KARNIVAL KERJAYA JOM KERJA LZS TAWAR LEBIH 6,000 PELUANG PEKERJAAN

0
1292

SHAH ALAM, 6 Ogos 2022 – Karnival Kerjaya Jom Kerja Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 2022 yang berlangsung hari ini, menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan membabitkan 30 majikan daripada pelbagai sektor pekerjaan.

Karnival sehari ini menawarkan peluang kerjaya khususnya kepada pencari kerja dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf yang produktif serta berdaftar dengan LZS. Ia secara tidak langsung membuka peluang kerjaya kepada asnaf meningkatkan pendapatan melalui platform tawaran jawatan kosong dan padanan pekerjaan membabitkan majikan dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, pembuatan, perdagangan borong dan peruncitan, automotif serta makanan dan minuman.

Di samping itu, turut diadakan sesi perkongsian ‘Career Talk: Bangkit Asnaf’ bagi memberi pemahaman dan meningkatkan pengetahuan pencari kerja asnaf mengenai kebolehpasaran mereka di dalam dunia pekerjaan, seterusnya mengubah diri serta keluar dari kategori asnaf.

Untuk makluman, inisiatif kerjaya LZS merupakan salah satu strategi pembangunan asnaf yang terkandung dalam Blueprint Pembangunan Asnaf bagi membantu golongan penerima zakat keluar dari garis kemiskinan dan menaik taraf kehidupan sehingga mampu menjadi pengeluar zakat.

Bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut, LZS menjalinkan kerjasama dengan PERKESO melalui Memorandum Kolaborasi (MoC) bertujuan membantu golongan sasar mendapatkan bantuan perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh menerusi Program Sinergi Sosial.

Ini termasuklah mewujudkan jalinan kerjasama strategi dengan agensi berpotesi bagi membantu pemadanan dan penempatan pekerjaan golongan asnaf.

Pada masa sama, LZS pula berperanan menawarkan beberapa perkhidmatan kepada PERKESO seperti perkongsian data asnaf yang memerlukan bantuan keselamatan sosial, penyaluran prospek untuk caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada golongan asnaf yang bekerja sendiri dan sebagainya.

Hadir sama, Pengarah PERKESO Negeri, Mustafa Draman dan Timbalan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LZS, Mohd Nurhisyam Shamsir.