HI-TEA TARIK MINAT AHLI KORPORAT

0
360

13 Julai – Penganjuran Hi-Tea bersama LZS pada 13 Julai lalu telah berjaya menarik minat glongan ahli-ahli korporat untuk menunaikan ibadah zakat mereka di LZS (MAIS). Majlis yang diadakan di Hotel De Palma, Ampang tersebut telah disertai hampir 50 peserta yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan kerjaya.

Menurut pengarah program, Muhammad Rizal Shah Harudin, majlis tersebut dianjurkan bagi memberi ruang dan peluang kepada para peserta untuk berdialog secara terbuka bersama Pengurus Besar LZS, Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar tentang pengurusan dana zakat dan isu-isu yang berkaitan. Selain itu, YB Tuan Haji Saari Sungib, ADUN Hulu Kelang turut dijemput sebagai panelis dialog. Majlis turut dihadiri oleh OBD Gombak, Dato’ Paduka Raja Hj.Wan Mahmood Pawan Teh.

“Pelbagai soalan dan kemusykilan telah diajukan dan dari maklumbalas para peserta majlis tersebut telah berjaya meyakinkan mereka tentang ketelusan pengurusan dana zakat di Selangor” tambah beliau.

Para peserta majlis juga turut mengesyorkan agar LZS (MAIS) terus menganjurkan majlis serupa bagi menyebarkan maklumat zakat kepada ahli-ahli korporat yang sebahagian besarnya masih kabur tentang pengurusan zakat di Selangor. Para peserta telah diberikan pendedahan awal mengenai operasi LZS (MAIS) melalui tayangan persembahan multimedia sebelum berlangsungnya sesi dialog.

Berikutan dari pelbagai persoalan yang diajukan oleh para peserta, pihak penganjur telah menambah masa untuk sesi dialog dari 1 jam kepada 1 jam setengah. “Sambutan dan respon dari peserta amat menggalakkan dan pihak kami telah menerima banyak jemputan untuk mengadakan siri taklimat zakat dari para peserta di syarikat masing-masing,” jelas Muhammad Rizal.

Menurut Rizal lagi, majlis Hi-Tea bersama LZS ini akan terus dianjurkan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha bagi menarik minat umat Islam untuk menunaikan ibadah zakat mereka di LZS (MAIS).