KARNIVAL PENDIDIKAN 2016: PELUANG PELAJAR ASNAF LEPASAN SPM LANJUT PENGAJIAN

0
562

KOTA DAMANSARA, 7 Mei 2016 – Pelajar asnaf fakir dan miskin lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) masih berpeluang melanjutkan pengajian dengan menyertai Karnival Pendidikan 2016 anjuran Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) yang diadakan di Universiti SEGi di sini hari ini.

Karnival yang mendapat kerjasama Universiti & Kolej SEGi ini mensasarkan pelajar asnaf lepasan SPM yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan antara tiga kredit dan ke bawah serta tidak dapat melanjutkan pengajian ke mana-mana IPTA.

DSC_7245

Melalui karnival ini, ia memberi pendedahan kepada para pelajar asnaf lepasan SPM tentang peluang-peluang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institut kemahiran awam dan swasta (ILKA/S) yang menjadi panel Zakat Selangor. Panel IPTS dan ILKA/S Zakat Selangor ini menawarkan pelbagai jenis kursus berasaskan kemahiran dan industri yang sesuai dengan minat dan keputusan peperiksaan yang diperoleh.

Sebanyak 26 buah IPTS dan ILKA/S menyertai karnival ini, di mana para pelajar asnaf lepasan SPM dapat berinteraksi dan berpeluang mendalami bidang pengajian yang bersesuaian dengan minat.

Sehingga April 2016, Zakat Selangor telah membiayai pengajian bagi 5,036 mahasiswa asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di pelbagai IPTA/S dan ILKA/S. Mereka ini disantuni di bawah Program Pembangunan Pendidikan yang menyalurkan pelbagai bantuan zakat bagi melahirkan ‘generasi kedua, generasi cemerlang’ dalam kalangan anak-anak asnaf fakir dan miskin.

DSC_7301

Hadir sama dalam program, Pengerusi Kumpulan Universiti SEGi, Tan Sri Dato’ Seri Megat Najmuddin Dato’ Seri Dr. Megat Khas, Presiden Kumpulan Universiti & Kolej SEGi dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali.