SHAH ALAM, 27 September 2024 – Orang ramai yang ingin menyemak kelayakan bantuan zakat atau membuat taksir zakat boleh berkunjung ke Karnival Zakat Selangor pada 28 hingga 29 September 2024, hari Sabtu dan Ahad ini bertempat di Dataran Karnival Stadium Shah Alam anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Karnival yang diadakan bersempena sambutan Jubli Mutiara ke-30 LZS, menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan sepanjang dua hari karnival berlangsung.
Selain itu, lebih 3,000 peluang pekerjaan daripada 30 majikan pelbagai industri akan ditawarkan melalui Karnival iKerjaya di karnival tersebut. Masyarakat sekitar Selangor, terutamanya golongan asnaf yang sedang mencari peluang kerjaya, dijemput hadir secara langsung untuk memohon dan menghadiri sesi temu duga di karnival ini.
Pelbagai jualan daripada usahawan termasuk usahawan asnaf, jualan rahmah, food truck yang menyajikan pelbagai juadah, petting zoo untuk anak-anak, persembahan pentas Islami, CEO Run, sesi perkongsian ilmu yang bermanfaat dan banyak lagi aktiviti menarik menanti pengunjung. Penampilan maskot Mechamato dan Boboiboy turut akan memeriahkan karnival ini.
Bagi memudahkan orang ramai menyelesaikan tunggakan saman, kaunter bayaran saman atau kompaun dengan diskaun 30 peratus untuk bayaran kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berada di karnival,
Lebih istimewa lagi pengunjung karnival berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa pakej menunaikan umrah.
Orang ramai di sekitar Selangor dijemput hadir bagi memeriahkan lagi karnival ini dan masuk adalah percuma. Maklumat lanjut, layari www.zakatselangor.com.my atau ikuti media sosial rasmi LZS.