ISTIKHARAH DEMI MASA HADAPAN

0
577

Kesibukan jalan besar dari Bandar Ampang menghala ke Bukit Belacan menandakan pesatnya pembangunan di kawasan berkenaan. Di kiri kanan jalan raya yang dahulunya dipenuhi semak belukar, kini berubah wajah dengan deretan rumah kedai dan kiosk-kiosk perniagaan yang subur bak cendawan sisir selepas hujan. Terasa bangga juga hati ini, apabila melihat di antara deretan kedai itu turut berdiri beberapa premis perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam.

Justeru itu, krew Jejak Asnaf pada kali ini cuba mendekati Mohd. Azfar bin Mohamad Zin, 25, seorang pria muda yang tidak betah mensesiakan usianya begitu sahaja. Lalu, dengan sedikit pengalaman dan kemahiran, beliau mencuba menjalankan perniagaan. Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang selama ini membantu keluarganya setelah kematian ayah tercinta, melihat kesungguhan ini bukanlah sesuatu yang biasa. Sebaliknya, seorang anak muda yang berani mencuba, perlulah dibantu sehingga berjaya.

“Saya dan keluarga menerima bantuan zakat dari LZS lewat ibu, Normah binti Hj. Mohd. Hassan, yang kini sudah pun berusia 63 tahun. Kami adik-beradik dipelihara oleh ibu sebagai ibu tunggal, setelah kematian ayah pada tahun 1999. Ibu menjaga kami dengan sempurna. Berkat bantuan zakat juga, adik beradik saya semuanya berjaya. Kakak sulung saya lulusan Universiti Teknologi MARA (UiTM), abang saya lulusan politeknik dan kakak ketiga saya pula lulusan dari Universiti Teknologi Malaysia.

“Saya pula memang seorang ‘designer’ dan mempunyai kelulusan dari Institut Kemahiran Mara (IKM). Dahulu, sehabis pengajian di IKM, saya juga mendapat tawaran ke UiTM. Tetapi, akhirnya saya mengambil pilihan untuk bekerja di sebuah syarikat di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Saya berharap, dengan cara ini, saya dapat memberikan keringanan kepada ibu.” Ujar anak muda ini satu persatu tentang sedikit latar belakangnya.

“Sewaktu kematian ayah pada tahun 1999, kala itu saya baharu di Tingkatan satu, baru berusia 13 tahun. Kakak-kakak dan abang pun masih bersekolah. Mujur juga semasa hidupnya, ayah ada meninggalkan sebuah rumah sewa yang terus menjadi penyangga kehidupan kami sekeluarga. Dengan pendapatan sewa rumah kira-kira RM500 itulah ibu menyara kami.

“Bahkan demi melangsungkan kehidupan, khususnya pendidikan kami adik-beradik, ibu tega melakukan apa sahaja. Ibu pernah menggadaikan barang-barang kemasnya demi kami semua. Bahkan saya masih ingat, demi menjimatkan belanja, khususnya ketika hari raya, ibu akan membuat persalinan baharu dan kami memakainya untuk tiga kali raya. Semuanya demi menjimatkan belanja.”

Begitulah helaian kehidupan susah Azfar dan ibu serta adik-beradiknya. Kesusahan ini akhirnya telah berjaya dikesan oleh pihak LZS. Lalu, setelah lima tahun pemergian ayahnya, yakni pada tahun 2003, LZS tampil menggalas tanggung jawab menyantuni mereka sekeluarga.

“Saya dan keluarga amat bersyukur, justeru LZS telah banyak berusaha memberikan apa yang sewajarnya demi kami menikmati secebis erti kehidupan. Bahkan, sejak mulai dibantu, LZS terus memberikan kami sokongan sehinggalah ke tahun 2009. Ini kerana, pada tahun 2009 itulah saatnya saya telah melakukan satu loncatan paling besar dalam kerjaya dan kehidupan. Pada tahun itulah, berdirinya kedai iklan saya ini yang saya namakan sebagai Yellow Advertising.”

Demikian Azfar meneruskan kisahnya. Tampak cahaya kesungguhan dari keteduhan pandangannya. Suasana kedainya yang sarat dengan pelbagai contoh iklan hasil kerja tangannya juga, menunjukkan sambutan yang diterimanya adalah menggalakkan. Tidak sia-sialah LZS telah meluluskan bantuan modal perniagaan berjumlah RM22,000.00 kepada beliau sebelum ini.

“Alhamdulillah, nampaknya solat istikharah yang saya laksanakan sebelum ini, iaitu semasa mahu memilih sama ada berhenti kerja dengan orang dan menjalankan perniagaan sendiri, telah banyak dibantu Allah. Sehingga kini, banyak pihak sama ada individu, organisasi swasta mahu pun ejensi kerajaan yang datang dan menempah iklan dengan saya.

“Syarikat saya menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan, di antaranya membuat papan kenyataan, papan tanda arah, papan tanda, pelekat pelbagai corak, pelekat rasmi, kain rentang dan juga cenderamata. Bahkan saya juga berpakat dengan kawan dan membuka gerai di pasar Up-Town Danau Kota. Kami juga mengambil tempahan membuat nombor plat kenderaan.”

Kini Azfar dalam proses dan perancangan memperluaskan perniagaannya. Sebagai bukti kekuatan syarikatnya, dia juga sudah mampu menggajikan seorang pekerja tetap dan dua orang pekerja sambilan, bagi membantu kerja-kerja pemasangan iklan dan sebagainya. Dia juga sedang mencari seorang pembantu designer, agar dia sendiri dapat menumpukan kepada kerja-kerja pemasaran.

“Saya bersyukur dengan apa yang telah saya perolehi selama ini. Saya juga bercita-cita, untuk dapat keluar daripada kelompok asnaf zakat dan alhamdulillah, pada tahun 2010 yang lalu, saya telah berjaya menunaikan zakat pendapatan saya yang pertama. Semoga Allah memberkati perjalanan bisnes saya dan semoga Allah SWT juga memberkati semua pembayar zakat walau di mana mereka berada.” Tuntasnya.

Nota: Perniagaan iklan Azfar boleh dikunjungi di No. 10, Jalan Bukit Belacan, Lembah Jaya, 68000 Ampang, Selangor. Tel: 012-2552936 atau 012-3311586 atau menerusi e-mail azfarzin@yahoo.com.my.