SHAH ALAM, 21 Julai 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan sistem e-Dialisis LZS bagi memudahkan pengurusan pesakit asnaf yang mendapat rawatan dialisis di panel pusat dialisis yang berdaftar dengan LZS secara atas talian.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mohamad Awang hari ini di hadapan 60 wakil panel pusat dialisis LZS di sini.
Sistem ini diperkenalkan menggantikan kaedah manual yang dipraktikkan dalam proses tuntutan bayaran rawatan pesakit, dengan tempoh masa dapat dikurangkan dari 14 hari bekerja kepada satu hari sahaja. Melalui penggunaan sistem tersebut, dokumen berkaitan pembayaran rawatan dialisis dan pengurusan rekod pesakit asnaf dapat diakses dalam satu platform elektronik dengan lebih mudah dan pantas.
Di samping dapat menjimatkan masa, ia membantu memudahkan dan mempercepatkan proses kerja dalaman sekaligus dapat meningkatkan produktiviti dan efisiensi penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan LZS terutama asnaf dalam persekitaran norma baharu.
Untuk makluman, sistem e-Dialisis LZS ini merupakan antara insiatif digitalisasi yang dibangunkan bertujuan menambah baik proses operasi LZS. Ia bagi membudayakan transformasi digital dalam pengurusan kerja dengan penggunaan teknologi seiring dengan perkembangan revolusi industri 4.0. LZS sedang meneruskan langkah untuk memperkenalkan beberapa lagi inisiatif digitalisasi bagi mempermudahkan urusan masyarakat awam dengan LZS.
Dalam majlis ini, LZS turut menyampaikan tablet yang dilengkapi dengan sistem e-Dialisis kepada 120 panel pusat dialisis LZS untuk kegunaan mereka. Ia turut mempunyai aplikasi pemantauan rekod pesakit asnaf termasuk menyemak status terkini akaun bantuan rawatan dialisis yang diterima secara real time atau waktu sebenar. Selain itu, asnaf yang menerima bantuan ini dapat mengetahui baki semasa akaun bantuan mereka dan berapa jumlah tuntutan yang dipohon oleh pusat dialisis kepada LZS.
Untuk rekod sehingga Jun 2020, LZS telah menyantuni seramai 2,498 pesakit asnaf dalam kalangan fakir, miskin, mualaf dan gharimin. Dianggarkan pada setiap bulan jumlah pertambahan pesakit asnaf yang menerima bantuan di LZS di antara 30 hingga 40 orang pesakit. Pada tahun ini, LZS memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM60 juta untuk membiayai rawatan dialysis pesakit asnaf.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.