SHAH ALAM, 5 Oktober–Bagi meneruskan usaha menjejaki kemiskinan bandar, Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan program Skuard Jejak Kemiskinan (SJK) di Flat Proton, Taman Alam Megah dan PPR HICOM Seksyen 27, Shah Alam bermula semalam hingga hari ini.
Sebanyak 500 rumah disiasat bagi tujuan ini yang melibatkan hampir 35 orang kakitangan LZS dengan bantuan pemimpin setempat dan Majlis Bandaraya Shah Alam.
Sebelum ini, pemimpin setempat mengenalpasti terlebih dahulu penduduk yang memerlukan bantuan dengan memberi Borang Siasatan untuk dilengkapkan kepada mereka sebelum program berlangsung.
Apabila program bermula, pihak LZS akan terus membuat siasatan dan menentukan kelayakan sebenar mereka. Melalui SKJ ini mereka yang mengisi Borang Siasatan akan memperoleh keputusan sama ada layak sebagai asnaf fakir atau miskin dalam tempoh 24 jam.
Kepada mereka yang layak sebagai asnaf fakir/miskin bantuan yang bersesuaian dengan masalah yang dihadapi akan disalurkan.
Sebelum ini SKJ telah beroperasi di PPR Lembah Subang dan di PPR Kota Damansara. Usaha ini akan diteruskan di Pangsapuri Puchong Permai pada 15 dan 16 Oktober, Desa Ria Petaling Jaya Selatan pada 17 dan 18 Oktober dan di Desa Mentari Taman Medan Petaling Jaya pada 19 dan 20 Oktober.
Semoga usaha menjejaki kemiskinan ini akan berjaya membantu masyarakat yang berada di dalam kesusahan dan tidak mampu untuk datang sendiri ke kaunter zakat.