnaf dan pembayar zakat. Dengan menyatukan semua perkhidmatan penting di bawah satu bumbung, ibu pejabat baharu ini dapat melancarkan lagi perkhidmatan bagi pihak-pihak berkepentingan.

“Setiap hari, secara purata LZS menerima 100 hingga 120 pengunjung di ibu pejabat kami, sebahagian besarnya asnaf yang memerlukan bantuan. Matlamat kami ialah mewujudkan ruang di mana mereka rasa selesa dan terjamin, sambil mengetahui bahawa keperluan mereka akan dipenuhi dengan sebaiknya. Kemudahan di Menara Zakat Sultan Idris Shah direka dengan teliti untuk memenuhi keperluan asnaf dan pembayar. Dengan infrastruktur operasi yang mantap, kami ingin mengukuhkan kewibawaan LZS dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat Selangor. Kami berharap dapat menyediakan pengalaman berkualiti kepada umat Islam di Selangor untuk menunaikan kewajipan zakat mereka,” tambah  Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Menara Zakat Sultan Idris Shah mencerminkan komitmen LZS terhadap perancangan jangka panjang dan kesiapsiagaan masa depan dalam usaha meningkatkan operasi dan perkhidmatannya kepada golongan asnaf dan pembayar zakat. Ibu pejabat baharu ini dibiayai melalui simpanan jangka panjang dan pengurusan kewangan yang berjimat cermat daripada peruntukan Amil, iaitu dana LZS sebagai Amil, yang berasingan sepenuhnya daripada agihan zakat.